fbpx

Pewaris 8 Mencorak Harapan Ummah

Pewaris 8 Mencorak Harapan Ummah

Pewaris 8 Mencorak Harapan Ummah

PASIR PUTEH, 13 Feb 2013 – Perkhemahan Pewaris Remaja HALUAN Kebangsaan (PEWARIS 8 ) telah berlangsung dengan jayanya pada 10-12hb Februari 2013 di sini, anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH).

Perkhemahan di D’Muara Chalet, Tok Bali, Kelantan ini telah dihadiri 139 orang wakil pimpinan remaja dari setiap negeri. Tema yang dibawa oleh PeWARIS 8 kali ini ialah ‘Youth Of Dignity, Catalyst In Society’.

Program yang dirasmikan oleh Penasihat KeARAH, Encik Baderol Allam Awang ini telah memberi 1,001 makna kepada para peserta dalam usaha memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam diri mereka.

Selesai sahaja majlis perasmian, para peserta bermula dengan aktiviti ‘Ice Breaking’ dan ‘Team Building’ sepanjang pendakian melalui beberapa ‘check point’ di Bukit Keluang, Besut. Aktiviti tersebut nyata banyak meningkatkan ikatan ukhwah dan saling kenal-mengenali antara peserta. Pada malamnya, peserta disajikan pula dengan slot ‘Qodhiyah Islamiah’ yang memberi pencerahan mengenai realiti umat Islam kini serta kewajipan mereka sebagai bakal pimpinan masyarakat pada masa hadapan.

Hari kedua, para peserta dikehendaki menyelusuri pantai sepanjang lebih 3 kilometer sebelum mendengar slot yang kedua bertajuk ‘Kewajipan Dan Teknik Dakwah’ oleh Cikgu Mohd Adi Ismail. Seterusnya, melalui pengisian tersebut peserta perlu merasai sendiri pengalaman dakwah itu melalui aktiviti temu ramah dan interaksi bersama masyarakat di sekitar kampung tersebut.

Slot yang ketiga adalah ‘Hubungan dengan Allah: Kepentingan Solat’ yang telah disampaikan oleh Cikgu Azmi Bahari. Melalui slot ini para peserta dapat merasai kepentingan solat yang merupakan jalan utama meraih kekuatan daripada Allah SWT. Peserta juga berpeluang melaksanakan bakti dan khidmat masyarakat seperti mencuci masjid, membersihkan pantai dan sebagainya.

Slot seterusnya bertajuk ‘Kepentingan Tarbiah Islamiah Harakiyah’ juga disampaikan oleh Cikgu Azmi Bahari. Melalui slot ini peserta ditekankan kaedah-kaedah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam usaha membangunkan diri dan masyarakat sekaligus mencontohi gaya kepimpinan baginda SAW.

Mereka juga berpeluang merasai pengalaman bertempur melalui permainan ‘The Battle Of Pewaris’. Permainan yang berkonsepkan peperangan ini bertujuan melatih kekuatan fizikal para peserta di samping kemahiran intelek dalam menyusun strategi demi mencapai objektif permainan. Rata-rata peserta sangat tertarik dan bersemangat sepanjang melalui permainan tersebut.

Slot terakhir yang dilalui oleh para peserta ialah ‘Mengisi Kepimpinan Remaja’ yang disampaikan oleh Encik Kamarudin Deraman. Beliau banyak menekankan sikap dan ciri-ciri yang perlu ditonjolkan oleh seorang pemimpin dalam menghadapi cabaran suasana pada hari ini.

PeWARIS 8 berakhir dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga & Remaja HALUAN Pusat, Encik Mohd. Nasaruddin Abdul ManafBeliau memberi penekanan dan harapan kepada para peserta kem kali ini supaya sentiasa meningkatkan diri dalam usaha melahirkan pemimpin masyarakat yang amanah dan berintegriti pada masa yang akan datang.