fbpx

Ramadan Ceria Mualaf BHF Perak

Ramadan Ceria Mualaf BHF Perak

Ramadan Ceria Mualaf BHF Perak

IPOH, 20 Mei 2018 – Biro HALUAN Fitrah Perak Unit Ipoh sangat bertuah kerana berpeluang meraikan kedatangan Ramadan bersama-sama dengan tiga buah keluarga mualaf di sekitar Ipoh pada 19 Mei lepas.

Program tautan ukhuwah dengan keluarga-keluarga mualaf tersebut diserikan dengan hadiah bakul makanan kepada mereka yang rata-ratanya dalam kategori miskin. Pada kali ini, program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Global Life Centre Ipoh, sebuah badan bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam kebajikan dan dakwah.

Keluarga Abdul Rahman dan isterinya Kamilah (mualaf India), menyatakan rasa gembira dengan kedatangan kami. Puan Kamilah terpaksa bercuti sebulan dari kerjanya sebagai tukang cuci di sebuah restoran akibat restoran ditutup sepanjang Ramadan. Bantuan ini amat bermakna untuk beliau sekeluarga yang mempunyai enam orang anak.

Begitu juga dengan keluarga Amir yang juga menyambut kedatangan kami dengan hati yang gembira. Keluarga beliau yang dikategorikan sebagai miskin tegar merasa lega dengan bantuan yang diberikan. Beliau yang bekerja sebagai pembantu penyembelih ayam di sebuah kilang memproses ayam mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Dua daripadanya mengalami masalah kesihatan yang kronik. Anak sulung beliau mengalami masalah usus dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang, manakala anak keduanya mengalami masalah jantung berlubang yang memerlukan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara.

“Kami juga merancang untuk meraikan anak-anak ini dengan menaja pembelian baju raya pada bulan Jun nanti. Semoga bulan Ramadan ini membawa rahmat kepada para penyumbang dan sukarelawan yang telah bertungkus lumus membantu keluarga-keluarga mualaf ini,” berkata Ketua BHF Perak, Dr. Kursiah Razali yang turut sama dalam program ziarah berkenaan.

BHF cawangan Ipoh berserta Global Life Centre ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penderma yang telah menghulurkan bantuan buat menyerikan kehidupan keluarga-keluarga mualaf miskin ini.


Laporan BHF Negeri Perak

Ziarah dan menyampaikan bantuan kepada keluarga Encik Abdul Rahman dan Puan Kamilah. Dr Kursiah berdiri dua dari kanan
Penyampaian bantuan kepada keluarga Encik Amir dan Puan Suriani.
Barang-barang bantuan yang bernilai RM200 setiap satu disampaikan kepada keluarga-keluarga mualaf.