fbpx

Ranau di Hati Kami

Ranau di Hati Kami

Ranau di Hati Kami

RANAU, SABAH, 28 JUN 2015 – Beberapa siri gempa bumi yang telah berlaku di sekitar Ranau, Sabah sejak 5 Jun lepas telah mendapat perhatian HALUAN. Gempa pertama berskala 5.9 skala richter pada 7.15 pagi itu telah memusnahkan kemudahan pendakian di Gunung Kinabalu dan juga beberapa kemudahan awam di Ranau. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pada 15 Jun lepas satu kejadian banjir lumpur pula telah melanda Kampung Mesilou di Kundasang berdekatan kaki Gunung Kinabalu.

Bencana ini telah memusnahkan beberapa buah rumah dan kemudahan jalan raya di kampung tersebut dan beberapa kampung di sekitarnya. Banjir lumpur ini juga turut memusnahkan jambatan utama bagi laluan ke Pusat Dakwah Islam, Kundasang. Suasana suram menyelubungi kampung-kampung yang terlibat kerana bencana yang berlaku pada kali ini adalah di luar jangkaan dan terjadi di kala Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.

Dengan penuh rasa prihatin, HALUAN Malaysia di bawah Biro Misi Kemanusiaan dengan kerjasama HALUAN Cawangan Sabah telah melancarkan satu Misi Kemanusiaan Banjir dan Gempa Ranau. Misi ini bertujuan untuk menyantuni keluarga dan individu yang terkesan akibat bencana gempa bumi dan banjir lumpur yang berlaku di kawasan Ranau khususnya di Kundasang. Antara mangsa yang telah mendapat bantuan daripada HALUAN ialah penduduk dari Kampung Mesilou, Kampung Lembah Permai dan Kampung Kinandusan.

Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk makanan asasi seperti gula, tepung gandum, beras, susu formula bayi, mihun, minyak masak dan kurma. Sumbangan berupa wang tunai juga turut diserahkan kepada mangsa yang terlibat. Di samping itu, bantuan berupa dua set dapur memasak turut diserahkan kepada sebuah masjid di Kampung Mesilou.

Penduduk-penduduk kampung yang menerima bantuan telah menyatakan penghargaan mereka di atas keprihatinan HALUAN dalam menyantuni mereka yang terlibat dengan bencana alam kali ini. Mereka juga turut terkejut dengan keprihatinan rakyat Malaysia dengan apa yang berlaku di Kundasang, Ranau. HALUAN akan terus memantau keadaan mangsa-mangsa yang terbabit agar dapat dipastikan bahawa kehidupan harian mereka akan pulih seperti biasa secepat mungkin.

Kami menyeru orang ramai yang sama-sama ingin membantu untuk menyalurkan derma ke Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN di no akaun 5622 6350 2611 (Maybank). Kami akan menjadi penghubung anda dengan masyarakat yang memerlukan bantuan di saat getir mereka.

Laporan SUK Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Muhammad Shakir Sabarudin