fbpx

Pengorbanan Membuahkan Hasil Yang Istimewa

Pengorbanan Membuahkan Hasil Yang Istimewa

Pengorbanan Membuahkan Hasil Yang Istimewa

Pengorbanan diertikan sebagai suatu tindakan yang mana seseorang melakukan sesuatu yang diluar dari kemampuannya demi mencapai suatu tujuan.

Setiap kali kita menyebut tentang pengorbanan sudah tentulah ia melibatkan sesuatu perkara yang kita sayang. Mengorbankan sesuatu yang disayangi demi manfaat tertentu dan mencapai tujuan yang bukan berbentuk peribadi adalah suatu perkara yang sukar dilaksana.

Contohnya berdasarkan sirah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup berkorban melakukan sesuatu perkara yang diluar dari kemampuan demi mencapai suatu tujuan iaitu kasih dan redha Allah s.w.t. Dengan demikian peristiwa yang berlaku ini dirakamkan secara terperinci dalam al-quran dan diikuti oleh umat Islam hingga ke saat ini dan juga akan datang. Inilah yang dikatakan pengorbanan tertinggi lagi suci dan agung yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah.

Kita perlu melihat bahawa perlunya kepada pengorbanan kerana itulah permulaan dan pra-syarat kepada kejayaan hidup seseorang dalam apa jua bidang dan aspek. Hal ini kerana pengorbanan walaupun sedikit sesungguhnya memberi kesan kepada kehidupan serta membuka ruang dan hikmah yang tidak mampu difikir oleh manusia.

Pengorbanan diumpamakan seperti tenaga nukleus yang mana dari tenaga nukleus itu akan berkembang kepada yang lain. Maka pengorbanan merupakan sumber tenaga yang berkembang dalam keluarga, masyarakat dan lain-lain. Dalam erti kata yang lain, tanpa pengorbanan maka tidak mungkin kita dapat mengecapi hasil dan temui kejayaan. Apalagi untuk merasai sesuatu kenikmatan yang diidamkan. Maka sebab itulah kita katakan bahawa pengorbanan itu adalah pintu kepada kejayaan yang hakiki.

Aspek Pengorbanan
Terdapat beberapa aspek pengorbanan yang boleh kita bincangkan di sini. Aspek yang boleh disentuh ialah seseorang itu sanggup berkorban dari sudut jiwa, tenaga, harta, masa dan seluruh hidupnya.

Pengorbanan jiwa boleh dihuraikan dalam erti kata seseorang itu mengorbankan kasih sayangnya demi meraih kasih sayang Allah s.w.t.. Ada orang yang sanggup mengorbankan masanya berbulan-bulan demi maslahah dan kepentingan orang lain. Ada juga yang mengorbankan tenaganya demi ketinggian suatu cita-cita. Ada pula yang sanggup mengorbankan nyawa demi tanah air dan bangsa. Dan ada juga orang yang mengorbankan seluruh hidupnya semata-mata kerana kasih dan cintanya pada agama.

Semua bentuk pengorbanan ini adalah suci dan bersih kerana tanpa pengorbanan maka cita-cita yang diimpikan hanya tinggal angan-angan. Sirah membuktikan bahawa para rasul dan nabi telah banyak melahirkan pengorbanan bagi seluruh kehidupan mereka demi mencari redha Allah s.w.t. dan demi kecintaan mereka kepada Islam.

Seperti mana yang Allah s.w.t. rakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”

Aspek pengorbanan yang seterusnya pula ialah dari sudut tenaga yang mana seseorang itu mengorbankan tenaga yang ada untuk dimanfatkan sebaik mungkin pada jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Pengorbanan dari sudut harta pula bilamana seseorang itu sanggup mengorbankan segala material dan kewangan yang dimiliki demi kebahagiaan dan kesenangan orang lain.

Natijah Pengorbanan
Natijah di sebalik pengorbanan adalah tidak lain dan tidak bukan dapat memurnikan kehidupan yang lain berbanding dengan diri sendiri walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan dan keperluan diri dari sudut jiwa, harta, tenaga dan masa. Dalam kita mengorbankan segalanya adakala sehingga mengakibatkan kehabisan harta, kesuntukan masa untuk diri, tenaga menjadi lemah dan berkurangan dan lain-lain lagi. Namun bagi insan yang benar-benar memahami akan erti pengobanan sebenar maka baginya kebahagiaan dan keindahan yang tidak terhingga jika dapat melakukan pengorbanan demi kepentingan orang lain dan ummah berbanding diri sendiri atau peribadi.

Kesempurnaan hidup yang tidak pernah dijangka, kejayaan demi kejayaan diperolehi merupakan suatu pencapaian yang lahir dari pengorbanan. Semua itu merupakan nikmat yang tidak mungkin dibeli walaupun memiliki harta yang banyak, segunung emas, atau dunia seluruhnya.

Segalanya bermula pada diri. Ada yang berkorban masa, wang, harta demi perolehi ilmu yang dihajati. Contohnya apabila kita lihat para ulama’ dahulu yang sanggup berkorban masa, tenaga dan harta sehingga memberikan natijah yang baik kepada masyarakat. Mereka telah keluar menjadi ulamak besar. Pengorbanan para sahabat dari sudut harta, masa dan tenaga memungkinkan Islam tersebar ke seluruh dunia.

Pengorbanan seorang ibu yang menjaga dan mendidik sehingga lahirlah seorang anak yang berjaya. Pengorbanan seorang ayah yang membanting tulang sehingga memampukan keluarga untuk terus kekal bahagia. Pengorbanan seorang pemimpin demi masa depan rakyatnya. Pengorbanan seorang guru demi kejayaan para pelajar dan anak muridnya. Pengorbanan jiwa yang dilakukan oleh rakyat Palestin demi mempertahankan agama dan tanah airnya.

Kesimpulannya, sesebuah bangsa tidak akan berjaya tanpa pengorbanan yang mulia dan suci. Sejarah membuktikan bahawa pengorbanan yang tulus dan ikhlas demi mencapai pengorbanan yang bersih dan membuahkan hasil yang istimewa.