fbpx

Program Korban Eidul Adha di Kg Kuala Boh Disambut Penuh Kemeriahan

Program Korban Eidul Adha di Kg Kuala Boh Disambut Penuh Kemeriahan

Program Korban Eidul Adha di Kg Kuala Boh Disambut Penuh Kemeriahan

KG KUALA BOH, 28 November 2009 — Pengalaman melaksanakan ibadah korban bersama masyarakat di luar bandar begitu bermakna bagi 45 orang relawan HALUAN yang berkunjung ke Kg Kuala Boh, Cameron Highlands sempena merayakan Aidiladha baru lalu. Ini bukanlah kali pertama relawan HALUAN bersama-sama masyarakat Orang Asli di Kg Kuala Boh, namun setiap kali mereka ke tanah tinggi yang penuh kehijauan itu sudah tentu dipenuhi dengan pelbagai program bagi meninggikan syiar Islam di kalangan penduduk.


Program korban yang disusun oleh HALUAN Selangor itu telah diketuai oleh Ir Megat Saidi Nik Ngah. Beliau diiringi oleh seramai 30 relawan lelaki dan 15 wanita, mengembara berkumpulan dari Kuala Lumpur melalui pekan Sg Koyan di Pahang pada hari Jumaat 27 November. Hujan yang berterusan telah memberi pengalaman mengharungi jalan berlumpur, yang sudah tentu memberi cabaran kepada warga kota yang saban hari menikmati kemudahan lebuhraya berbayar, tanpa becak dan lopak. Namun berbekalkan misi untuk meninggikan syiar Islam di Kg Kuala Boh, mereka tetap gigih dan alhamduliLlah selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Walaupun harus mengumpul tenaga bagi melaksanakan program korban pada keesokan harinya, relawan HALUAN tetap meneruskan agenda seperti yang dirancang. Jam 9 malam, relawan-relawan muda dari Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) menghiburkan kira-kira 50 orang hadirin dengan tayangan video berunsur kenabian. Sesi tersebut kemudiannya diikuti dengan majlis penyampaian cenderahati, sebelum mereka pulang berehat bagi meneruskan acara di pagi esok.

Majlis sembelihan korban bermula seawal jam 8 pagi keesokannya. Sejumlah 9 ekor lembu dikorbankan bersama-sama kira-kira 30 orang kampung yang hadir. Ketika masyarakat lelaki sibuk menguruskan daging-daging korban, relawan-relawan dari HALUANITA Selangor mengambil peluang mengadakan sukaneka untuk kanak-kanak. Kemeriahan menyambut hari kebesaran Eidul Adha jelas terpancar di riak wajah kira-kira 40 orang kanak-kanak yang hadir.

Seperti lazimnya, kunjungan HALUAN ke Kg Kuala Boh tidak lengkap tanpa memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan dan rawatan percuma kepada masyarakat di situ. Seramai 52 orang telah mengambil kesempatan membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan perubatan percuma dari relawan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) yang diketuai oleh Dr Ahmad Zabidin Zakaria.

Kunjungan bagi merayakan Eidul Adha dan program korban ini berakhir dengan jamuan tengahari bersama 150 orang masyarakat Kg Kuala Boh. Kemeriahan menikmati jamuan tersebut turut diserikan dengan kehadiran pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Pengalaman singkat di Kg Kuala Boh ini cukup bermakna kepada relawan HALUAN. Mereka meninggalkan kelaziman hidup di kota demi memberi sedikit pengorbanan untuk meraikan masyarakat Orang Asli di Kg Kuala Boh dalam menyambut hari kebesaran Eidul Adha. Sepertimana relawan lain yang bertebaran ke Padang, Sumatera, ke Kemboja, mahupun ke perkampungan Islam yang miskin di Sabah, kita mengharapkan agar setiap pengorbanan mereka di terima oleh Allah SWT. Pengalaman yang mereka lalui sudah tentu dapat memberi didikan tarbawi dalam membaiki diri dan juga masyarakat.