fbpx

Perlepasan Pasukan Korban ke Bangladesh, Kemboja, Vietnam, India, Thailand dan Myanmar

Perlepasan Pasukan Korban ke Bangladesh, Kemboja, Vietnam, India, Thailand dan Myanmar

Perlepasan Pasukan Korban ke Bangladesh, Kemboja, Vietnam, India, Thailand dan Myanmar

SEPANG, SELANGOR, 24 Okt 2012 — Dua pasukan Amanah Korban HALUAN telah berlepas dari KLIA hari ini, masing-masing menuju ke Bangladesh dan Kemboja.

Pasukan amanah korban ke Bangladesh terdiri daripada tiga orang relawan. Mereka di ketuai oleh En Shiro Othman yang diiringi oleh En Idris Ahmad dan En Mohamed Badri Abdul Shukor. Pasukan ini akan menuju ke sebelah barat Bangladesh iaitu daerah Rajshahi yang terletak lebih kurang 300km dari ibu negara Bangladesh, Dhaka.

Mereka membawa amanah daripada rakyat Malaysia untuk mengorbankan 30 ekor lembu dan diagihkan kepada beberapa buah kampung di daerah ini. Pasukan ini akan berada di sana selama empat hari bagi melunaskan amanah rakyat Malaysia.

Sementara itu, pasukan amanah korban ke Kemboja dan Vietnam pula terdiri daripada tiga orang relawan HALUAN yang di ketuai oleh En Razali Mohd Jamil yang merupakan seorang wakil rasmi Mufti Kemboja di Malaysia. Turut serta bersama beliau ialah En Abd Kadir Mahamood dan En Muhamad Hasan Ahmad Bahari.

Mereka akan menguruskan penyembelihan korban di beberapa perkampungan Islam yang dhoif di Kemboja, di mana pengagihan daging korban akan dibuat bersama dengan pihak pejabat Mufti sendiri. Jumlah korban yang akan dilaksanakan di Kemboja dan Vietnam ialah sebanyak 94 ekor lembu. Manakala aqiqah kambing di Kemboja pula berjumlah 47 ekor. Pasukan ini akan berada di Kemboja dan Vietnam selama empat hari.

Sementara itu, pasukan amanah korban ke India akan berlepas pada 25 Oktober. Pasukan ini akan diketuai oleh Ketua Biro Kebajikan HALUAN, iaitu Encik Mohd Azhar Md Idris dan diiringi oleh Ketua Biro Penerangan dan Hubungan Luar HALUAN, Hj Ibrahim Abu Bakar.

Beberapa buah perkampungan Islam di sekitar Chennai dan Madurai sudah dikenal pasti sebagai destinasi korban kali ini. Antaranya adalah perkampungan Islam di Vellore, pusat Muaalaf di Umarabad, Pusat Tarbiyah Islam bagi saudara baru di Theni dan perkampungan Islam di Ilayangudi. Sebanyak 30 ekor lembu akan dikorbankan di lokasi-lokasi tersebut.

Bagi program ibadah korban di Thailand dan Myanmar pula, pasukan amanah korban akan bertolak pada hari pertama hariraya Aidiladha, iaitu hari Jumaat. Mereka akan melalui jalan darat dari Padang Besar dan terus ke sempadan Myanmar. Pasukan ini terdiri daripada dua orang relawan HALUAN iaitu En Abd Halim Khudri dan En Mohd Adi Ismail. Jumlah korban yang akan dilaksanakan di Thailand dan Myanmar adalah sebanyak 15 ekor lembu.

HALUAN Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan dan penglibatan rakyat Malaysia dalam program ibadah korban pada tahun 1433H ini. Semoga Allah menerima amalan tuan-puan sebagai amalan soleh dan diganjarkan dengan pahala berlipat ganda, diberi keampunan dan redha Allah SWT.

Ikuti juga perkembangan mutakhir ibadah korban di dalam Malaysia melalui laman web ini.