fbpx

Perutusan Aidilfitri 1432H Presiden HALUAN Malaysia

Perutusan Aidilfitri 1432H Presiden HALUAN Malaysia

Perutusan Aidilfitri 1432H Presiden HALUAN Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Segala puji dan syukur kepada Allah SWT, Rab sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa, noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kelalaian.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, utusan terakhir, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan kesejahteraan dan juga keberkatan di dunia dan akhirat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran dengan penuh kerendahan dan perhambaan kepada Allah SWT, kerana memberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut hari kemenangan bagi umat Islam. Aidilfitri pada tahun ini harus disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kegembiraan yang hakiki.

Lafaz takbir yang bergema di pagi Syawal yang hening, menunjukan suatu simbolik menyatakan kebesaran dan keagungan terhadap Allah SWT kerana mengurniakan kemerdekaan jiwa yang bebas daripada belenggu syaitan dan hawa nafsu. Inilah hakikat sebuah kemerdekaan dan kemenangan.

Hari kemenangan bagi hamba-hamba Allah SWT yang berjaya kembali kepada fitrah setelah sebulan melalui madrasah Ramadan al-Mubarak. Madrasah latihan kejiwaan secara intensif bagi mendidik hati-hati manusia meraih darjat takwa yang sebenarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah,

  1. Secara dasarnya, tujuan utama kewujudan manusia di muka bumi Allah SWT ini adalah untuk beribadah dan memperhambakan diri hanyasanya kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah adz-Dzaariyaat ayat 56:

Maksudnya: “dan (ingatlah) tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Jelas daripada keterangan ayat ini, tugas asasi seorang manusia adalah memperhambakan dirinya kepada Allah SWT. Inilah ibadah umum yang harus dilakukan oleh seluruh manusia. Manusia akan melaksanakan tugas asasi ini di dalam seluruh kehidupannya bermula dari detik kelahiran sehingga menemui ajalnya. Jika tidak, fungsi kewujudannya tidak berlaku dan bahkan, kehidupannya itu disifatkan sebagai sia-sia.

  1. Bertitik tolak daripada tugas asasi ini, Islam telah mengariskan medan latihan perhambaan kepada Allah SWT melalui rukun Islam iaitu lafaz syahadah, ibadah solat, puasa, menunaikan zakat dan haji. Rukun ini juga disebut sebagai ibadah khusus. Ibadah khusus inilah yang menjadi amalan-amalan yang akan mendekatkan hamba-hamba Allah SWT di dalam perjalanan kehidupannya menuju ke alam akhirat.

Melalui Ramadan, Allah SWT mewajibkan ibadah puasa sebulan penuh khusus buat hamba-hambaNya beribadah untuk menjadi hamba yang bertakwa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Sesungguhnya perjalanan kita di alam dunia ini umpama seorang pengembara. Seorang pengembara yang baik akan menyediakan bekalan-bekalan yang secukupnya bagi menempuh perjalanan yang jauh dan dipenuhi pelbagai rintangan. Begitu jugalah kehidupan kita di muka bumi ini. Sebagai hamba Allah SWT, kita perlukan bekalan yang cukup dan terbaik untuk dipersembahkan di hadapan Allah SWT melalui amalan-amalan soleh. Sejajar dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat ke 197:

“..Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah bekalan takwa dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Di dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa sebaik-baik bekalan adalah bekalan takwa – yakni bekalan yang sangat-sangat diperlukan oleh jiwa-jiwa yang berhajatkan keredhaan Allah SWT dan syurga Allah SWT. Bekalan inilah yang akan memberikan jaminan bagi manusia untuk memperolehi ganjaran yang istimewa di akhirat kelak.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan Allah,

  1. Kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kerahmatan saban tahun, memberikan suatu tawaran yang istimewa dan janji oleh Allah SWT sekiranya ia dilalui dengan keimanan, kesungguhan dan keseriusan. Tawaran inilah yang akan memenuhi bekalan buat manusia di dalam usahanya meneruskan perjalanan hidup sebagai hamba Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah pada ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”

Di dalam ayat yang saya bacakan tadi, Allah SWT menyebutkan bahawa hasilan yang akan diperolehi daripada amalan ibadah di bulan ini ialah takwa. Dengannya, darjat manusia akan tertingkat mulia di sisi Allah SWT.

