fbpx

Peperiksaan yang belum bertarikh

Peperiksaan yang belum bertarikh

Peperiksaan yang belum bertarikh

Tulisan ini ditujukan kepada semua yang sedang berhadapan dengan peperiksaan, moga ada manfaatnya.

Dari Australia ke Malaysia hinggalah ke UK dan Jordan, ramainya mereka yang saya kenali menghadapi peperiksaan. Saya doakan agar semua yang menghadapi apa jua peperiksaan akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Terfikir saya untuk membuat sedikit catatan tentang peperiksaan yang begitu besar pengaruhnya kepada sebahagian besar daripada kita.

Apabila difikir-fikir rupa-rupanya sudah sekian lama kita berhadapan dengan peperiksaan, dari kecil bermula dengan sekolah rendah hinggalah ke universiti peperiksaan menjadi kemuncak dalam kehidupan belajar. Bagi mereka yang pernah bersekolah pasti pernah menghadapi suasana peperiksaan. Malah di sesetengah tempat, untuk berkahwin pun perlu berhadapan dengan peperiksaan.

Kejayaan dan kegagalan seorang pelajar dinilai dari keputusan peperiksaannya. Maka tidak sedikit dari mereka yang bergelar pelajar bertungkus lumus memastikan agar peperiksaan yang akan dihadapi nanti tidak akan membawa berita kecewa dan hambar.

Bermacam ragam, gaya dan kaedah digunakan oleh para pelajar untuk berhadapan dengan peperiksaan. Ada yang dari awal penggal atau semester sudah merencana bagaimana menghadapi peperiksaan. Ada pula yang ’slow-starter’ iaitu lambat panas, makin cergas apabila makin menghampiri peperiksaan. Ada juga yang panas hanya ketika membeli buku teks di awal musim tetapi makin kendur seiring dengan masa. Namun ada juga yang tiba-tiba cergas pada malam sebelum peperiksaan siap dengan qiyamullail dan sebagainya. Cuma… ada juga yang begitu sibuk belajar hingga amat lewat, tetapi akhirnya terlepas solat Subuh.

Selain dari itu pelbagai strategi yang digunakan untuk memastikan kejayaan dalam peperiksaan. Ada yang hadir hari-hari ke kelas dan…ada juga yang hadir sekali-sekali ke kelas. Ada yang membaca waktu malam dan ada yang membaca waktu siang. Ada yang belajar sendirian dan ada yang perlu teman baru faham. Ada yang perlu ada muzik manakala ada pula yang perlu suasana sepi. Bermacam-macam dan pelbagai sekali. Betapa Allah menjadikan kita begitu kaya dengan sifat-sifat yang cukup berbeza walaupun warna darah dan rambut serupa.

Alangkah baiknya jika semua peperiksaan itu menjadikan kita lebih dekat dengan Allah yang menyediakan kita peperiksaan-peperiksaan kecil supaya kita boleh berlatih sebelum kita berhadapan dengan peperiksaan terpenting dalam kewujudan sebagai insan. Hakikatnya, kita akan berhadapan dengan peperiksaan di alam Barzakh dan di padang Mahsyar tanpa terkecuali.

Sebagaimana kita bersedia dengan peperiksaan yang mempunyai nama-nama yang berlainan yang wujud di dunia begitulah juga kita berhadapan dengan peperiksaan ter’akhir’ kita. Ada yang disiplinnya kuat, sedari awal terus berlari, mempersiapkan diri. Ada juga yang lambat panas, tetapi makin lama makin cergas, berlatih dan bersiap. Bagaimana dengan kita? Bagaimana dengan anda? Bagaimana dengan saya? Apa strategi yang mahu diguna, apa gaya kita, atau adakah kita terus leka sedangkan peperiksaan itu makin mendekati. Cuma bezanya, peperiksaan lain semua sudah ada tarikhnya sedangkan peperiksaan yang ‘itu’ kita tidak tahu bila.

Ampuni hamba-hambaMu ini, ya Allah. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghadapi segala peperiksaan, ya Allah. Jadikan peperiksaan yang kami hadapi di dunia menginsafkan kami tentang peperiksaan di MahsyarMu ya Allah. Berikan kami RahmahMu agar kami lulus di dalam peperiksaan sama ada peperiksaan dunia mahupun akhirat, ya Allah. Hanya Engkau yang kami sembah dan… hanya pada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan. Perkenankanlah, Amin Yaa Rabbal ‘Alamiin.

Wahab Fathoni, Melbourne, 1.40am