fbpx

Pihak Berkuasa Agama dan NGO Perlu Bergandingan

Pihak Berkuasa Agama dan NGO Perlu Bergandingan

Pihak Berkuasa Agama dan NGO Perlu Bergandingan

NILAI, 8 Sept 2013 — Masanya sudah tiba untuk diwujudkan gandingan lebih serius dan bersifat kekal berjangka panjang di antara JAKIM, Majlis Agama Islam negeri-negeri, Jabatan-Jabatan agama, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, dengan NGO-NGO yang berdakwah di lapangan.

Pengerusi Kelab Fitrah HALUAN (HALUAN Fitrah), Dr Jamaluddin James Laeng Abdullah berkata usaha bersepadu dengan koordinasi yang baik amatlah perlu untuk memastikan keberkesanan usaha dakwah dan tarbiyah, agar lebih ramai kelompok non-Muslim dapat mengenali Islam secara lebih dekat, terhormat dan tersusun. Di samping itu juga, sikap NGO-friendly oleh agensi-agensi berkenaan akan dapat meringankan sedikit beban dakwah di lapangan yang terpaksa diharungi oleh mereka. Untuk itu, katanya agensi-agensi terbabit seharusnya segera melaksanakan kerjasama pintar dengan NGO-NGO yang benar-benar serius dalam usaha dakwah mereka.

“Masanya sudahpun tiba. Pendanaan yang konsisten dan beraudit perlu disalurkan kepada NGO-NGO yang serius kerana merekalah pemangkin dakwah kepada para mualaf dan non-Muslim, sebagai rakan sinergi kepada Majlis dan Jabatan Agama negeri-negeri yang sentiasa menghadapi kekangan masa dan sumber tenaga manusia,” kata beliau dalam kertaskerjanya bertajuk Perspektif NGO di Lapangan: Mendepani Cabaran Tarbiyah dan Kebajikan Mualaf Di Malaysia di Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 (ICMuD) yang berlangsung pada 7-8 September di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Katanya lagi pihak berkuasa agama harus membantu NGO menyiapkan binaan kekal berbentuk pejabat dakwah yang mengalukan kemasukan masyarakat kepada Islam di pusat-pusat bandar (urban centres) dan pekan-pekan kecil. Di samping itu, mereka juga harus melatih sumber manusia daripada kalangan NGO-NGO untuk mendepani isu, permasalahan dan solusi ilmu perbandingan agama (muqaranah al-adyan) agar mereka fasih, tersusun dan tertib dalam mempersembahkan Islam kepada mualaf dan non-Muslims.

“Kita perlu objektif semasa merangka kurikulum yang paling sesuai dan realistik – mengambil kira daripada sudut perspektif kesediaan naluri mualaf itu sendiri – untuk prospek non-Muslim mendekati Islam. Kita tidak boleh gopoh dan hendak cepat mencapai natijah luaran sedangkan dalaman mualaf itu sendiri masih samar dan sangsi dalam banyak aspek terutama pegangan tauhid. Kurikulum ini perlu bertahap, daripada awalan seseorang mualaf itu masuk kepada Islam sehinggalah dia menelusuri kehidupan baru ini selama beberapa tahun selepas itu. Pada setiap tahap ada saja peningkatan iman, taqwa dan akhlak mereka,” kata beliau kepada mediaHALUAN.

Antara saranan HALUAN Fitrah termasuklah menyediakan kit permulaan untuk mualaf baru serta panduan harian untuk mualaf lama agar isi kandungannya dapat dihuraikan dengan baik dan teratur oleh guru-guru yang mengajar mereka. Untuk orang asal pula, katanya pihak berkuasa agama harus membantu NGO untuk membina dan menginstitusikan surau dan rumah petugas dakwah di dalam penempatan sasaran orang asal. Relawan NGO akan berkampung secara bergilir tetapi konsisten di penempatan tersebut. Ini mirip perancangan pihak misionari yang berani mendirikan gereja dan tadika kristian di penempatan seperti itu. Langkah ini akan dapat memastikan bahawa pada setiap masa, NGO Islam yang diamanahkan akan sentiasa berada di kalangan orang asal untuk membimbing mereka dalam selok-belok kehidupan sebagai Muslim yang sejati, tidak hanya dengan melawat mereka secara berkala sahaja.

“Untuk NGO yang mampu memberikan komitmen yang jelas, sediakan elaun khas yang menarik untuk membolehkan mereka merancang dengan baik dan meletakkan sumber manusia terlatih di pusat-pusat dakwah berkenaan. Pihak berkuasa agama harus mengadakan pemantauan di semua pusat-pusat berkenaan agar selari dengan objektif umum Islam. Pendanaan membantu NGO ini sesuatu yang pihak berkuasa agama harus fikirkan secara serius. Kita akui tidak semua NGO mampu melaksanakan tugasan dakwah di lapangan seperti ini. Tapi bagaimana dengan NGO yang berkemampuan dan ada sumber manusia tetapi tiada dana? Kami di HALUAN ada para lulusan agama dan bukan agama terdiri daripada pemuda-pemudi yang ingin berkhidmat di pendalaman dan di urban centres. Kekangan kami cumalah dana,” tegas Dr Jamaluddin ketika diminta mengulas penyampaian kertas kerja beliau.

Katanya lagi pihak JAKIM harus mengambil pendirian baru dengan tidak meletakkan dirinya sebagai agensi yang “berkecuali daripada aktiviti mendakwah kepada bukan Islam dan hanya menumpukan kepada maslahat orang Islam sahaja”. JAKIM tidak lagi boleh berbelah bagi dalam dakwah kerana “risau dituduh sebagai agensi kerajaan yang mendakwah kepada non-Muslims” oleh pihak-pihak tertentu termasuk pelobi agama di Parlimen dan sebagainya. Ini kerana kerja berdakwah kepada bukan Islam itu mendapat mandat dan perlindungan di bawah Perlembagaan negara.

NGO seperti HALUAN yang sudahpun turun ke gelanggang bersedia menjalinkan kerjasama dalam bentuk jangka panjang dengan pihak JAKIM mahupun majlis-majlis dan jabatan-jabatan agama di negeri-negeri seluruh Malaysia.

Seminar tersebut disertai hampir 100 orang peserta dari dalam dan luar negara. Ianya dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Selangor, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia dan KUIS sendiri selaku tuan rumah.

“Kami mempunyai ahli di setiap negeri dan kami boleh gembelingkan tenaga muda kami untuk menjayakan projek dakwah mualaf serta non-Muslim jika diberikan kepercayaan, InsyaAllah,” berkata Dr Jamaluddin yang suatu masa dahulu adalah seorang penganut Kristian Katolik.