fbpx

Perjalanan Hati Menuju Allah SWT

Perjalanan Hati Menuju Allah SWT

Perjalanan Hati Menuju Allah SWT

Setiap kali bertambahnya kelahiran baru, maka setiap ketika itu ada pula yang dipanggil pulang menghadap Allah SWT. Ya, setiap manusia yang lahir akan menemui ajal kematiannya.

Bila dan di mana? Kita tidak tahu.

Sesungguhnya, keyakinan kita terhadap kematian yang pasti dan entah bila ini menjadikan kita belum tentu yakin akan bertemu dengan fajar pada keesokan hari.

Perjalan Menuju Allah SWT

Hidup ini adalah perjalanan pulang menuju Allah SWT. Sesungguhnya, setiap pertambahan umur dan detik waktu yang kita lalui hakikatnya mendekatkan kita kepada kematian.

Namun, kematian bukanlah penutup kepada kehidupan. Bahkan, ia adalah permulaan kepada kehidupan yang baru. Di saat itulah pertemuan kita dengan Allah SWT.

Justeru, apakah yang akan kita persembahkan di hadapan Allah SWT kelak? Sudah tentu kita ingin berhadapan dengan Allah SWT dengan hati yang hidup, sihat, sejahtera dan sentiasa basah mengingati-Nya ketika di dunia dahulu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Pada hari harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.” (As-Syu’ara 26 : 88-89)

Bekal Perjalanan Menuju Allah SWT

Mari kita bermusahabah dan koreksi diri! Sekiranya inilah hari terakhir kehidupan kita di dunia, adakah kita bersedia? Hati yang bagaimanakah yang ingin kita bawa bertemu Allah SWT?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“ … dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas daripada amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat).” (Al-Hasyr 59 : 18)

Inilah yang perlu kita lihat dalam meneliti perjalanan kehidupan menuju Allah SWT. Kita perlu sentiasa melihat, menilai, mempersiapkan diri dan berbekal dengan bekal takwa.

Seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“…. berbekalkanlah kamu dan sebaik-baik bekal adalah takwa.” (Al-Baqarah 2 : 197)

Bekal inilah yang ingin kita bawa bertemu Allah SWT, iaitu hati yang mempunyai takwa. Hati yang sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga dalam setiap tindakan, amalan dan perilakunya setiap masa dan ketika. Semuanya perkara dinilai daripada kaca mata keimanan kepada Allah SWT.

Perjalanan Hati Atau Perjalanan Kaki?

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perjalanan menuju Allah SWT? Ibnu Jauzi, seorang ulama yang warak lagi soleh ada menyebut:

“Jalan menuju Allah bukanlah jauhnya perjalanan kaki, namun ia adalah perjalanan hati.”

Sebab itulah dikatakan bahawa hati adalah sasaran kepada tarbiah. Daripada hati yang diproses inilah akhirnya melahirkan Muslim yang bertakwa. Insya-Allah.

Maka, segalanya bertitik mula dari hati. Jika hatinya bersih, suci dan dilimpahi cahaya iman maka ketenangan itu akan hadir dalam hidupnya.

Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup juga mudah dirasai kerana perjalanannya yang panjang dan matlamatnya yang besar menuju akhirat serta bertemu Allah SWT dilalui dengan dada yang lapang dan luas. Hatinya tidak mudah rasa sempit dan sesak nafas dengan dunia yang bersifat sementara serta penuh tipu daya.

Bahkan, dunia yang ditangannya sekadar medan bercucuk tanam hinggalah dapat menuai hasilnya di akhirat kelak.

Hati Yang Hidup, Sihat Dan Sejahtera

Ketahuilah, bahawa pentingnya memiliki hati yang hidup, sihat dan sejahtera. Ini kerana hati seperti ini akan sentiasa berada dalam zon Allah SWT. Kehidupannya dipenuhi dengan segala bentuk amalan yang membawanya mengingati Allah SWT dan hidupnya begitu asyik dengan perbuatan yang baik.

Menurut Dr Ahmad Farid, dalam sebuah kitab karangannya, Al Bahrur Ra’iq Fiz Zuhdi war Raqa’iq (Samudera Dalam dari Zuhud dan Budi Pekerti Luhur), terdapat beberapa tanda dan ciri-ciri seseorang itu memiliki hati yang sejahtera. Antaranya ialah:

  1. Hati yang mencintai Allah SWT
  2. Mendorong orang melakukan kebaikan
  3. Hati yang tidak jemu beribadah walaupun jasmani keletihan
  4. Merindui untuk berkhidmat kepada Allah SWT
  5. Merasai nikmat dalam beribadah
  6. Bersegera melakukan kebaikan dengan lapang dada
  7. Sentiasa berzikir dengan wirid-wirid al-Ma’thur
  8. Cita-citanya hanya satu iaitu memperolehi redha Allah SWT
  9. Al-Quranul Karim sentiasa menjadi tatapan yang dicintai.
  10. Tenteram dengan mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaaan.

Kebahagiaan Hati, Kebahagiaan Akhirat

Kebahagiaan akhirat bergantung kepada kebahagiaan hati. Kesengsaraan dunia dan akhirat juga bergantung kepada kerosakan hati.

Lantaran itu, penelitian kepada hati sangat-sangat penting dalam setiap hembusan nafas seorang mukmin. Manakala kesungguhan, komitmen dan sifat istiqamah yang tinggi terhadap proses penyucian diri kepada Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka untuk memimpin umat manusia dalam usaha menegakkan syiar Islam di seantero dunia.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menitikberatkan soal kejernihan hati kita yang wajib dilaksanakan setiap hari. Mudah-mudahan dengan hal ini, kita meraih darjat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Tulisan Dr Abdullah Sudin Ab Rahman.
Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah HALUAN Edisi 4 2013.