fbpx

Perhimpunan Perdana Palestin Membakar Semangat Menuju Pembebasan Al Quds

Perhimpunan Perdana Palestin Membakar Semangat Menuju Pembebasan Al Quds

Kuala Lumpur, 6 Februari 2010. – Majlis Perhimpunan Perdana Palestin yang julung-julung kalinya telah diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Perhimpunan tersebut adalah anjuran bersama NGO-NGO Malaysia, antaranya HALUAN, HALUAN Palestin, JIM, Pertubuhan MAWADDAH Malaysia, Palestine Excellent Centre Malaysia (PACE), Pemuda Masjid Malaysia, Viva Palestina Malaysia (VVM) dan Komite Indonesia Untuk Solidariti Palestina (KISPA). Perhimpunan tersebut turut mendapat kerjasama dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perhimpunan Perdana Palestin ini diserikan dengan kehadiran 2 orang ulama dari Palestin, Syeikh Hussein KS Awawidah (Syeikh Abu Bakar), Penasihat Kanan Rabithah Ulama Palestin dan Syeikh Abu Ahmad, Koordinator Bantuan Kemanusian Rabithah Ulama Palestin. Kedua-dua mereka berasal dari Gaza Palestin.Suasana kedinginan penghawa dingin di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 6 Februari, Sabtu, 2.30 petang yang lalu digegarkan dengan suara yang bersemangat dari Pengerusi Majlis Perhimpunan Perdana Palestin, Dr. Hj. Azizan Ahmad, yang juga merangkap Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia. Dr. Azizan mengajak para peserta ‘Perhimpunan Perdana Palestin’ untuk mengimbau kembali nasib rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang telah lebih satu tahun berlalunya serangan besar-besaran Regim Zionis Yahudi terhadap Gaza. Beliau juga mengingatkan akan nasib yang begitu malang sekali yang bakal menimpa Masjid Al-Aqsa berikutan penggalian terowong yang intensif di dasar masjid oleh regim Israel tersebut. Suasana pada hari itu bertambah hangat dengan laungan  yang penuh semangat keimanan dari barisan pemuda dan mahasiswa yang membanjiri di setiap ruang dewan, begitu juga semangat yang menakjubkan yang ditunjukan oleh para muslimah dan mahasiswi yang hadir. Laungan “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Khaibar…Khaibar Ya Yahud, Khaisu Muhammad Saufa Yahud…”. Laungan itu disambut oleh ribuan hadirin yang hadir dengan mengibarkan bendera Palestin dan bendera Malaysia.

Tn. Hj. Norazman B Mohd Samsuddin, Pengerusi Biro Haluan Palestin, merangkap Pengarah Perhimpunan Perdana Palestin, dalam ucapan aluan beliau telah menjelaskan bahawa setelah setahun berlalu serangan besar-besaran regim Zionis Yahudi ke atas Gaza pada Disember 2008 yang lalu, penduduk Gaza semakin menderita dengan keadaan yang sangat serba kekurangan dan kesusahan mendapatkan bekalan makanan. Keadaan ini bertambah parah lagi apabila Kerajaan Mesir membina tembok tambahan iaitu tembok besi setebal 5 kaki dan sedalam 30 meter di sepanjang persempadanan mereka dengan Gaza. Ini telah mengakibatkan penduduk Gaza menghadapi ancaman bekalan makanan asasi dan kelaparan sedikit demi sedikit akibat laluan terowong bawah tanah ke Mesir yang tersekat. Sebelum ini terowong-terowong tersebut digunakan untuk membawa masuk bekalan makanan ke Gaza akibat dari penutupan pintu persempadanan Mesir-Gaza oleh kerajaan Mesir.Sheikh Abu Bakar Al-Awawidah , Penolong Kanan Rabithah Ulama’ Palestin, seorang tokoh ulama’ Gaza yang buta menjelaskan bahawa permasalahan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis yang menanti runtuh itu bukan hanya permasalahan umat Arab atau orang Palestin sahaja tetapi ia adalah permasalahan umat Islam di seluruh dunia. Al-Aqsa penghubung langit dan bumi, masjid kedua yang dibina selepas Masjid Al-Haram, kiblat pertama umat Islam, pada hari ini masjid suci ini menerima ancaman akan runtuh sekiranya umat Islam di seluruh dunia tidak berusaha melakukan desakan kepada Zionis Israel agar memberhentikan segala bentuk kerja dan usaha  meruntuhkan masjid suci ini. Ini kerana penggalian terowong yang sedang berlaku secara intensif dan destruktif oleh regim Israel sejak sekian lamanya mengakibatkan masjid suci ini kehilangan asas fondasi yang kukuh. Beliau menegaskan umat Islam mesti bangkit.

Beliau juga menjelaskan keadaan penduduk Gaza yang semakin menderita tanpa ubatan yang mencukupi, makanan yang kurang serta tahap pengangguran yang tinggi. Walaupun rumah mereka telah ranap tetapi penduduk Palestin tetap tidak mahu berhijrah ke tempat lain. Para hadirin mula mengalirkan air mata terutamanya kaum ibu tatkala mendengarkan penjelasan Sheikh Abu Bakar akan nasib penduduk Palestin dan pengorbanan mereka menentang serangan berterusan dari regim Zionisme. Beliau menceritakan bagaimana peranan para ibu di Palestin turut serta dalam jihad melawan Zionis Yahudi di Gaza. Para ibu di Palestin telah kehilangan ramai orang lelaki di dalam keluarga mereka kerana terkorban menentang askar-askar zionisme yang ganas itu. Syeikh Abu Bakar mempersoal kepada para hadirin terutama kepada para ibu, apa peranan anda untuk Palestin, sedangkan kami telah mengorbankan harta kami, anak-anak kami, para pemuda kami dan diri kami.Syeikh Abu Bakar, yang buta matanya akibat seksaan tentera Zionis Yahudi ketika beliau dipenjarakan bertanyakan kepada kita….` Atas dasar apa kamu nak cagarkan untuk mengharapkan dan mendapatkan syurga Allah yang begitu mahal harganya di akhirat nanti ?kami disini telah cagarkan semua yang ada demi perjuangan suci ini.Alhamdulillah hampir RM 54,000 dan 20 utas rantai, cincin dan gelang emas telah diinfakkan oleh para peserta ketika majlis berlangsung.HALUAN dan PACE  juga telah menyampaikan sumbangan cek kepada Syeikh Abu Bakar. HALUAN menyumbangkan RM450,000 hasil dari kutipan yang telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak samada dengan pihak kerajaan mahupun dengan orang ramai. Manakala PACE dan JIM telah menyumbangkan RM100,000.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid yang penuh bersemangat oleh Sdr Muadz sebagai `icon` remaja dengan persembahan mantap berjaya memukau hadirin.Satu sidang akhbar telah diadakan setelah majlis dengan dipengerusikan oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor (PACE) bersama Sdr Norazman (HALUANPalestin) dan Hj Taqiuddin (Dewan Pemuda Masjid). Wakil-wakil media yang hadir adalah dari Sinar Harian, Harian METRO dan Bernama News.

HALUAN Malaysia dan HALUAN Palestin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berganding bahu menjayakan program ini secara bersama dengan perasaan mahabbah dan ukhwah, semoga Allah swt memberkati usaha kecil kita semua, dan semoga permasalahan Palestin akan terus diperjuangkan dari masa ke semasa.Laporan disediakan oleh Dr Mohd Arba’ai B Shawal, Setiausaha Biro Haluan Palestin