fbpx

Rakyat Syria Lapar, Kesejukan: Apa Reaksi Kita?

Rakyat Syria Lapar, Kesejukan: Apa Reaksi Kita?

Rakyat Syria Lapar, Kesejukan: Apa Reaksi Kita?

BANDAR BARU BANGI, 7 Jan 2013 — Salji dilaporkan telah turun di Dhahiyah Qudsiya, Damaskus dan beberapa daerah lain di Syria. Cuaca sejuk ini digandakan lagi dengan tiupan angin yang sangat kencang.

Dalam kesejukan yang menusuk tulang hitam ini, ribuan rakyat Syria terpaksa terus berpindah dari satu tempat ke tempat lain demi menyelamatkan diri daripada serangan ganas tentera rejim syiah Basyar al-Assad yang membunuh siapa sahaja warga sunni yang menentang beliau. Di Syria, tidak ada lagi tempat yang benar-benar selamat bagi rakyatnya untuk terus bertahan. Tidak ada hari yang mereka lalui tanpa serangan tentera rejim Assad. Tidak ada lagi mana-mana kawasan yang tidak diserang. Jutaan bangunan telah hancur dan dianggarkan sekitar tiga juta rakyat Syria kini menjadi pelarian samada di bumi sendiri mahupun di negara-negara jiran.

Bayangkan, jika bukan di musim sejuk sekalipun, rakyat Syria memerlukan selimut-selimut tebal, bekalan elektrik dan bahan bakar untuk memanaskan badan. Inikan pula dalam keadaan musibah dahsyat yang melanda sekarang ini di mana mereka tidak lagi ada rumah untuk berteduh, makanan dan air bersih, apatah lagi elektrik dan bahan bakar untuk memanaskan tubuh, sudah tentu penderitaan mereka kini berlipat kali ganda.

Mereka yang terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air dan menjadi pelarian di negara jiran seperti Turki, Iraq, Mesir, Jordan dan Lubnan tidak sekali-kali berada dalam keadaan lebih baik berbanding dengan saudara mereka yang masih menetap di dalam Syria. PBB menyatakan seramai 540,000 orang pelarian Syria kini berhijrah ke negara jiran dan tinggal di kem-kem pelarian dalam keadaan menyedihkan.

Sekitar 180,000 telah berhijrah ke Lubnan dan 200,000 lagi ke Turki. Sejumlah lagi pelarian yang sebenarnya adalah bangsa Palestin yang dihalau dari kampung halaman mereka oleh rejim Zionis Israel sejak puluhan tahun lalu, kini berhijrah pulang ke Gaza.

Kehadiran pelarian mangsa-mangsa keganasan rejim Assad ini menimbulkan beban sosial dan ekonomi yang sangat besar kepada negara-negara tuan rumah. Di Lubnan sahaja, para pelarian tersebar di 540 lokasi. Minggu lalu, lebih lima ribu pelarian Syria mendaftarkan diri dengan UNHCR. Sejumlah 67,000 orang pelarian di Lubnan itu datangnya dari kawasan-kawasan yang paling menderita diserang tentera Assad seperti Aleppo, Homs, Idlib dan Damaskus. Di kalangan mereka ada rakyat biasa, ada golongan profesional seperti doktor, saintis dan profesor universiti, ada alim ulamak serta guru, dan ada ahli-ahli perniagaan yang enggan patuh kepada rejim ganas Assad. Mereka kini tinggal sehelai sepinggang akibat perang saudara yang amat memilukan.

Mereka berhijrah ke negara jiran dalam keadaan lapar dan kesejukan dengan hanya baju yang melekat di badan. Ramai di antara mereka yang terpaksa berjalan kaki sehingga ratusan kilometer. Di dalam Syria sendiri, anak-anak dan remaja terpaksa meredah perjalanan jauh dan berbahaya demi mendapatkan kayu-kayan untuk dibakar buat memanaskan badan.

Di pusat-pusat pelarian di Lubnan, satu keluarga terpaksa bersesak dalam satu bilik dan cuba menghangatkan badan dari cuaca yang sudah mencecah -10 Celcius, dengan hanya menggunakan dapur kecil yang diberikan oleh pihak pengurusan pelarian.

Insani Yardim Vakfi (IHH), sebuah NGO Turki, sedang giat menggerakkan kempen “Winter is coming… Bread and Blankets for Syria” untuk mengumpul dana bagi membekal roti dan selimut bagi pelarian yang masih berada di dalam Syria. Sebanyak 850 tan gandum telah dibawa ke Hatay, Kilis dan kem-kem lain di sempadan. Dari sempadan, bantuan gandum itu akan dibawa ke Aleppo, Hama, Homs, Latakia dan Damaskus.

Presiden IHH, Bülent Yildirim menyebut, “Kita telah melihat banyak peperangan, dan kami menjadi saksi kepada tragedi kemanusiaan di banyak negara, tetapi malangnya apa yang kami lihat di Syria adalah tragedi yang paling dahsyat. Syria adalah satu tempat di mana tidak ada lagi perkataan yang boleh kita ungkapkan. Rakyat Syria berhadapan dengan kematian, mereka kesejukan dan kelaparan.”

Beberapa pasukan relawan HALUAN Malaysia telah melihat sendiri penderitaan pelarian Syria di sempadan Turki dan Jordan. Pasukan pertama telah mengagih bantuan kepada pelarian di kem Mafraq dan Ramsa di sempadan Jordan pada bulan April 2012 lalu.

Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri bersama tiga relawan HALUAN pula telah bekerjasama dengan IHH berada di sempadan Turki-Syria pada bulan Jun 2012 bagi mengagihkan bantuan makanan dan kelengkapan perubatan. Makanan asas yang mengandungi beras, pelbagai kekacang, minyak masak, minyak zaitun dan gula yang setiap satunya bernilai RM150 diagihkan kepada pelarian di sempadan Turki dan juga mereka yang masih bertahan di dalam Syria.

Manakala pada bulan Oktober 2012, Presiden HALUAN Malaysia Dr Abdullah Sudin Ab Rahman telah mengetuai delegasi menyampaikan bantuan sebanyak RM80,000 untuk pelarian Syria dengan kerjasama Islamic Charity Centre Society (ICCS) di Amman, Jordan. Sumbangan tersebut digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak pelarian Syria, membekalkan makanan asasi untuk keluarga-keluarga pelarian, wang pembiayaan untuk menampung sebahagian kos kehidupan dan juga sebagai sedekah korban yang telah diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

HALUAN juga bekerjasama dengan Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief dan Sahabat Al-Aqsha Indonesia menyediakan sekolah darurat bagi kanak-kanak pelarian meneruskan pendidikan rendah di Antakya.

Dengan musim sejuk yang sudah tiba ini, bantuan yang sangat diperlukan oleh para pelarian sekarang ini adalah alat pemanas, selimut, pakaian tebal, bahan bakar, tempat berteduh, makanan dan tilam.

Kita rakyat Malaysia mungkin tidak pernah kesejukan! Bagaimana reaksi kita dengan saudara di Syria yang kesejukan tanpa tempat berteduh, makanan dan rumah ini? Allah menguji mereka dengan keperitan demi keperitan, yang belum lagi melihatkan tanda-tanda kesudahan.

Hangatkan anak-anak Syria dengan kehangatan persaudaraan kita! Bantulah mereka.

Sumbangan anda boleh disalurkan melalui “Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN”, Maybank 5622 6350 2611. Semoga Allah menggandakan balasan kebaikan untuk anda dan keluarga.