fbpx

Peningkatan Pemuda ke KADER 2015

Peningkatan Pemuda ke KADER 2015

Peningkatan Pemuda ke KADER 2015

SHAH ALAM, 7 Julai 2015 – Peningkatan kehadiran teramai 430 orang peserta ke Kolokium Anjakan Daie Rabbani 2015 (KADER ’15) kali kelima baru-baru ini suatu petanda baik bahawa semakin ramai pemuda-pemudi Islam ingin bergandingan berdakwah mengubah masyarakat.

Kolokium tersebut disertai golongan muda daripada keahlian Kelab Siswa HALUAN, Biro Pemuda HALUAN dan Biro HALUANITA dari seluruh negara. Selama tiga hari dua malam bermula Jumaat lepas dan berakhir kelmarin.

Program KADER ini diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi. Ia dianjurkan bagi memperkenalkan struktur organisasi serta gerak kerja yang baru dilantik selepas Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN yang baru berlalu. Ia juga bertujuan memperingati visi dan misi HALUAN khususnya peranan belia agar mereka dapat berkerja dengan hala tuju yang lebih jelas, istiqamah dan efisien.

KADER’15 telah dirasmikan oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman yang seterusnya menyampaikan ucaptama.

Pengarah program KADER’15, Encik Wan Mohd Naim Wan Mansor berkata penyertaan pada kali ini adalah yang terbanyak berbanding tahun-tahun yang lepas. Ia menunjukkan satu peningkatan yang sangat baik daripada kesan program KADER sebelum ini yang memperlihatkan usaha-usaha dakwah yang berkesan. Beliau berharap pihak urusetia akan dapat mengumpulkan lebih ramai lagi peserta pada tahun depan.

Program ini berakhir dengan ucapan penutup dan resolusi kolokium oleh ketua Biro Pemuda HALUAN, Ustaz Muzakkir Che Ani.

Harapannya, program seperti ini dapat diteruskan pada tahun yang mendatang agar lebih ramai pemuda yang memahami Islam secara total dapat dilahirkan yang seterusnya akan berkerja bersungguh-sungguh dalam memikul amanah dakwah memperbaiki keadaan masyarakat agar mentaati perintah Allah SWT.

Laporan oleh Muhammad Mudzaffar Mansor
Setiausaha Kolokium Anjakan Daie Rabbani 2015