fbpx

Program “Asnaf Dihatiku” Di Seluruh Malaysia

Program “Asnaf Dihatiku” Di Seluruh Malaysia

Program “Asnaf Dihatiku” Di Seluruh Malaysia

BANDAR BARU BANGI, 25 Jun 2018 – Sepanjang bulan Ramadan 1439H, HALUAN setiap cawangan di seluruh negara telah menyantuni golongan asnaf yang terdiri daripada kalangan ibu tunggal, fakir miskin dan anak yatim. Sekitar 150 keluarga daripada seluruh negara telah disantuni.

Objektif program ini adalah untuk mendekati golongan asnaf dan memberikan bantuan kepada mereka agar mereka juga dapat merasai kegembiraan Ramadan dan Aidil Fitri. Selain itu para peserta juga dapat merasai dan melihat sendiri kesusahan yang dihadapi oleh golongan asnaf.

Program Asnaf Dihatiku ini telah menerima pelbagai sumbangan berbentuk wang dan keperluan hidup daripada masyarakat dan ahli HALUAN yang prihatin. Semua sumbangan diagihkan sendiri oleh ahli HALUAN seluruh negeri dengan mengadakan program ziarah atau program sumbangan yang dilaksanakan di masjid, surau atau pejabat HALUAN negeri tersebut.

Selain aktiviti sumbangan dan ziarah, terdapat juga aktiviti-aktiviti lain sepanjang bulan Ramadan yang bermanfaat seperti tadarus Al-Quran, ceramah agama, iftar bersama, aktiviti menjahit dan lain-lain.

Sebanyak 13 negeri seluruh Malaysia telah melaksanakan program Asnaf Dihatiku ini. Antaranya adalah HALUAN Kuala Lumpur. Program telah diadakan pada 28 Mei lepas di Surau Ansar Datuk Keramat. Seramai 12 orang pelajar Kejururawatan PiCOMS telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang. Penyampaian telah disempurnakan oleh Puan Asiah Ibrahim selaku wakil Biro HALUANITA Kuala Lumpur dan Ketua Muslimat Surau Ansar, Professor Dr. Ramelah Mohamed.

Seterusnya HALUAN juga membuat lawatan dari rumah ke rumah. Antara yang bersama ialah Puan Asiah Ibrahim, Puan Saadiah Yacob, Puan Sharihan Saari serta seorang relawan Puan Noorashikin Zainol Abidin. Mereka telah mengadakan lawatan serta menyampaikan sumbangan kepada penerima pada 2 Jun lalu bermula dari 10.30 pagi hingga 3.00 petang. Sumbangan telah disampaikan kepada enam buah keluarga yang memerlukan. Setiap keluarga telah menerima satu pek barang makanan bernilai RM50 serta sumbangan wang tunai RM150.

Selain itu, HALUAN Sabah juga tidak ketinggalan melaksanakan program Asnaf Dihatiku ini. Antaranya adalah Program di Kampung Bitoon yang diadakan di madrasah Tahfiz Bayu Syahadah. Program dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh salah seorang bakal huffaz, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Biro HALUANITA Sabah, Dr. Rashidah Omar. Seterusnya tazkirah Ramadan dibuat oleh Puan Syuwaida Nasuha Zahari. Program ini diakhiri dengan penyampaian sumbangan bahan asas keperluan dapur kepada ibu tunggal dan fakir miskin serta anak yatim.

Selepas itu, rogram berkenaan diteruskan di Kampung Bandulan dan Kampung Tegupi yang melibatkan ibu tunggal dan asnaf. Beberapa wakil HALUAN menyampaikan sumbangan di tempat kediaman penerima masing-masing.

Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada masyarakat mengenali HALUAN  dengan lebih mendalam.

_
Laporan Ummu Hani Binti Mohd Nasaruddin, Setiausaha Kerja 1 HALUAN