fbpx

Pertubuhan ALIF Sumbang Buku Untuk Program Dakwah HALUAN

Pertubuhan ALIF Sumbang Buku Untuk Program Dakwah HALUAN

Pertubuhan ALIF Sumbang Buku Untuk Program Dakwah HALUAN

BANDAR BARU BANGI, 30 Sept 2024 – Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman menerima sumbangan 150 naskah buku “Muhammad The Messenger: Life & Challenges” daripada Presiden Pertubuhan ALIF, Dr. Mohamed Sabir Jamaludin di ibu pejabat HALUAN di sini pagi tadi.

Majlis serahan turut dihadiri oleh Pengurus Pembangunan Program HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda. Menurut beliau, buku tersebut akan dijadikan sebagai salah satu bahan pendidikan terutamanya dalam kalangan saudara baharu termasuk di Revert Islamic Dakwah Centre di Mindanao. 

Buku karangan Dr. Mohamed Sabir itu akan diagihkan dalam projek-projek dakwah dalam dan luar negara. Ia membincangkan tribulasi dan penderitaan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam. Dr. Mohamed Sabir merangkumkan cabaran tersebut dari era permulaan dakwah di Mekah sehinggalah babak-babak akhir hayat Baginda SAW.

Dr. Mohamed Sabir aktif dalam program-program dakwah terutamanya di Lembah Kelang, di samping menjadi penulis jemputan bagi program Assalamualaikum di TV Al-Hijrah. Beliau juga sangat komited dalam aktiviti sosial, pendidikan dan dakwah di Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Buku-buku tulisan beliau sewajarnya menjadi rujukan dalam program pembangunan dakwah dan perbincangan ilmiah bagi memantapkan lagi kefahaman Islam.

Pertubuhan ALIF yang ditubuhkan pada tahun 2010 memberi fokus dalam agenda meningkatkan taraf pendidikan dan sosial umat Islam melalui program atau aktiviti berkaitan ilmu dan kebajikan di dalam dan luar negara. Antara lain, Pertubuhan ALIF pernah bergandingan dengan HALUAN dan Sabasun Hyperuncit dalam misi membantu mangsa banjir besar Pakistan pada tahun 2023.

HALUAN mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha berterusan Pertubuhan ALIF dalam pendidikan kepada umat Islam.

Laporan Media HALUAN