fbpx

Peranan Pemuda Dan Pemudi Dalam Masyarakat

Peranan Pemuda Dan Pemudi Dalam Masyarakat

Peranan Pemuda Dan Pemudi Dalam Masyarakat

Pemuda pemudi. Mereka merupakan golongan yang punya potensi yang tinggi, peluang yang luas, tenaga yang banyak, dek kemudaan yang ada pada diri. Mereka dilihat sebagai pencorak masa hadapan, bakal pemimpin, dan dunia ini mahu atau tidak, akan diwariskan kepada mereka.

Pernah saya, ketika hendak menganjurkan program remaja, disuruh untuk meminta tajaan daripada ahli politik. Alasannya adalah: “Pada mata ahli politik, remaja hari ini, adalah pengundi di masa hadapan. Mereka mesti nak lobi dari sekarang. Kita pula gunakan peluang.” Saya tersenyum. Hingga begitu sekali.

Persoalannya, bagaimana pemuda-pemudi memandang diri mereka pula?

Gejala Sosial

Menyebut perihal pemuda-pemudi, pasti akan ada yang mengaitkannya dengan isu gejala sosial. Seakan pemuda-pemudi dengan gejala sosial hari ini tidak dapat dipisahkan. Namun hendak menyalahkan stereotaip tersebut pun agak sukar sebenarnya, apabila golongan pemuda-pemudi sendiri memang lumrahnya kini mudah lalai dan alpa, hanyut dengan kemudaan mereka, melakukan pelbagai perkara yang sia-sia, bahkan ada yang menggelapkan masa hadapan mereka.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun. Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 81,000 anak luar nikah didaftarkan setakat ini.

Manakala kajian sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mendapati 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas serta 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan tersebut langsung tidak menyesal, malu atau takut malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Statistik Polis Diraja Malaysia pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara 2000 sehingga 2006 ialah 580 orang, majoriti sebanyak 92 peratus adalah bayi baru dilahirkan, manakala 8 peratus adalah janin. Di Lembah Klang saja hasil laporan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 mendedahkan seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari.

Semua ini menimbulkan rasa resah dan gelisah kita terhadap masa hadapan. Kerana pemuda-pemudi inilah yang akan menjadi penggerak dunia pada masa akan datang.

Bagaiamana mahu melorongkan dunia ini kepada jalan yang baik, jika diri pencoraknya sendiri terumbang-ambing?

Masa Muda Bukan Masa Berfoya

Pemuda-pemudi perlu menyedari akan tanggungjawab yang bakal mereka galas pada masa akan datang. Mereka perlu menyelam ke dalam diri mereka, melihat betapa besarnya harga mereka buat sebuah masa hadapan. Justeru mereka perlu segera bangkit dari lena dan mula siaga, mempersiapkan diri. Mempunyai matlamat yang jelas, dan membina perancangan untuk sampai kepadanya.

Masa muda hanya sekali cuma. Tiada kerugian yang lebih besar selain membazirkannya pada perkara yang sia-sia.

Allah SWT berfirman:

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan kepada kesabaran.”

(Surah Al-‘Asr 103 : 1 – 3)

Masa muda bukan masa berfoya. Ianya adalah masa untuk menimba pengalaman berharga, mengorek mutiara ilmu dan membina kerangka fikir yang kukuh, menelusur potensi diri dan mengembangkannya, medan cuba-cuba untuk membina sesuatu yang besar buat masa hadapan diri dan masyarakat sekaliannya.

Islam Mendidik Kita Menghargai Kepemudaan

Islam mengajak kita kepada penggunaan masa muda yang bermakna. Hingga Rasulullah SAW pernah bersabda agar kita mengejar masa muda sebelum masa tua. Islam juga sangat menghargai kepemudaan, hingga diselitkan di dalam Al-Quran kisah para pemuda kahfi, di dalam Surah Al-Kahfi.

Pemuda Kahfi adalah sekumpulan pemuda berani yang berjuang mengorbankan kesenangan hidup untuk menyelamatkan keimanan diri. Allah SWT memuji mereka di dalam firmanNya:

“Sesungguhnya merekalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”

( Surah Al-Kahfi 18 : 13)

Penghargaan Rasulullah SAW pada anak muda pula jelas apabila di dalam sirah, baginda membenarkan anak-anak muda berperang bersama-sama baginda seperti Mu’adz dan Mu’awwidz, baginda membenarkan anak-anak muda duduk di dalam majlis ilmu baginda seperti Abdullah ibn Umar, baginda sendiri pernah bersantai menaiki tunggangan dengan anak muda seperti Ibn Abbas, dan baginda hingga pernah melantik jeneral tentera ke Rom dari kalangan anak muda belasan tahun, itulah dia Usamah bin Zaid RA.

Maka bagaimanakah kita menghargai kepemudaan kita?

Saya suka memetik kisah berkait Mu’adz dan Mu’awwidz. Kisah ini diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Auf RA, ketika perang badar, beliau telah didatangi dua anak muda. Kedua-dua anak muda bertanya kepada Abdurrahman bin Auf RA: “Pakcik, di manakah Abu Jahal?”

Kehairanan, lantas Abdurrahman bin Auf RA bertanya: “Mengapa kamu berdua mencarinya?”

