fbpx

Perutusan Aidiladha 1433H Presiden HALUAN

Perutusan Aidiladha 1433H Presiden HALUAN

Perutusan Aidiladha 1433H Presiden HALUAN

“Pengorbanan menyemarakan ruh persaudaraan, semangat kebajikan dan erti kemanusiaan”

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *

Alhamdulillah,

Pertama dan selamanya marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran dan perhambaan kita kepada Allah SWT atas segala anugerah dan nikmat kurniaan yang diberikan oleh-Nya kepada kita semua.

Dan, saat inilah sewajarnya kesyukuran itu kita perbanyakkan dengan kalimah syukur, istighfar dan amal soleh lantaran masih lagi diberikan kesempatan untuk merayakan salah satu hari kebesaran dalam Islam iaitu Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1433H. Justeru, seharusnya sambutan hari raya ini diraikan dengan kegembiraan, keceriaan dan penuh keimanan kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”
(Hadis riwayat al-Nasaai, dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Setiap kali Aidiladha tiba, kita sering diingatkan tentang hakikat pengorbanan dan hubung kaitnya dengan kita sebagai umat Islam. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita faham, hayati dan yakini bahawa hakikat pengorbanan yang harus kita laksanakan dalam kehidupan harus dijelmakan selari dengan tuntutan Islam dan sejajar dengan kehendak Allah SWT.

Dengan kemampuan kita melaksanakan ibadah korban, Allah memperingatkan kita bahawa bukanlah berapa banyak binatang ternak dan berapa banyak darah yang mampu kita tumpahkan ke bumi. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran 22:37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi Yang sampai kepadanya ialah amal Yang ikhlas Yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan Yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang Yang berusaha supaya baik amalnya.”

Jelaslah bahawa apa yang ingin dilahirkan oleh Islam daripada amalan korban ini adalah ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada arahan dan kehendak Allah SWT. Ini yang didahulukan dan diutamakan dalam kehidupan setiap individu Muslim. Bila hati ini telah bulat tekad semata-mata kerana dambakan Allah SWT, barulah ianya boleh diproses dan dicanai lebih halus lagi supaya korban itu tadi membawa arus perubahan kepada sikap seseorang Muslim itu yang kini sanggup berkorban dalam kehidupannya demi mencari jalan yang benar; bukan mengikut arus yang memesong kepada kehendak nafsu semata-mata dan tidak membawa ke jalan taqwa.

Pengorbanan itu adalah suatu pilihan dalam kehidupan manusia sebenarnya. Pengorbanan sebegini harus kita jelmakan dalam kehidupan seharian dalam usaha menjadikan seluruh kehidupan kita ini sebagai medan untuk kita berubudiyah kepada Allah SWT. Daripada sekecil-kecil pengorbanan hinggalah yang sebesar-besarnya, kita pasrah melakukannya bukan kerana riya’, takbur ataupun ujub pada diri. Kekuatan hati, keluhuran iman dan ketaatan yang mutlak inilah yang diinginkan Allah terhadap kita sebagai hamba-Nya. Bermakna, tidak semua orang yang berkorban pada Aidiladha itu mampu mencapai tahap ketaqwaan yang tinggi ini selagi mana hubungannya dengan Allah SWT tidak diharmonikan dengan baik.

Di samping itu, dalam kemeriahan kita menyambut hari kebesaran umat Islam ini, usahlah kita melupakan saudara-saudara seaqidah kita yang lain walau di mana mereka berada. Tanpa mengira perbezaan warna kulit, sempadan geografi, bangsa dan sebagainya, Aidiladha ini seharusnya menghubungkan ukhuwah atau persaudaraan sesama kita kerana pada asasnya kita adalah insan yang beraqidahkan kepada Tuhan yang satu iaitu memperhambakan diri hanya sanya kepada Allah SWT.

Marilah sama-sama kita semarakan ruh persaudaraan dengan mengambil peduli, cakna dan sama-sama memikul keperitan, kesusahan dan kesengsaraan saudara-saudara kita di mana sahaja mereka berada sama ada di Selatan Thailand, Myanmar, Kemboja, Somalia, Syria, Palestin dan di seluruh dunia.

“Permasalahan mereka adalah permasalahan kita” – wajar dijadikan slogan kehidupan kita dalam menghidupkan suasana ikatan persaudaraan yang hidup dan subur di muka bumi Allah SWT ini. Justeru, kepada semua muslimin dan muslimat diharapkan ruh dan semangat ini akan terus subur dan akan hidup dalam jiwa-jiwa kita semua. InsyaAllah.
Selain itu, ibadah korban ini juga boleh kita manifestasikan dalam bentuk kebajikan untuk saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan, pertolongan dan perkhidmatan kita. Kebajikan sebegini harus diperbanyakkan dan diperhebatkan di semua peringkat masyarakat. Ianya tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja. Bahkan meliputi semua anggota masyarakat yang cintakan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan.

Kebajikan yang kita hajatkan bukanlah yang terbatas pada tempoh-tempoh masa tertentu sahaja, kepada individu-individu tertentu sahaja atau pun kelompok-kelompok tertentu sahaja, tetapi yang dihajatkan ia merentasi semua sempadan-sempadan yang ada, agar hakikat persaudaraan dan kebajikan dapat dijelmakan dalam bentuk global dan menyeluruh.

Budaya, ibadah dan semangat bantu-membantu, bahu-membahu dan hubungan kerjasama melalui kebajikan ini akan terus diperhebatkan di semua peringkat tanpa mengira batasan agama, bangsa dan negara. Inilah yang sedang kita usahakan melalui hubungan kerjasama HALUAN ada badan-badan, agensi-agensi kerajaan serta NGO-NGO dalam dan luar negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati oleh Allah SWT,

Saya ingin merakam jutaan terima kasih kepada para peserta ibadah korban 1433H yang memberikan kepercayaan kepada HALUAN untuk menguruskan dan menyelenggara projek korban ini sama ada di dalam negara dan juga luar negara seperti di Kemboja, Vietnam, Somalia, Palestin, Thailand, India dan Bangladesh.

HALUAN memberi jaminan bahawa semua korban yang disalurkan melalui kami – InsyaAllah – akan sampai kepada sasaran seperti yang dihajati oleh para peserta melalui pengalaman, hubungan baik dan kerjasama dengan badan-badan NGO tempatan. InsyaAllah.

Akhirnya, kemenangan ini akan disambut dengan laungan takbir membesarkan Allah SWT dan ucapan tasbih memuji keagungan-Nya. Marilah kita pertingkatkan pengorbanan kita dalam melaksanakan tuntutan ubudiyah ini dengan harapan hanya sanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga dengan pengorbanan itu, kejayaan dan kemenangan sama ada di dunia atau akhirat atau kedua-duanya sekali akan menjadi milik kita secara waqie. InsyaAllah.

Selamat berkorban demi meraih keredaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”
( Al-Baqarah 2 : 207)

Salam Aidiladha buat seluruh ummat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia. Semoga ruh pengorbanan yang sejati akan menjelma pada setiap tindakan seharian kita selepas ini. InsyaAllah

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

10 Zulhijjah 1433H
26 Oktober 2012