fbpx

Perawat Perlu Berdakwah Kepada non-Muslim

Perawat Perlu Berdakwah Kepada non-Muslim

Perawat Perlu Berdakwah Kepada non-Muslim

Shah Alam  Dis 25  –  Kepercayaan yang diberikan masyarakat kepada profesion perubatan harus dimanfaatkan sebaik cara agar dakwah Islam dapat disampaikan kepada pesakit, walaupun kepada golongan bukan Islam.


Para doktor dan paramedik adalah barisan hadapan profesion perubatan yang berusaha meringankan keringsaan dan kesakitan pesakit dan sudah tentu kerja yang mulia ini mendapat perhatian, kepercayaan dan penghormatan oleh masyarakat. Adalah menjadi sesuatu yang merugikan jika seorang perawat Islam itu menghabiskan berjam-jam berkerja di hospital tetapi hanya sekadar merawat keadaan fizikal pesakit tanpa merawat jiwa-jiwa mereka yang mungkin terpinggir daripada ajaran Islam mahupun mereka yang tidak pernah mendengar mengenai Islam sebagai ad-deen.

Menurut Presiden HALUAN Prof. Madya Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman, bukan mustahil bagi doktor and paramedik untuk mengIslamkan para pesakit yang belum menerima hidayah Allah. Beliau berkata demikian semasa ucaptama beliau sempena Nadwah Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) di sini. Katanya lagi, setiap perawat Muslim perlu jelas dengan matlamat terdekat mereka sebagai daie dan daieyah.

Mereka seharusnya mendaulatkan syariat Islam di mukabumi ini di samping melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. “Kita kenalah meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT. Masalah sekarang ialah orang Islam sendiri kurang yakin dengan janji-janji Allah SWT. Kadang kita membuat kerja di peringkat makro sahaja tetapi bulat tekad melaksanakannya kerana Allah semata-mata. Kita mengharapkan hasil yang makro dan lebih daripada sekali Allah mengabulkan doa-doa kita,” katanya kepada himpunan lebih 50 orang doktor dan paramedik HALUAN.

“Kita membuat kerja-kerja perubatan, macam juga profesion-profesion yang lain, tapi bagi mereka yang bertaqwa kerja-kerja itu semua adalah dalam rangka yag lebih besar iaitu untuk mendaulatkan sistem Allah SWT,” tambahnya lagi.

Seorang mukmin meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT semasa dan selepas melaksanakan kerjanya yang berupa ibadah yang berterusan. Kerja-kerja ini perlu dilaksanakan secara jamaie agar mendapat keberkatan akhirnya. Tugas dakwah dan tarbiyah menjadi tugas yang asasi bagi setiap perawat Islam.

“Kerja-kerja mencari rezeki itu merupakan amal ibadah yang seharusnya disedagingkan bersama kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang tiada hentinya. Maka kita perlu tingkatkan ilmu, perhebatkan ibadah kita, tingkatkan amal-amal Islami di samping mencari rezeki yang halal,’ ujar Dr Abdullah Sudin lagi.

Tarbiyah itu harus melahirkan pemimpin yang soheh, soleh dan musleh di samping dakwah mereka haruslah mampu memimpin masyarakat ke arah pengabdian yang sebenarnya kepada Allah SWT.