fbpx

Persediaan Alam Kerjaya & Rumah Tangga di HAK 2013

Persediaan Alam Kerjaya & Rumah Tangga di HAK 2013

Persediaan Alam Kerjaya & Rumah Tangga di HAK 2013

KAJANG, 30 Jun 2013 — Seramai 46 peserta telah berjaya mengikuti program Hijrah Alam Kerjaya 2013 (HAK’13) yang diadakan di pejabat HALUAN Cawangan Selangor semalam.

Program HAK’13 pada kali ini memberi fokus khas kepada pemuda dan pemudi yang bakal atau baru berhijrah dari alam pelajar kepada alam pekerjaan dan perkahwinan. Membawa tema “Memperkasa Himmah, Membangun Ummah” program HAK’13 menekankan keperluan untuk persiapan dan pengukuhan rapi golongan muda untuk meneruskan gerak kerja dakwah dan tarbiyah dalam fasa baru kehidupan bekerja dan berumahtangga yang jelas mencabar.

Program dua hari satu malam ini dirasmikan oleh Sr. Mohd Sabbri Md Yudin selaku Naib Presiden II HALUAN. HAK’13 kali ini diterajui oleh Encik Muhd Ridha Abd Ghani selaku pengarah program dan menampilkan ramai tokoh HALUAN seperti Prof. Dr. Zamrin Dimon, Encik Hasri Ahmad, Encik Mohd Razali Maarof, Dr. Engr. Solehuddin Shuib dan Dr. Siti Mariam Sh Ahmad.

Setiap slot dalam HAK’13 kali ini disusun untuk memberi penekanan khusus kepada tiga aspek utama yakni: 1) Penerusan amal dan gerak kerja Islam di alam kerjaya, 2) Kepentingan untuk menjana ilmu dan kemahiran diri, dan 3) Kefahaman yang jelas dalam pembentukan rumah tangga.

Ini adalah selari dengan Rancangan Jangka Panjang (RJPJ) HALUAN yang ke-2: 2012-2026 yang mementingkan pembentukan golongan muda yang berkualiti tinggi untuk Islam. Ini penting bagi mencanai para pemuda dan melengkapkan mereka dengan pelbagai persiapan dan kelengkapan dari segenap segi untuk menjadi pemimpin masyarakat demi melahirkan para pemuda yang bersedia untuk menerima tanggungjawab (masuliyah) kepimpinan.

Secara keseluruhan, program HAK’13 dilihat berjaya dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar. Rata-rata peserta juga memberi respon yang amat positif berdasarkan analisa pantas hasil ‘survey’ yang dijalankan diakhir program.


Laporan oleh Muhd Ridha Abd Ghani