fbpx

Presiden HALUAN Sampaikan Bantuan Kepada Pelarian Syria

Presiden HALUAN Sampaikan Bantuan Kepada Pelarian Syria

Presiden HALUAN Sampaikan Bantuan Kepada Pelarian Syria

AMMAN, JORDAN, 18 Oktober 2012 — Misi Kemanusiaan Syria (MKS) HALUAN diteruskan lagi di sempadan Jordan-Syria. Setelah 20 bulan pergolakan, kini hampir 700,000 rakyat Syria menjadi pelarian di negara mereka sendiri dan juga di negara jiran Jordan, Lubnan dan Turki. Sehingga saat ini lebih 35,000 nyawa telah terkorban akibat peperangan dan kekejaman rejim Bashar Assad.

Satu delegasi HALUAN Malaysia yang diketuai oleh Presiden, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, bersama Timbalan Presiden, Prof Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Md Yassin, dan Setiausaha Agung, Hj Mohd Ghani Salleh, telah berkunjung ke pejabat Islamic Charity Centre Society (ICCS) di Amman, Jordan untuk menjalin kerjasama dan menyampaikan bantuan. ICCS adalah sebuah NGO kebajikan dan kemasyarakatan yang terbesar dan aktif di Jordan. Sejak bermula misi bantuan kepada pelarian Syria, HALUAN Malaysia telah bekerjasama dengan ICCS dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan di sempadan Syria-Jordan.

Delegasi HALUAN tersebut telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah ICCS, Ir Murad Adaileh, dan mendengar taklimat perkembangan terkini pergolakan di Syria serta permasalahan pelarian Syria yang kini sudah melebihi 200,000 orang.

Dijangkakan sehingga hujung Disember tahun ini lebih ramai lagi pelarian akan berhijrah mendapatkan perlindungan di Jordan. Kebanyakan pelarian tertumpu di bandar-bandar sempadan seperti Mafraq dan Ramtha. Sejak empat bulan yang lalu kerajaan Jordan dengan bantuan UNCHR telah mendirikan kem pelarian di sempadan Jordan-Syria, tetapi keadaannya amat dhaif dan kurang sesuai dihuni oleh pelarian terutamanya dengan kedatangan musim sejuk tidak lama lagi.

Dr Abdullah Sudin telah menyerahkan sendiri sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM80,000 untuk pelarian Syria. Sumbangan yang diserahkan melalui ICCS tersebut akan digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak pelarian Syria, membekalkan makanan asasi untuk keluarga-keluarga pelarian, wang pembiayaan untuk menampung sebahagian kos kehidupan dan juga sebagai sedekah korban yang akan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

jordan2Rombongan ini sempat menziarahi beberapa penempatan pelarian Syria di sekitar Amman. Dr Abdullah Sudin telah mengagihkan sumbangan berupa makanan asasi dan kewangan kepada 100 keluarga pelarian yang benar-benar memerlukan. Lebih 75 kotak yang mengandungi beras, gula, minyak masak, sardin, kekacang dan lain-lain bernilai RM180 setiap satunya disampaikan sendiri oleh beliau. Beliau juga mengetuai agihan sumbangan kewangan sebanyak RM110 kepada setiap penerima dari kalangan pelarian untuk meringankan bebanan kos kehidupan seharian mereka.

Mengulas keadaan yang dialami oleh mangsa-mangsa kekejaman rejim Bashar ini, Dr Abdullah Sudin berkata, “sesungguhnya bebanan dan penderitaan yang dirasai oleh setiap pelarian Syria di mana jua mereka mencari perlindungan adalah terlalu berat dan keadaan pergolakan yang sedang berlaku sekarang tidak memberikan indikator bila akan berakhirnya bencana peperangan ini. Adalah menjadi kewajiban setiap umat Islam yang prihatin untuk terus membantu mereka dengan apa sahaja kemampuan yang ada.”

Jelas beliau lagi, “HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan sudah merangka bantuan jangkamasa panjang dari aspek pendidikan, bantuan sara hidup dan perubatan. Bantuan ini akan lebih lancar hasil kerjasama antara HALUAN-ICCS yang telah dimeterai secara rasmi.”


Laporan Ahmad Ikhwan Subberi di Irbid, Jordan.