fbpx

Perasmian mesyuarat perwakilan Haluan Malaysia ke-20

Perasmian mesyuarat perwakilan Haluan Malaysia ke-20

Perasmian mesyuarat perwakilan Haluan Malaysia ke-20

HALUAN Malaysia telah berjaya mengadakan mesyuarat perwakilan ke-20 di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.


Seramai 700 perwakilan dari seluruh negara berkumpul bagi menzahirkan ukhuwwah, mempereratkan tautan hati dan azam baru. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain juga turut dijemput dalam majlis perasmian itu.

Mesyuarat perwakilan ini diadakan setiap tahun bagi memenuhi tuntutan berorganisasi secara formal, meningkatkan kesedaran ahli-ahli terhadap usaha merancang dan melaksanakan kegiatan ke arah merealisasikan motto Haluan iaitu berakhlak, mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Haluan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mula menempatkan diri bersama masyarakat sejak tahun 2002 dengan usaha membantu mengubati masalah-masalah sosial, memberi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat miskin, terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan sebagainya.

Objektif aktiviti-aktiviti Haluan ialah membantu kerajaan dalam menangani masalah sosioekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim, mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat, dan menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.

Mesyuarat kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz yang menekan kepentingan usaha-usaha dakwah yang berkesan bagi mendekati masyarakat.

‘Dalam kerja-kerja dakwah, kita kena turun mendekati anak-anak yang kita kasihi,’ tambahnya.

Beliau juga menjemput ahli-ahli Haluan untuk membantu pihak JAKIM merancang dan melaksanakan progam bagi radio dan televisyen JAKIM supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Di samping itu Haluan dijemput turut serta melaksanakan latihan dan perundingan untuk kumpulan sasar dengan menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di institusi latihan JAKIM.

Presiden Haluan Malaysia, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dalam ucapannya mengharapkan mesyuarat kali ini dapat menjana dan membuahkan idea serta pemikiran, azam, semangat baru yang kental di samping menambahkan keberkesanan pelaksanaan kerja-kerja amal kepada masyarakat.

Perwakilan yang memenuhi Dewan Anuwar Mahmud, Universiti Kebangsaan Malaysia sangat teruja dengan persiapan mesyuarat kali kerana berkobar-kobar mendengar ucapan dasar presiden yang menyentuh aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial yang disifatkan sangat tepat dan memenuhi agenda cabaran Haluan masa kini.

Selepas majlis perasmian, tetamu dan perwakilan melawat pameran yang memaparkan aktiviti-aktiviti Haluan seperti Kompleks Pendidikan Haluan, Rumah Ihsan Haluan, Haluan Charity Shop, Haluan Palestin dan Kelab Kesihatan Haluan.