fbpx

Ramadhan Tingkat Keprihatinan Jemaah Masjid An-Nur USJ4

Ramadhan Tingkat Keprihatinan Jemaah Masjid An-Nur USJ4

Ramadhan Tingkat Keprihatinan Jemaah Masjid An-Nur USJ4

SUBANG JAYA, 2 Ogos 2012 – Bulan Ramadhan yang mulia ini ibarat suatu pesta di mana umat Islam berlumba-lumba melakukan amal soleh, kebajikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Bagi Masjid An-Nur USJ4 di sini, jadual kuliah harian sepanjang bulan Ramadhan cukup membuka peluang kepada ahli kariah untuk meningkatkan ilmu dan kesedaran dalam mempertingkatkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

Mereka tidak ketinggalan mendapat peringatan tentang musibah yang melanda umat Islam khususnya di Palestin melalui satu sesi ceramah yang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Biro HALUAN Palestin, Sdr Mohd Nizam bin Mohamad Awang.

Dalam ceramah beliau yang diadakan seusai solat witir itu, Sdr Mohd Nizam mengajak para ahli jemaah supaya memanfaatkan sepenuhnya umur dan harta yang dikurniakan Allah supaya menjadi bekalan taqwa untuk dibawa pulang kepada Allah SWT di akhirat kelak. Beliau kemudiannya berkata umat Islam Malaysia secara umumnya sangat bertuah kerana dapat melaksanakan ibadah dengan aman dan tenang, berbanding dengan saudara mereka di Palestin, Syria, Somalia, Burma dan beberapa tempat lain yang terpaksa beribadah dalam keadaan perang, kelaparan dan penyiksaan. “Mereka tidak sempat menyiapkan makanan untuk berbuka mahupun bersahur, apatah lagi hendak memikirkan tentang persiapan hari raya seperti masyarakat kita di sini,” kata beliau.

Para hadirin jelas tertarik dengan penyampaian Sdr Mohd Nizam yang mempamerkan foto-foto bagaimana masyarakat Islam di Palestin berhadapan dengan kejahatan Zionis Israel dalam melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan. Beliau turut menunjukkan foto-foto aksi agresif tentera Zionis menangkap pemuda-pemuda Palestin, meruntuhkan rumah-rumah, merosakkan sumber air dan membakar kebun-kebun milik rakyat Palestin di Tebing Barat menjelang tibanya Ramadhan. Bahkan kejahatan rejim Zionis berterusan sehingga ke hari ini di mana pencerobohan Yahudi turut dilakukan ke atas penduduk Gaza.

Sdr Mohd Nizam turut mempamerkan foto projek-projek kemanusiaan hasil sumbangan masyarakat prihatin di Malaysia, termasuklah bantuan untuk masyarakat tempatan yang memerlukan, pelarian Palestin, Somalia dan Syria dan juga bantuan pendidikan dan perubatan untuk Palestin. Beliau turut mengajak masyarakat untuk menjayakan dua projek mendesak untuk rakyat Palestin, iaitu penajaan 60 orang mahasiswa perubatan Palestin yang sedang menuntut di Sudan.

Keduanya, kata beliau, HALUAN Malaysia juga bekerjasama dengan NGO Sahabat Al-Aqsha Indonesia dan Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief iaitu sebuah sebuah NGO di bawah Robitah Ulama Palestin bagi menyiapkan sebuah Madrasah Syar’iah di kem Pelarian Dar Al-Balah, Gaza. Madrasah yang bakal memberi peluang pengajian kepada 750 anak-anak Gaza itu diusahakan oleh Kementerian Wakaf Palestin yang mewakili tanggungjawab Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyeh.

Di akhir ceramah beliau, Sdr Mohd Nizam menyeru para hadirin supaya mengambil contoh masyarakat Gaza dan Somalia yang mendidik anak-anak mereka cintakan al-Quran dan masjid, supaya generasi akan datang dapat membina jatidiri yang kuat berlandaskan akidah yang jelas dan hubungan yang mantap dengan al-Quran.

Para hadirin menzahirkan kasih sayang kepada saudara mereka di Palestin dengan mengumpul dana bantuan sebanyak RM5,388. Sebagai tanda penghargaan kepada Masjid An-Nur dan ahli kariahnya, Sdr Mohd Nizam telah menyampaikan sebuah cenderahati kepada Nazir Masjid An-Nur, Tuan Haji Ariffin bin Sutan. Semoga Allah memberkati dan merahmati ahli jemaah di masjid ini yang berkorban demi membebaskan Palestin, Masjid Al-Aqsa dan seluruh umat Islam daripada musibah yang melanda.


Laporan oleh Mus’ab Saari, Biro HALUAN Palestin.