fbpx

Perutusan Aidilfitri Presiden HALUAN 1441H

Perutusan Aidilfitri Presiden HALUAN 1441H

Perutusan Aidilfitri Presiden HALUAN 1441H

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita bulan Ramadhan yang penuh dengan barakah, keampunan dan rahmat. Semoga latihan Ramadan yang kita lalui selama 30 hari melayakkan kita mendapat keampunan Allah dan meningkatkan ketaqwaan kita.

Tahniah kepada semua ahli HALUAN yang telah menyerahkan hati dan diri mereka untuk dididik di Madrasah Ramadan yang mulia ini. Oleh itu, kita seharusnya menyambut Aidilfitri dengan mengekalkan daya beramal seperti sepanjang bulan Ramadan serta memelihara diri daripada menuruti dan meraikan kehendak nafsu. Sekiranya kita mampu menghabiskan tilawah al-Quran satu juz sehari semasa Ramadan, maka kekalkanlah prestasi tersebut. Tidak wajar bagi kita setelah menjalani latihan sepanjang Ramadan selama satu bulan penuh, tiba-tiba prestasi ibadah kita turun menjunam dengan berakhirnya bulan yang mulia ini.

Kehidupan seorang mukmin sepanjang Ramadan menepati sifat ruhbanun billail wa fursanun bin nahar. Dia menjadi seumpama rahib yang bersungguh-sungguh beribadah pada malam hari, dan berbakti kepada ummah pada sebelah siangnya. Dia bersungguh-sungguh beribadah selama sebulan sehingga jiwanya mendapat bekalan untuk memberi khidmat kepada ummah dalam tempoh 11 bulan akan datang.

Begitulah, kita perlu mengalirkan kesan daripada ibadah dalam bulan Ramadan, kepada masyarakat. Inilah hakikat nikmat kemanisan beribadah iaitu kesannya dapat dirasai oleh orang lain di sekitarnya. Dengan itu, kita menjadi orang yang semakin berakhlak mulia, serta semakin kencang mendidik dan berbakti kepada masyarakat sebagai hasil daripada pelaksanaan ibadah sepanjang Ramadan.

Atas kehendak Allah, seluruh umat Islam menyambut Ramadan dan Syawal kali ini dalam suasana dan norma (resam) yang sangat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya – menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing; tiada lagi iktikaf di masjid pada 10 malam terakhir; tidak berpeluang balik beraya di kampung; dan tidak dapat mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri; Semua ini adalah perancangan Allah yang memiliki sifat al-‘Aziz dan al-Hakim. Sebagai orang beriman, kita menerima musibah wabak COVID-19 ini dengan sabar dan syukur. Sesungguhnya sabar itu baik bagi orang beriman.

Firman Allah SWT

وَجَزَاهُمْ بِمَا صَبَرُوا جَنَّةً وَحَرِيرًا

“Dan Dia memberi balasan kepada mereka atas kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.” (Al-Insan; 12)

Begitulah sifat orang beriman – ketika mendapat nikmat dia bersyukur dan ketika dilanda musibah dia sabar, dan kedua-dua keadaan ini baik baginya. Diharapkan semua ahli HALUAN bukan sahaja bersabar dengan musibah yang melanda, namun turut turun ke medan menyantuni masyarakat setempat dan luar negara.

Pada kesempatan ini, HALUAN ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mendepani dan menangani penularan wabak Covid-19, terutama kepada barisan hadapan yang terdiri daripada para doktor, jururawat dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, anggota polis, tentera, RELA, serta bomba, yang banyak berkorban, masa mahupun tenaga. Tahniah juga kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan berpadu tenaga menangani COVID-19. Syabas Malaysia.

Syabas kepada ahli HALUAN kerana telah berjaya menukar musibah ini kepada peluang berkhidmat, berbakti dan meraih pahala. Semoga semua usaha-usaha ini dapat digencarkan lagi selepas ini, dengan mematuhi SOP PKP dan normal baharu.

لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Hadid;2)

Pandemik COVID-19 telah membuktikan kepada kita bahawa sesuungguhnya hanya Allah yang berkuasa atas segala sesuatu. Kehadiran COVID-19 dan Ramadan menuntut kita mempertingkatkan hubungan dengan Allah, keyakinan yang mutlak hanya kepada Allah dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah. Semua ini adalah bukti keimanan kita dengan kekuasaan Allah atas segala sesuatu.

Kita tidak bergantung dan berharap dengan segala asbab yang ada (usaha yang tekun, kesungguhan dan profesionalisma) dalam menangani COVID-19. Keyakinan kita bukan pada asbab, strategi, perancangan mahupun kepakaran yang dimiliki tetapi pada yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Namun, kita wajib untuk mengambil segala asbab dengan semaksima mungkin sedangkan keyakinan kita tetap hanya pada Allah SWT.

Marilah kita pertingkatkan keimanan, kesabaran dan iltizam kita untuk terus beramal ke arah perbaiki diri, keluarga dan masyarakat. Gandingan hubungan hati yang kuat kepada Allah, pemahaman mendalam terhadap masalah, pengambilan asbab yang tepat serta ketekunan, kesungguhan dan professionalisma dalam beramal, insyaAllah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Saya menyeru kepada semua ahli HALUAN untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dan koordinasi antara pengurusan peringkat pusat dan operasi di peringkat negeri bagi melancarkan gerak kerja yang telah dirancang. Semoga Allah SWT menolong kita dalam memperkasakan lagi pelaksanaan pendidikan dan latihan sehingga tercapai perubahan-perubahan kepada kebaikan yang kita idamkan.

Akhir kata, harapan saya agar HALUAN mampu merubah masyarakat dan melahirkan pemimpin masa depan yang mencontohi generasi awal dengan mengambil kira realiti dan keperluan semasa.


Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN | 1 Syawal 1441H