Mereka berdua menjawab: “Kami mendengar bahawa Abu Jahal telah menghina dan menyakiti Rasulullah SAW. Hari ini kami akan tumbangkannya.”

Abdurrahman bin Auf RA kemudian menunjuk kepada Abu Jahal yang sedang dilindungi pengawal-pengawalnya di tengah medan peperangan. Kedua-dua pemuda itu pantas pergi ke sana, menebas musuh yang menghadang, dan kedua-dua mereka berjaya menumbangkan Abu Jahal.

Saya mahu kita semua memerhatikan dengan teliti.

Pertama: Apakah logik untuk dua orang pemuda yang lembik, lemah, untuk menyertai peperangan Badar, dan kemudiannya mampu mengharungi para musuh dan menumbangkan pula Abu Jahal yang perkasa itu? Pastinya tidak.

Ini bermakna, Mu’adz dan Mu’awwidz bukanlah pemuda yang membazirkan masa di rumah dengan perkara yang sia-sia. Mereka nyata telah mempersiapkan diri mereka, agar benar-benar ‘fit’ untuk berjuang bersama-sama Rasulullah SAW.

Kedua: Ketika ditanya mengapa mereka mencari Abu Jahal, mereka menjawab – “Kami mendengar bahawa Abu Jahal telah menghina dan menyakiti Rasulullah SAW. Hari ini kami akan tumbangkannya.”

Jelas bermakna Mu’adz dan Mu’awwidz bukan remaja/pemuda yang tidak cakna dengan isu semasa. Mereka tidak rasa itu hanyalah urusan orang tua. Jelas mereka peka dan sensitif, ambil tahu, menyebabkan lahir rasa tanggungjawab yang memacu mereka ke medan perang, menegakkan keadilan untuk Rasulullah SAW.

Bagaimana kita?

Pemuda-pemudi, lakarkan masa hadapanmu!

Apakah cita-cita kita wahai pemuda-pemudi?

Apabila saya dijemput ke universiti-universiti, saya sering mengajukan soalan: “Siapakah anda lima tahun akan datang?” kepada para pelajar yang hadir.

Rata-rata akan menjawab berkenaan kerjaya mereka. Jika sekarang mereka belajar perubatan, mereka kata lima tahun lagi mereka ialah doktor. Jika sekarang mereka belajar ekonmi, mereka kata lima tahun lagi mereka ialah akauntan atau pegawai bank.

Tidak. Saya tak tanya “Anda akan kerja apa lima tahun akan datang?”

Saya tanya: “Siapakah anda lima tahun akan datang?”

Jika anda hendak jadi doktor, doktor yang bagaimana di tengah masyarakat nanti? Jika anda hendak menjadi arkitek, arkitek yang bagaimana untuk agama nanti? Jika anda hendak menjadi penulis, penulis yang bagaimana impaknya kepada ummah nanti?

Ya. Itu yang saya tanya.

Tiada? Maka hendaklah mula mempunyai cita-cita!

Jika ada, apa perancangannya? Di mana strategi untuk mencapainya?

Tiada? Jika tiada, susunlah sekarang. Cita-cita hanya menjadi anganan jika tidak punya perancangan!

Kemudian laksanakan dengan sabar dan istiqomah.

Sesungguhnya masa hadapan yang cerah berada di tangan pemuda-pemudi hari ini. Seorang menteri juga dahulu seorang budak. Seorang chef terkenal juga dahulu seorang budak. Seorang pegawai juga dahulu seorang budak. Persoalannya, kita mahu jadi ‘budak’ yang bagaimana?

Lakarlah masa hadapan. Isilah masa muda. Islam memerlukan ummatnya untuk tidak menjadi buih yang sia-sia. Islam memerlukan ummatnya untuk bergerak menjadi mutiara-mutiara yang berharga, menjadi Al-Quran yang berjalan,. Menjadi cerminan kepada akhlak Rasulullah SAW, cemerlang duniawi dan ukhrawi, menyempurnakan tugasan sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di atas muka bumi ini.

Penutup: Kamu Berperanan Mencorakkan Dunia

Semasa muda, bersungguhlah membina diri. Memperdalam ilmu. Memperkasa jiwa. Selami dan fahami keadaan masyarakat. Supaya kita ada peribadi yang mantap.

Biar kerja apa pun kita, apa pun karier kita, kita menjadi ummat Islam yang signifikan, bukan sekadar angka kosong semata-mata.

Hargai masa muda dengan mengisinya dengan perkara yang menguntungkan ummah di masa hadapan. Ummah memerlukan pemuda-pemudi hari ini untuk tidak hanyut dan dirosakkan. Kerana semuanya berharga sebagai saham masa hadapan, pencorak dunia akan datang.

Ya. Penting. Diri pemuda-pemudi sangat penting.

Tanamkan itu.

Dan mulalah bergerak menghargainya.

Lakar cita-cita.

Esok coraklah dunia mengikut apa yang diredhaiNya.


Tulisan Saudara Hilal Asyraf. Bekas pelajar Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) dan graduan Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Seorang penulis muda prolifik yang aktif menghasilkan karya-karya islamik melalui genre cerpen, novel dan buku-buku motivasi. Beliau juga adalah pengasas laman sesawang kerohanian Langitilahi.Com.