fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz – Pelajar dan Ibubapa Teruja Diuji Oleh Imam ‘Ahid

Ramadhan Bersama Huffaz – Pelajar dan Ibubapa Teruja Diuji Oleh Imam ‘Ahid

Ramadhan Bersama Huffaz – Pelajar dan Ibubapa Teruja Diuji Oleh Imam ‘Ahid

SHAH ALAM, 25 Julai 2012 — Saat yang dinantikan oleh para pelajar Sekolah Ibnu Khaldun untuk berjumpa dan mendengar suara merdu Imam ‘Ahid Basyeer akhirnya tiba! Bahkan semua pelajar dan ibubapa yang hadir dikejutkan dengan hadiah istimewa daripada Imam ‘Ahid, iaitu sesi menguji pengetahuan hadirin tentang kaedah bacaan qari dan imam terkenal di dunia.

Program solat terawih berjamaah di dewan sekolah itu turut dihadiri beberapa imam jemputan lain dari Palestin, Syria dan Somalia. Di samping solat terawih, para hadirin juga bertuah kerana dapat mendengar tazkirah indah yang telah disampaikan oleh Dr Mahmoud Hashem Mahmoud Anbar, Dekan Kuliah Usuluddin di Universiti Islam Gaza dan ahli Robitah Ulama Palestin yang turut mengiringi kehadiran para huffaz dari Gaza. Dr Mahmoud menegaskan majlis perjumpaan di sekolah angkat HALUAN ini mengingatkan beliau kepada peristiwa di zaman Rasullulah SAW di mana para sahabat daripada kalangan Quraisy Mekah, Ansar Madinah, Rom, Parsi, dan juga Habsyah bersatu merasai nikmat ukhuwwah dan penyatuan. Beliau turut memberi peringatan supaya mengambil latihan Ramadhan ini untuk terus kekal dalam iman dan taqwa kepada Allah sepanjang hayat.

Di akhir solat terawih, Dr Hani Rafiq Hamid Awad, iaitu salah seorang daripada para imam dari Gaza yang akan menjayakan Program Ramadhan Bersama Huffaz anjuran HALUAN Malaysia pada tahun ini, bangkit dan memperkenalkan latar belakang Imam ‘Ahid. “Sheikh ‘Ahid merupakan Imam Besar di Masjid Umari di Kota Gaza, masjid tertua dan terbesar di Gaza,” jelas Dr Hani. Selain daripada kemahiran beliau dalam sanad dan qiraat al-Quran, Imam ‘Ahid juga seorang yang amat menakjubkan. Beliau boleh membaca ayat-ayat suci dengan mengeluarkan suara-suara indah para qari dan imam tersohor di dunia.

“Kita dengar Sheikh ‘Ahid membaca ayat-ayat al-Quran, kemudian silakan tuan-tuan meneka suara siapa yang beliau tirukan”, kata Dr Hani kepada hadirin yang jelas teruja dengan cabaran beliau.

Satu per satu dibacakan, kebanyakannya berjaya dijawab tepat, namun ada juga suara yang asing bagi para hadirin. Semua suara yang kita biasa dengar; Shuraim, Ghamidi, Abdullah Basfar, Al-Minsyawi, Al-Afasyi… ditiru oleh Imam ‘Ahid. Tidak ketinggalan beliau menirukan bacaan Perdana Menteri Palestin, Al Hafidz Ismail Haniyah. “Alhamdulillah, anda semua memang dekat dengan al-Quran kerana tahu kebanyakan suara-suara yang dibacakan,” kata Dr Hani di akhir program. Menurut beliau, program bersendikan al-Quran seperti ini menjadi salah satu aktiviti anak-anak Gaza di bulan Ramadhan. Mereka menjadi terhibur dengan al-Quran.

Anak-anak Sekolah Ibnu Khaldun, bahkan ibubapa mereka, jelas teruja dan terasa berat untuk meninggalkan majlis yang tidak mungkin mereka lupakan itu. Belum pernah ibubapa dan murid Sekolah Ibnu Khaldun mengalami peristiwa seindah begini, diraikan oleh para huffaz yang sangat terkenal di negara mereka. Mereka melahirkan harapan agar HALUAN akan sentiasa membawa para huffaz seperti ini di masa akan datang.