fbpx

Pendaftaran Ibadah Korban HALUAN 1440H Kini Dibuka!

Pendaftaran Ibadah Korban HALUAN 1440H Kini Dibuka!

Pendaftaran Ibadah Korban HALUAN 1440H Kini Dibuka!

BANDAR BARU BANGI, 24 Jun 2019 – HALUAN hari ini melancarkan Program Ibadah Korban HALUAN 1440 Hijrah, iaitu satu program tahunan yang dilaksanakan menjelang musim ibadah korban dan haji. Tahun ini adalah tahun ke-19 pelaksanaan program ini, semenjak dianjurkan buat julung kalinya  pada tahun 2000 dengan penglibatan hanya sebuah negara, iaitu Kemboja. 

“Pada tahun ini, lokasi sasaran pelaksanaan korban adalah sebanyak 17 lokasi dengan lingkungan harga bermula dari RM 320 sehingga RM 1,900. Lokasi-lokasi ini telah dinilai oleh sukarelawan yang dihantar sebelum ini dan dikenalpasti sebagai kumpulan sasaran yang amat memerlukan bantuan makanan. Dengan mengambil semangat ukhuwwah fil Islam (persaudaraan di dalam Islam), HALUAN mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka yang susah bukan hanya terhad di dalam negara, bahkan perlu disebarluaskan lagi selagi mana kita mampu,” jelas Encik Azhar Idris, Ketua Biro Kebajikan.

Pasca tragedi tsunami yang melanda Palu pada tahun lepas, HALUAN telah menghantar beberapa sukarelawan misi kemanusiaan untuk menggerakan  pelbagai projek bantuan pemulihan yang berterusan di sana. Maka, Palu juga disenaraikan sebagai salah sebuah lokasi baru bagi pelaksanaan Program Ibadah Korban 1440H.

Menyentuh tentang keadaan sebuah lokasi yang baru diperkenalkan pada tahun lepas, iaitu Togo – sebuah negara yang agak asing bagi kebanyakan orang dan tidak dikenali ramai. Keadaan ini menyebabkan mereka berada di dalam keadaan daif atas pelbagai faktor sosioekonomi dan politik. Di samping, cuaca yang panas menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tandus dan kekeringan sumber air. Hanya beberapa NGO antarabangsa yang telah masuk ke negara tersebut untuk menghantar bantuan makanan. Selain itu juga terdapat beberapa lokasi terpaksa digugurkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, HALUAN akan menghantar pasukan pemantau ke lokasi-lokasi sasaran korban. Para petugas bagi pasukan ini akan memastikan semua haiwan yang terlibat dalam program ini seperti lembu dan kambing memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Peranan pasukan  pemantau ini juga bagi memastikan amanah korban ini dapat dilaksanakan mengikut lokasi-lokasi yang telah ditetapkan dan dibahagikan kepada mereka yang memerlukan. Anda boleh mengikuti live update daripada sukarelawan pemantau ini di page Facebook HALUAN menjelang Hari Raya Aidiladha nanti.

Pendaftaran boleh dilakukan dengan hanya melayari laman sesawang kami, www.korban.haluan.org.my. Kini anda boleh terus membuat bayaran melalui online banking, tidak perlu lagi bersusah payah ke mesin deposit bank. Kami sediakan laluan yang mudah buat anda agar ibadah yang mulia ini dapat dilakukan mengikut kesesuaian keadaan, kadar bajet kewangan dan pilihan anda!

____
Laporan Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja 4