fbpx

PESONA Kembali Lagi !!

PESONA Kembali Lagi !!

PESONA Kembali Lagi !!

BANDAR BARU BANGI, 11 Nov 2012 — Tahniah kepada HALUANITA kerana telah berjaya menganjurkan Kem Personaliti Remaja Putri (PESONA) kali ke-15 dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya. Program yang berlangsung selama dua hari satu malam telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya bermula pada 10 November.

Seramai 150 peserta terdiri daripada kalangan remaja puteri berumur 13 hingga 16 tahun telah hadir dengan sebahagian besarnya dari Selangor. .

Dengan bertemakan ”Remaja Berkualiti Akhlak Terpuji”, program ini diadakan bertujuan membina atau membentuk akhlak dan jati diri peserta dalam melahirkan generasi remaja yang berkualiti dan bermanfaat kepada agama, bangsa serta negara di samping menjadikan remaja role-model kepada keluarga dan masyarakat.

Naziha Hadi Yaakob, salah seorang peserta berkata, “Kami berasa sangat terharu dan bersyukur kerana terpilih untuk hadir ke PESONA kerana PESONA telah membuka pintu hati kami untuk terus mengambil langkah untuk berusaha dan berubah menjadi seorang remaja yang cemerlang seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.”

Peserta dihidangkan dengan tiga slot motivasi iaitu “Cabaran Remaja Puteri Masa Kini Dan Penyelesaiannya” oleh Prof Madya Dr Azizan Ahmad , Naib Presiden HALUAN, “Remaja Di Zaman Rasulullah” oleh Puan Fatimah Syarha Mohd Nordin, dan “Menjadi Remaja Harapan” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammed Jamallulail Tajudin.

Aktiviti explorace tarbawi yang diadakan di sekitar kawasan masjid merupakan aktiviti yang paling disukai peserta di mana ia telah menguji ketangkasan fizikal dan minda untuk menyelesaikan tugasan yang telah diberikan.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Abdul Manaf Hj Mat, Imam Besar Masjid Putra. Memetik pesanan beliau kepada peserta dalam ucapannya, beliau berkata, “Program membaiki dan memproses manusia seperti Kem Personaliti Remaja Putri (PESONA) ini perlu diteruskan. Projek untuk membaiki dan memproses manusia merupakan satu projek yang sangat mulia dan sangat besar di sisi Allah SWT “.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat kerana telah berjaya merealisasikan PESONA 2012 dengan harapan akan terlahirlah nanti modal insan yang berkualiti dan mempunyai akhlak terpuji yang akan memimpin Malaysia ke alaf baru.