fbpx

Permasalahan Palestin Mesti Disampaikan Ke Seluruh Lapisan Masyarakat – Presiden HALUAN

Permasalahan Palestin Mesti Disampaikan Ke Seluruh Lapisan Masyarakat – Presiden HALUAN

Permasalahan Palestin Mesti Disampaikan Ke Seluruh Lapisan Masyarakat – Presiden HALUAN

DENGKIL, 25hb Mac 2012 — Permasalahan Palestin bukanlah isu kemanusiaan semata-mata kerana ia sangat berkait rapat dengan aqidah dan tidak boleh dipisahkan daripada tangungjawab setiap orang Islam.

Oleh itu HALUAN harus menyusun langkah-langkah perlaksanaan dan strategi jangka panjang untuk menyampaikan permasalahan ini ke seluruh lapisan masyarakat, supaya mereka dapat bersama-sama memikul tanggungjawab tersebut dan merasa bersalah atau berdosa apabila tidak memperdulikannya.

Demikian nasihat Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman, semasa menyampaikan ucapan penutup sempena Latihan Kepada Pelatih yang diadakan di Kem Bina At-Taqwa di sini. Program yang dianjurkan bersama oleh Biro HALUAN Palestin dan Biro Misi Kemanusiaan tersebut telah dihadiri oleh seramai kira-kira 50 orang aktivis HALUAN dari seluruh negara.

Melalui program selama dua hari ini, para pelatih telah berpeluang untuk memahami permasalahan sebenar Palestin dan seterusnya merangka langkah-langkah praktikal untuk menyampaikan permasalahan tersebut kepada masyarakat. Subjek-subjek yang dibincangkan merangkumi kajian menyeluruh terhadap sejarah Palestin sepanjang 5000 tahun yang lalu, penyelewengan dan pemalsuan fakta sejarah yang dilakukan oleh Zionis Yahudi, dan juga perkembangan terkini di Palestin dan kaitannya dengan Arab Spring dan sosio-politik dunia hari ini. Selain daripada subjek dasar iaitu Permasalahan Palestin Dan Tanggungjawab Kita, para pelatih turut melalui latihan teknik penyampaian awam (public speaking) yang berkesan dan juga simulasi untuk menyampaikan permasalahan Palestin kepada masyarakat.

“Kita perlu mempunyai komitmen dan kompentensi yang tinggi dan juga sikap yang betul untuk menyedarkan masyarakat seluruhnya tentang hakikat sebenar permasalahan Palestin,” jelas Dr Abdullah. Beliau bersyukur kerana program latihan ini telah dapat memberi kemahiran dan pengetahuan asas yang cukup bagi setiap pelatih untuk keluar kepada masyarakat.

Semoga setiap pelatih yang tamat mengikuti latihan kali ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha HALUAN memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan permasalahan Palestin dan kewajipan mereka untuk sama-sama membantu.

Menurut kenyataan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, progam Latihan Untuk Pelatih yang berikutnya akan diadakan pada bulan Mei 2012. Program latihan itu nanti akan dibuka untuk penyertaan kepada masyarakat awam.