fbpx

PESONA Alumni Ber’xplorace’ di Putrajaya

PESONA Alumni Ber’xplorace’ di Putrajaya

PESONA Alumni Ber’xplorace’ di Putrajaya

PUTRAJAYA, 28 Nov 2013 – Bertemakan “Transformasi: Aku yang dulu bukan sekarang, dulu lain sekarang lain..”, Kem Personaliti Remaja (PESONA) kali ke-17 telah berjaya diadakan di Putrajaya pada 22 hingga 23 November 2013.

PESONA kali ini merupakan program khas untuk alumni iaitu peserta-peserta yang pernah mengikutinya dan berkonsepkan outdoor. Peserta telah menginap di Masjid Putra, Putrajaya. Program PESONA untuk alumni ini telah dihadiri oleh 48 remaja putri berumur 12 hingga 16 tahun daripada pelbagai sekolah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan dibantu oleh 20 orang fasilitator dan urusetia.

Program ini dimulakan dengan slot muhasabah yang dikendalikan oleh Komandan Kem, Cikgu Masruroh Aminah bersama Cikgu Nur Sarah telah berjaya menyentuh hati para peserta dengan bermuhasabah tentang “Hubungan dengan Pencipta” dan “Ibu”. Keesokan harinya, selepas kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustazah Aishah Abdullah, bermulalah aktiviti luar yang menggembirakan. Para peserta telah berjalan kaki bersama fasilitator sejauh 2.3 km merentasi Jambatan Sri Perdana ke tempat Xplorace di Kelab Tasik Putrajaya di Presint 8.

Xplorace Tarbawi diadakan di kawasan sekitar Kelab Tasik Putrajaya dan Presint 8 mempunyai lima checkpoint yang bertemakan penghijrahan. Checkpoint “Adik, Jangan Putus Asa.. Ayuh, berusaha dan terus berusaha !!” merupakan checkpoint pertama. Mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yunus, peserta diminta berkayak dalam masa yang ditetapkan sambil menghayati perasaan apabila berada di tengah lautan dan diundi untuk terjun ke laut.

Checkpoint “Bekerjasama Membawa Berkat” mengambil iktibar daripada kisah Muhajirin dan Ansar menguji semangat kerjasama, saling lengkap-melengkapi dan kesabaran peserta mencedok air tasik dan mengisikannya ke dalam botol berlubang seterusnya diisi ke dalam botol yang disediakan.

Checkpoint “Ukhuwwah” menguji kreativiti dan semangat setiakawan peserta. Peserta diminta membentuk roller blade dan mengalihkan sahabat yang dipilih ke destinasi yang ditentukan memberi iktibar kepada para peserta untuk memilih sahabat dan teman yang baik sekiranya ingin berhijrah. Seseorang tidak akan mampu berubah kalau berseorangan sebagaimana Rasulullah SAW memilih sahabat-sahabat untuk menyokong dakwah baginda di fasa awal kedatangan Islam.

Seterusnya, peserta telah melalui checkpoint “Gubahan Terindah” yang mana fasilitator telah memusnahkan gubahan indah yang dihasilkan. Reaksi para peserta pada ketika itu menjadi bandingan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail apabila dapat menerima perintah penyembelihan dengan redha dan penuh ketaatan semata-mata untuk meraih redha Illahi. Pengorbanan sangat penting sekiranya seseorang muslimah itu ingin berubah dan berhijrah.

Xplorace diakhiri dengan checkpoint “Srikandi Mukminah” di mana peserta perlu menyelesaikan teka silang kata berkisar kisah Hindun binti Utbah. Fasi berkongsi kisah Hindun, seorang musuh Islam, yang akhirnya membela Islam dan berubah apabila menerima hidayah Allah SWT. Allah Maha Pengampun dan hidayah ini adalah milikNya dan akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Setiap checkpoint telah dilengkapi dengan pemahaman dan refleksi supaya semua peserta mendapat iktibar dan memahami mesej yang ingin dikongsi.

Seorang peserta yang pada mulanya hadir kerana hanya mengikuti kawan, Aida Afiqah Nazri dari Putrajaya berkata beliau banyak mendapat ilmu yang baru.

Nur Ramizah Rasfan dari SMK Bukit Indah memberi komen: “Kem ini baik, dari Xplorace saya dapat banyak ilmu, sirah, hadis dan kisah-kisah yang baru saya dengari. Bukan hanya markah kumpulan yang penting tetapi apa yang kita lalui dan dapat pengajaran itu yang lebih penting”.

Noor Raihanah Mohd Shafie dari Putrajaya berkata istimewanya kem ini kerana ia khusus untuk remaja perempuan sahaja dan berbentuk Islamik, tiada pergaulan bebas. Beliau. juga gembira dapat berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru serta menimba banyak ilmu.

Program menarik ini diakhiri pada pukul 1.10 petang dengan kalimah akhirah yang disampaikan oleh wakil Biro HALUANITA Selangor Puan Faridah Ali. Sebagai menghargai kerjasama dan semangat semua peserta, urusetia telah menghadiahkan perjalanan pulang ke Masjid Putra dengan menaiki Perahu Dondang Sayang.

Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program PESONA Alumni kali ini.


Laporan oleh Pn Nurtasneem Yusof