fbpx

Perutusan Aidil Fitri Presiden HALUAN 1438H [ Video ]

Perutusan Aidil Fitri Presiden HALUAN 1438H [ Video ]

Perutusan Aidil Fitri Presiden HALUAN 1438H [ Video ]

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر

ولله الحمد, الله أكبر

Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan keizinan kepada kita untuk terus merasai nikmat iman dan Islam hingga ke saat ini. Ramadan tahun 1438H ini telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu satu peluang yang pergi tanpa kembali. Alhamdulillah, pada tahun ini kita diberikan kesempatan untuk menikmati Ramadan, dan semoga Allah SWT memberikan kepada kita peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan Insya-Allah.

Sesungguhnya kita amat mengharapkan keseluruhan amalan kita sepanjang Ramadan lepas akan diterima Allah SWT sebagai ubudiah seperti yang dituntut di dalam Al-Quran,

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia hanya sanya untuk berubudiah kepada-Ku.” (Ad-Dzariyat 51 : 56)

Tuan2 & puan2 yang dikasihi Allah SWT,

Ramadan itu suatu jangka waktu terhad di mana Allah SWT ingin memproses, menambah baik dan memberikan ganjaran kepada setiap jiwa yang sabar dan ikhlas berpuasa. Maka kita amat berhajatkan agar proses tarbiah yang kita sudah lalui itu akan membuahkan hasilnya, iaitu peningkatan iman menuju ketaqwaan selari dengan firman Allah SWT,

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat terdahulu sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah 2:183)

Inilah suatu latihan intensif yang Allah SWT sediakan untuk kita kerana Dia mengetahui keperluan hamba-Nya, yang imannya berada dalam keadaan amat lesu setelah melalui 11 bulan di luar Ramadan. Allah SWT juga telah menetapkan tujuan utama latihan ini – iaitu untuk kita mencapai tingkatan taqwa. Justeru ibadah puasa di bulan Ramadan adalah satu pakej latihan yang melahirkan kejayaan atau kemenangan bagi ummat Islam. Firman Allah SWT

الحَجُّ أَشهُرٌ مَعلوماتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa, dan bertaqwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” (Al-Baqarah 2:197)

إِنَّ لِلمُتَّقينَ مَفازًا

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan.” (An-Naba’ 78:31)

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Sehubungan itu, saya menyeru semua ahli HALUAN untuk terus iltizam dengan tugas utama kita iaitu berdakwah merubah masyarakat, seterusnya melahirkan pemimpin masa depan dengan berbekalkan peningkatan iman menuju taqwa, hasil daripada tarbiah Ramadan.

Kita perlu berusaha membimbing masyarakat agar mereka menerima Islam sebagai ad-deen dalam kehidupan mereka. Kita perkenalkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna agar masyarakat dapat diajak menyedari bahawa tiada jalan keluar yang boleh menyelesaikan segala kemelut di dunia ini, melainkan hanyalah kembali kepada Islam sejati yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah SAW. Inilah tugas hakiki yang kita perlu lakukan bersama dalam usaha meraih kemenangan yang dijanjikan.

Demi mencapai kemenangan, tugas yang besar ini mesti dilaksanakan secara kolektif oleh sesebuah organisasi Muslim. Maka di sini perlunya kita mengatur gerak kerja dalam satu organisasi yang jelas matlamat dan kaedahnya, sehingga wujud kesatuan amal dan pola pemikiran dalam kalangan ahlinya. Hal ini sesuai dengan tuntutan Allah di dalam Al-Quran

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَو آمَنَ أَهلُ الكِتابِ لَكانَ خَيرًا لَهُم ۚ مِنهُمُ المُؤمِنونَ وَأَكثَرُهُمُ الفاسِقونَ

“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali-‘Imran 3:110)

Allah juga telah berfirman dalam Surah As-Saf 61:4 yang bermaksud:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقاتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيانٌ مَرصوصٌ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Seterusnya, kita juga perlu menjaga tatatertib berorganisasi yang menjadi tunjang kekuatan kepada sesebuah organisasi. Antaranya ialah jaringan ukhuwah sesama ahli yang perlu dipelihara daripada sebarang ‘virus’ ukhuwah. Jauhilah prasangka dan tingkatkan toleransi, kesefahaman dan kasih-sayang di antara kita.

Selain itu, ketaatan dan kethiqahan ahli terhadap pimpinan amat penting dalam memastikan agar kelangsungan gerak kerja organisasi akan berkembang pesat dan lestari. Marilah kita merujuk kembali kepada proses pembinaan generasi awal oleh Rasulullah SAW, di mana ketiga-tiga asas kekuatan ini dibina dalam diri setiap ahli dan barisan kepimpinan . Firman Allah SWT

لَقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللَّهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَن كانَ يَرجُو اللَّهَ وَاليَومَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab 33:21)

Kepada para pemuda-pemudi,

Saya menyeru agar kesempatan Ramadan lepas telah anda jadikan sebagai madrasah latihan yang mantap untuk anda merancang jauh ke hadapan. Andalah harapan ummah ini di mana generasi muda kini bakal memimpin dunia di masa depan. Kalau generasi muda hari ini pincang dan lemah imannya, nantilah saat kehancuran sesuatu ummat dan negara itu. Akan berlaku segala kepincangan moral, akidah dan sistem pentadbirannya hanya disebabkan generasi mudanya telah membelakangkan Islam daripada agenda kehidupan harian mereka.

Jauhilah dan didiklah di kalangan kamu agar kenal akan perancangan-perancangan musuh kepada Islam yang ingin mengheret generasi kamu ke arah ajaran seperti sekularisme, liberalism, pluralisme, syi’ah, extrimisme dan sebagainya. Janganlah kita menjadi alat kepada musuh sedangkan kita bersolat, berpuasa, berzakat dan berzikir kepada Yang Maha Esa. Ingat — pincang ummat kerana pincang generasi mudanya.

Akhir kata, harapan saya agar HALUAN mampu merubah masyarakat dan melahirkan pemimpin masa depan yang mencontohi generasi awal, dengan mengambil kira realiti dan keperluan semasa. Terlalu banyak serangan dan tohmahan yang tertimpa ke atas kita sekarang ini, yang hanya dapat ditangkis oleh mereka yang jitu dan kental iman dan taqwa mereka kepada Allah SWT.

Marilah pada Aidil Fitri kali ini kita saling berjabat tangan sesama jantina sambil memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan kita masing-masing. Tidak sunyi manusia daripada salah dan silap. Dan yang Maha Pengampun sedang memerhati siapakah di antara kita yang terlebih dahulu menghulur tangannya dan memohon maaf. Dialah manusia yang berjaya melepasi pintu Ramadan sebenarnya.

Selamat Menyambut Aidil Fitri 1438H bersamaan 2017 kepada semua ahli-ahli HALUAN dan semua saudara-saudari Muslim di mana jua anda berada.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN Malaysia
1 Syawal 1438 H