fbpx

Peserta Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak Berikan Komitmen Terbaik

Peserta Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak Berikan Komitmen Terbaik

Peserta Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak Berikan Komitmen Terbaik

BANGI, 20 Disember 2015 — Pada 20 Disember 2015 yang lalu, telah berlangsungnya Perasmian Penutup Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak yang bermula dari 11.00 pagi hingga jam 1.00 tengah hari. Perasmian penutup ini adalah bersempena dengan berakhirnya Kursus Guru-guru Pendidikan Awal Kanak-kanak yang telah bermula pada 23 November hingga 18 Disember 2015. Kursus ini telah mengumpulkan seramai 30 orang peserta dari seluruh Malaysia termasuk dari luar bandar.

Kursus pendidikan ini adalah kerjasama dari tiga agensi iaitu oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), dengan anjuran bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Objektifnya adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, menambah baik program asuhan sedia ada dan meningkatkan program kompetensi kemahiran di kalangan warga pendidik.

Majlis dimulai dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil HALUAN, Prof. Dr. Azizan Ahmad. Dalam ucapannya, beliau sangat berbesar hati dengan hubungan kerjasama KKLW, HALUAN dan UPM kerana kerjasama seumpama ini julung kalinya berlaku dengan melibatkan tiga agensi dalam satu kursus. Kursus sebegini dapat memberi kemahiran kepada masyarakat Malaysia terutama masyarakat luar bandar dan transformasi ilmu dari golongan professional kepada golongan luar bandar berlaku dengan lebih praktikal dan realistik.

Seterusnya, agenda majlis disusuli dengan ucapan perasmian penutup oleh Prof. Madya Dr Zainal Madon, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia & Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia UPM. Beliau menyatakan bahawa dengan program ini, objektif KKLW untuk memberi khidmat masyarakat kepada golongan luar bandar dapat dicapai dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa. Beliau juga sangat teruja dengan komitmen yang diberikan oleh kesemua peserta terhadap program ini. “Satu kejayaan yang besar bagi pihak HALUAN yang menganjurkan program ini kerana kesemua peserta dapat menamatkan kursus dengan jayanya dari awal hingga akhir.”

Acara perasmian diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada peserta dan di akhir acara diadakan sesi bergambar melibatkan semua peserta dan pihak penganjur. Kemudian, para tetamu dan peserta dihidangkan dengan jamuan makan tengahari.

Pengarah kursus, Puan Alfiah Samingan mengulas mengenai prestasi peserta, “Saya sangat berpuas hati dengan pesera-peserta yang hadir dengan komitmen mereka yang sangat tinggi serta bersemangat dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan selama hampir satu bulan ini.” Puan Alfiah juga berharap hubungan kerjasama yang erat antara tiga agensi iaitu HALUAN, UPM dan KKLW dapat diteruskan di masa mendatang.

Salah seorang peserta kursus, Cik Munirah Nazihah Yasin sangat berpuas hati dengan kursus yang dilaluinya, “banyak ilmu yang diperolehi dan peserta lebih banyak didedahkan dengan praktikal daripada teori. Penceramah juga terdiri dari pengendali modul itu sendiri.”


Disediakan Puan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiausaha Kerja Biro HALUANITA