fbpx

Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) Kunak Mendapat Sambutan Penduduk

Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) Kunak Mendapat Sambutan Penduduk

Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) Kunak Mendapat Sambutan Penduduk

26 Oktober 2009, KUNAK, SABAH – Penduduk Kampung Pangi dan Kampung Kunak Tiga di daerah Kunak, Sabah begitu mengalu-alukan kehadiran HALUAN bagi menjayakan Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) di kawasan mereka.


Program selama 2 hari yang diadakan buat julung kali tersebut telah dapat menyuntik perubahan minda dan gaya hidup masyarakat pedalaman di sini.

PPMI adalah merupakan satu projek kemasyarakatan HALUAN yang dilaksanakan dengan bantuan geran daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW.) Melalui projek ini, pelbagai program dan aktiviti disusun bagi membuka dan membentuk minda masyarakat pedalaman untuk mengubah cara pemikiran dan gaya hidup mereka sehingga mereka dapat maju kehadapan dari segi ekonomi, sosial, cara hidup dan akhlak.  Antara objektif utama PPMI adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya institusi kekeluargaan, kesihatan dan penjagaan makanan. Melalui kajiselidik dalam program ini, HALUAN juga dapat meneliti permasalahan penduduk dalam hal kesihatan dan sosioekonomi.

Rombongan HALUAN ke Kunak telah diketuai oleh Naib Presiden 3 HALUAN, Dr Hj Azizan bin Ahmad. Seramai 26 orang relawan daripada Semenanjung menjayakan program ini, termasuklah 9 orang doktor dan 8 orang paramedik. Manakala 10 orang ahli HALUAN di Sabah telah membantu urusan logistik dan perhubungan.

Menurut Pengarah Projek PPMI, Dr Wan Muhaizan bt Wan Mustaffa, aktiviti utama yang berjaya dilaksanakan melalui program ini termasuklah ceramah dan pemeriksaan kesihatan, ceramah motivasi keluarga dan juga kaji-selidik status masyarakat. Ceramah kesihatan telah disampaikan oleh wakil Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) Dr Hamimah Saad yang merupakan seorang Pakar Kesihatan Keluarga. Manakala ceramah motivasi keluarga telah disampaikan oleh Tuan Hj Ibrahim Abd Rahman, seorang pakar motivasi keluarga dari Telekom Malaysia yang juga merupakan Ketua Unit Kaunseling dan Motivasi HALUAN.

Pada hari pertama program dijalankan, seramai 230 orang penduduk termasuk 60 orang pelajar sekolah darjah 4, 5 dan 6 telah mendapat pemeriksaan, kaunseling dan rawatan kesihatan. Antara aspek yang ditekankan dalam pemeriksaan ini adalah tekanan darah, ujian gula darah dan body mass index (BMI.) Bagi pelajar-pelajar sekolah, mereka juga telah diberi ubat cacing, ubat kutu, ubat kudis buta dan vitamin. Soal selidik sosioekonomi dan kesihatan turut diadakan, di mana ketua keluarga telah diminta supaya memberi maklumat berkenaan keluarga dan persekitaran mereka.

Hari kedua diteruskan dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan ke atas 225 orang penduduk dewasa di Kampung Kunak Tiga. Pengerusi KKH, Dr Basir Towil yang juga merupakan seorang Pakar Tulang, bersama-sama dua orang doktor lain telah mengadakan lawatan ke dua buah rumah pesakit yang mengalami sakit lutut dan angin ahmar.

Upacara penutup program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang, iaitu Ahli DUN Kunak. Turut hadir di majlis penutup adalah Pemantau Projek KKLW Sabah, En Kamaruzaman, Ketua Daerah Kunak, Puan Hajah Maimunah bin Dato Zainal, serta ketua-ketua kampung terbabit.

Bagi relawan-relawan HALUAN, program ini telah berjaya membina asas kepada program susulan yang lebih menyeluruh. “Penyertaan penduduk adalah amat baik sekali dan mereka amat mengalu-alukan kedatangan rombongan HALUAN,” kata Dr Wan Muhaizan. “Dari aspek kesihatan, kita dapati begitu ramai kanak-kanak yang berkutu, kekurangan zat makanan dan mengalami jangkitan kulit. Ramai dari kalangan lelaki yang merokok. Manakala dalam hal sosioekonomi, kebanyakan penduduk adalah miskin tegar di mana pendapatan mereka rata-rata kurang dari RM 450. Kebanyakan mereka adalah nelayan dan mengusahakan kebun,” jelas beliau lagi.

Bancian umur penduduk tidak dapat dijalankan dengan tepat kerana pendaftaran kelahiran hanya baru dilaksanakan. Menurut kajian HALUAN lagi, sanitasi penduduk di sini agak teruk kerana rumah mereka dibina di tepi pantai dan tidak ada tandas yang sempurna, di mana buangan najis terus ke pantai.

Menyentuh tentang kejayaan program ini, Dr Wan Muhaizan berharap program susulan dapat dirancang dengan tersusun supaya perubahan dapat diteruskan dengan jayanya. “Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, termasuklah KKLW, ADUN dan Ketua daerah Kunak, relawan-relawan HALUAN dan penduduk kampung semuanya. InsyaAllah dengan sokongan padu mereka HALUAN akan menyusun lawatan, ceramah dan aktiviti secara berkala dan mengadakan program pendidikan berterusan di sana,” kata Dr Wan Muhaizan.