fbpx

Penggalian terowong di bawah Al Aqsa – Israel menjemput Intifada terbaru

Penggalian terowong di bawah Al Aqsa – Israel menjemput Intifada terbaru

Seorang pemimpin Palestin di Gaza, Amir Abu Al-Amrin, menyatakan bahawa rejim pengganas Zionis Israel kini menjemput kelahiran Intifadah terbaru sekiranya mereka terus menyerang masjid Al-Aqsa yang mulia, terutama sekali dengan kerja-kerja penggalian jaringan terowong di bawah kompleks tersebut. Beliau berkata demikian dalam satu perhimpunan raksasa di Bandar Gaza Isnin lalu. Perhimpunan itu diadakan bagi menyokong rakyat Palestin di timur Baitul Maqdis dan menentang pembinaan jaringan terowong di bawah kompleks Al Aqsa oleh rejim Israel. Dalam syarahannya, Abu Al-Amrin mengingatkan semula kepada tentera pengganas Israel tentang peristiwa yang mencetuskan Intifadah ke-2; di mana Ariel Sharon dan tenteranya masuk ke kawasan masjid Al Aqsa melalui dinding barat. Kejadian tersebut dilihat sebagai satu pencerobohan, justeru mencetus protes dan penentangan di seluruh Baitul Maqdis. “Saya sampaikan mesej kepada semua orang Islam dan Arab di dunia ini, dan menyeru mereka untuk menjaga masjid Al Aqsa dan menghalang Israel dari merosakkan tempat yang mulia ini. Saya menyeru kepada semua pemimpin yang bermesyuarat di Doha untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan ini dengan bersungguh-sungguh, terutama sekali (permasalahan berkaitan) di Baitul Maqdis dan Gaza.” [HP/Ma’an News Agency]