fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Betapa Di Hujung Dunia Ini Masih Ada Yang Peduli Palestin

Ramadhan Bersama Huffaz : Betapa Di Hujung Dunia Ini Masih Ada Yang Peduli Palestin

Ramadhan Bersama Huffaz : Betapa Di Hujung Dunia Ini Masih Ada Yang Peduli Palestin

SERDANG, SELANGOR, 5 OGOS 2012 – Apabila Sheikh Mosab Ismail Haslimon dan rakan-rakannya buat pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia, beliau berbisik sayu kepada dirinya sendiri betapa di hujung dunia yang jaraknya ribuan batu ini ada masyarakat yang mengambil berat tentang permasalahan Palestin.

“Apabila aku pulang ke Palestin nanti, insyaAllah akan aku ceritakan kepada sahabat-sahabatku dan sanak-saudaraku bahawa saudara seIslamku di Malaysia sangat mengambil berat tentang Palestin,” janji beliau kepada para jemaah di Surau Al-Furqan, Taman Sri Serdang di sini ketika menyampaikan tazkirah sempena solat terawih. Terasa sebak di dada hadirin bila terdengar ungkapan ikhlas mujahid ini.

Beliau yang berasal dari Al-Khalil di Tebing Barat, iaitu tempat kelahiran dan pemakaman ramai para nabi dan anbiya, pernah menuntut di Universiti Al-Aqsa dan meraih segulung ijazah. Sepertimana ramai pemuda-pemuda Palestin lain yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis, beliau pernah ditangkap dan dipenjara sebanyak empat kali, kali terakhir pada tahun 2004. Sedang beliau menjalani hukuman penjara untuk tempoh tujuh tahun, Sheikh Mosab dibebaskan pada tahun 2011 ekoran pertukaran tahanan melibatkan seorang askar pengganas Yahudi, Gilad Shalit.

Dalam tazkirah beliau, Sheikh Mosab antara lain menegaskan, “kami di Palestin sentiasa hidup di dalam kesusahan dan kepahitan. Kerana apa? Ini tidak lain kerana Al-Aqsa.” Beliau mengulang-ulangi kata-kata tersebut sebanyak tiga kali, menunjukkan betapa pentingnya Al-Aqsa kepada kita semua umat Islam sehinggakan Allah menyebut Al-Aqsa secara terus di dalam Al-Quran melalui surah Al-Isra’.

Beliau menyedarkan para hadirin bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua umat Islam untuk membebaskan masjid yang mulia itu. “Hari ini Yahudi cuba menghancurkan Masjid Al-Aqsa. Kami, anak-anak, ahli keluarga bahkan orang-orang tua di Palestin terus menyerahkan diri, tenaga, harta benda dan apa sahaja yang kami ada demi mempertahankan tanah wakaf umat Islam ini, tanah wakaf anda semua,” kata beliau dengan penuh rendah diri. “Kami tetap akan berada dalam keadaan yang teguh untuk mempertahankannya, bukan dengan cara duduk di dalam istana atau kesenangan tetapi dengan jiwa, darah dan air mata kami.”

Menurut keterangan beliau, rakyat Gaza terpaksa bersolat terawih dalam keadaan gelap kerana bekalan tenaga elektrik dicatu di mana mereka hanya mendapat bekalan selama empat jam sehari. Pada masa yang sama, jet-jet pejuang serta drones Yahudi sentiasa berlegar-legar di udara dan melancarkan tembakan dan bom ke arah sesiapa sahaja mereka suka. Pemuda-pemuda dibunuh tanpa kesalahan dan anak-anak yang sedang bermain di luar rumah juga dibom tanpa usul periksa. “Begitulah kalau kita lihat keperitan saudara kita yang berada di Gaza hingga ke saat ini,” jelas beliau.

“Saya menyebut ini semua bukan untuk menceritakan kesusahan dan keperitan kami, tetapi adalah untuk memberitahu kesungguhan kami berada di barisan hadapan mempertahankan bumi Gaza dan seluruh Palestin supaya umat Islam di Malaysia mengambil pengiktibaran dengan apa yang berlaku dan tidak lalai terhadap nasib saudara mereka di Palestin,” terang beliau setelah bercerita panjang tentang keperitan hidup mereka.

Berkenaan pengalaman beliau berada di dalam tahanan Zionis Yahudi, Sheikh Mosab yang enggan menceritakannya dengan lanjut berkata, “pasti anda tidak sanggup mendengarnya.” Beliau bagaimanapun sempat menceritakan bagaimana makanan yang disediakan dipenjara dicampur dengan bangkai tikus bahkan ada juga ketikanya makanan itu diracuni. Beliau juga menceritakan keperitan dipaksa duduk di atas kerusi tanpa penyandar selama tiga bulan sehingga seluruh badannya jatuh sakit.

“Apakah kita sanggup melihat ibu dan adik perempuan yang datang melawat kita dalam penjara ditanggalkan pakaian untuk diperiksa supaya tiada membawa senjata?,” tanya beliau ketika menggambarkan apa yang berlaku di penjara Israel sehingga ke saat ini. Bahkan ada rakyat Palestin yang ditangkap dan kemudannya diseksa dengan dipijak-pijak dada mereka sehingga retak tulang dada dan tidak diberikan ubat atau rawatan.

Mengakhiri tazkirah beliau, Sheikh Mosab berharap agar seluruh umat Islam terus membantu rakyat Palestin. “Di Gaza kami mendapat bekalan elektrik untuk hanya dua hingga empat jam sehari. Saya pernah lihat sendiri bagaimana seorang kanak-kanak mati kerana mesin oksigen tidak dapat berfungsi apabila bekalan elektrik terputus. Kami tidak cukup peralatan dan bekalan elektrik merawat anak itu, sehingga menangislah ibubapanya melihat anak mereka mati di hadapan mereka sendiri,” cerita beliau.

Alhamdulillah, program Ramadhan Bersama Huffaz di Surau Al-Furqan telah berjaya mengumpul dana bantuan untuk rakyat Palestin sebanyak RM3,539.51. Majlis telah diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Sheikh Mosab kepada Setiausaha Surau Al-Furqan, Dr. Mohd Arif Abdul Manaf.

Semoga ahli kariah Surau Al-Furqan tidak akan putus-putus memanjatkan doa untuk rakyat Palestin. “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin, dan doa itu akan dapat menjadi pemangkin untuk kami terus berjuang di barisan hadapan membebaskan Masjid Al-Aqsa,” seru Sheikh Mosab.

Anda juga boleh menghulur sumbangan ikhlas untuk projek bantuan di Palestin melalui akaun-akaun berikut:
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun – BIMB: 14-023-01-003429-2
No Akaun – Maybank: 5644 9020 8528


Laporan oleh Mus’ab Saari, Biro HALUAN Palestin.