fbpx

ProCAST 2/2015 Menjana Pelajar Bersahsiah Terpuji

ProCAST 2/2015 Menjana Pelajar Bersahsiah Terpuji

ProCAST 2/2015 Menjana Pelajar Bersahsiah Terpuji

SHAH ALAM, 5 Dis 2015 — Harapan setiap guru dan ibu bapa adalah melahirkan insan-insan pewaris masa hadapan ummah yang dilengkapi dengan kemahiran belajar, berakhlak mulia dan kepimpinan yang tinggi.

Namun visi ini sukar dicapai hanya semasa di bangku sekolah sahaja. Menyedari hakikat itu, HALUAN Cawangan Selangor dengan kerjasama Sekolah Menengah Ibn Khaldun dan Masjid An-Naim, Jalan Kebun telah menganjurkan Program Cemerlang Akademik dan Sahsiah Terpuji (ProCAST) Siri 2 bagi tahun 2015 pada 21- 24 November lepas. Program ciptaan HALUAN ini telah pun berjalan selama satu dekad bermula dari awal 2005 hingga kini dengan jayanya.

Kali ini bertempat di Kem Bumi Jati dan Masjid An-Naim, Jalan Kebun, program ini menyasarkan penyertaan seramai 100 orang pelajar tingkatan empat daripada segenap pelusuk Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Turut membantu menjayakan ProCAST 2/2015 ialah Puan Saadiah Kamiso, Puan Kalsom Redzuan dan Puan Umi Nazrah yang mengisi slot-slot sepanjang program berlangsung.

Pada hari ketiga program, peserta-peserta ProCAST seramai 110 orang lelaki dan perempuan itu dibawa ke Masjid An-Naim di sini untuk membantu mengendalikan Kem Kembara Anak Soleh yang dianjurkan secara bersama dengan pihak Jawatankuasa Masjid berkenaan. Selari dengan matlamat ProCAST 2/2015 yang bertujuan memupuk kemahiran kepimpinan dan komunikasi, peserta-peserta ProCAST 2/2015 diberikan peranan sebagai kem komandan, fasilitator dan AJK-AJK berkaitan. Mereka menghadapi cabaran yang besar dari segi peserta yang mencecah 160 orang, semuda lima tahun sehingga umur 16 tahun. Walau bagaimanapun, mereka berjaya mengendalikan program dalam keadaan serba sederhana.

ProCAST 2/2015 melabuhkan tirainya di Masjid An-Naim dengan majlis penutupan. Turut hadir pada majlis penutupan ialah Cikgu Hassan Ali, pengetua SM Ibn Khaldun dan Encik Salehan Tahir, Ketua Kampung Jalan Kebun yang telah merasmikan penutupan ProCAST 2/2015.

Menurut seorang peserta ProCAST, Muhammad ‘Uwais Qarni Ahmad Adli, penyertaan ProCAST yang melibatkan pelbagai sekolah kerajaan mahupun swasta berjaya mengeratkan ikatan persaudaraan sesama peserta. Katanya lagi, “ProCAST menjadikan kami lebih berdisiplin dan bermotivasi untuk dapat mengubah akhlak kami ke arah yang benar dan diredai Allah dan RasulNya.”


Laporan oleh Muzzammil Shamsudin, Setiausaha PROCAST