Takwa menjadi penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia itu sendiri, Allah SWT. Perbezaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar ketakwaan yang ada di dalam dadanya. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat ke 13:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.”

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, di dalam bukunya Menuju Ketakwaan beliau menyatakan bahawa ketakwaan adalah asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).

Gelombang kekuatan inilah yang kita idamkan di dalam menjalani kehidupan di sepanjang Ramadan yang lepas. Gelombang yang akan mengukuhkan benteng diri dan menguatkan jatidiri kita sebagai hamba Allah SWT dalam mengharungi kehidupan dunia yang dipenuhi dengan rintangan, ujian, pertarungan dan penderitaan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Di dalam bulan Ramadan, Rasulullah SAW menggalakkan kita memperbanyakkan amalan soleh sebagai inisiatif ke arah membina ketakwaan. Rasulullah SAW menganjurkan para sahabat-sahabat untuk melaksanakan 24 amalan yang merangkumi aspek kerohanian, sosio ekonomi, akhlak dan fizikal di dalam usaha untuk meraih ketakwaan. Ia memberikan gambaran bahawa amalan soleh itu bersifat menyeluruh, holistik dan mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Dari aspek kerohaniannya, amalan yang digalakan ialah memohon keampunan kepada Allah SWT, banyak mengingati Allah SWT serta hari akhirat, bertaubat, berdoa, beristighfar, mengadakan iftar (berbuka puasa), memperbanyakan selawat, tilawah al-Quran, memohon agar pintu syurga tidak tertutup buat kita, memohon agar tidak terbuka pintu neraka buat kita dan memohon terlepas daripada penguasaan syaitan.

Dari aspek pembinaan akhlak pula ialah, memperbaiki akhlak, menghormati warga tua dan mengasihi warga muda.

Manakala dari aspek fizikal, amalan yang dianjurkan ialah menjaga lidah, merendahkan pandangan, menyempitkan telinga daripada perkara mungkar, menahan diri daripada berbuat jahat dan memperbanyakkan sujud kepada Allah SWT.

Jika kita melaksanakan kesemua amalan-amalan ini, insyaAllah ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Latihan secara intensif ini akan memberikan kesan dan impak yang positif terhadap diri, cara berfikir dan seluruh kehidupan kita. Inilah kesan dan pengaruh takwa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Bekalan inilah yang akan membantu kita untuk melaksanakan tugas asasi kita kepada Allah SWT kelak. Dengannya, kita akan merasai kemanisan iman dan menyerahkan diri untuk Islam. InsyaAllah, jika Ramadan yang lalu dilalui dengan keimanan dan penuh perhitungan, insyaAllah di bulan Syawal ini kita akan merasai sesuatu perubahan yang sangat membahagiakan jiwa kita.

Berbekal dengan takwa inilah, kita harus terus menerus beramal dan istiqamah melaksanakan tuntutan ubudiah (perhambaan) kepada Allah SWT. Ubudiah ini berlaku secara meluas merangkumi seluruh aspek kehidupan kita terutama di dalam perlaksanaan amar mar’uf nahi mungkar dan jihad fisabilillah.

Inilah bekalan yang akan digunakan sepenuhnya semasa kita turun ke medan amal kehidupan. Medan yang menuntut kita untuk melaksanakan dakwah, iaitu menyeru dan mengajak manusia untuk kembali kepada Allah SWT dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Sebagaimana firman Allah SWT yang termaktub di dalam Surah al-Asr, ayat satu sehingga tiga:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Perubahan kepada fitrah yang disambut dengan kesyukuran, perhambaan dan membesarkan Allah SWT melalui ucapan, perlakuan dan tindakan. Inilah hari raya orang-orang yang bertakwa.

Aidilfitri pada tahun ini akan memberikan suatu makna dan erti yang besar jika kita perolehi peningkatan ketakwaan. Kita benar-benar akan merasai perubahan di dalam diri kita ini, bahkan kita terus menerus berusaha meneruskan segala amalan soleh yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan.

Marilah sama-sama kita kita saling berbalas-balas senyuman, mengucapkan tahniah, ziarah menziarahi bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim dan bersama-sama menyatakan rasa kesyukuran di hari lebaran yang mulia ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT,

  1. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia. Semoga kita benar-benar menyambut hari kemenangan ini dengan suluhan cahaya hidayah daripada Allah SWT.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden Haluan Malaysia
1 Syawal 1432 | 30 Ogos 2011