fbpx

Penantian Suami Menggigit Jari

Penantian Suami Menggigit Jari

Penantian Suami Menggigit Jari

SEPANG, 8 Apr 2015 – Dr Basir Towil amat terperanjat dengan berita pengeboman udara besar-besaran oleh tentera bersekutu pimpinan Arab Saudi ke atas kotaraya Sana’a di Yaman, kota gedung ilmu tempat di mana beliau dan tiga anak-anaknya pernah mendalami ilmu bahasa Arab suatu ketika dulu.

Bagaikan tidak percaya negara seaman itu boleh dikancahkan dengan peperangan saudara sengit sehingga mengorbankan ratusan jiwa setakat ini. Dr Basir pasrah membenarkan isteri tersayang Dr Nor Azian Hasnan untuk merantau ke Yaman seorang diri lebih sebulan yang lalu untuk mempelajari bahasa Arab secara intensif di Sana’a Institute of Arabic Language yang kini dikenali sebagai Yemeni Council of Languages.

“Itu hasratnya sekian lama, dan saya cuba memenuhi hajat beliau itu walaupun dengan berat hati kerana sebelum dia bertolak, sudah terdengar peperangan yang berlaku di antara puak sunni dan syiah di sana. Ia suatu calculated risk yang kami sekeluarga ambil. Hari pertama pengeboman udara berlaku, kami sudah mula berutus berita secara Whatsapp, bimbang dengan keadaan beliau di sana,” berkata Dr Basir dalam temubual bersama mediaHALUAN selepas isterinya selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau dan anak-anak mula memikirkan risiko yang ada sambil tidak mahu merencatkan hasrat pencarian ilmu isteri beliau. Dr Basir menhubungi Wisma Putra hampir setiap hari dan pergi berjumpa dengan pegawai-pegawainya yang lebih arif tentang keadaan yang berlaku di sana.

“Antara lain kami membincangkan juga kemungkinan evakuasi rakyat Malaysia di sana dan bagaimana Azian dapat menyertai rombongan tersebut jika dikerahkan. Saya dapati Wisma Putra sangat cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku. Saya faham ianya bukan suatu yang mudah merunding dan membawa pulang sebegitu ramai rakyat kita dengan selamat dan cepat sebelum apa-apa buruk terjadi,” katanya menyanjung usaha diplomatik yang telah dilakukan sehingga evakuasi itu berjaya dilaksanakan.

Beliau sudah dua kali ke Yaman, kali pertama selama enam minggu untuk mempelajari asas bahasa Arab dan kemudiannya menghantar anak-anaknya yang berumur 19, 17 dan 16 selama setahun untuk mempelajari Arab.

“Saya amat berharap keamanan akan kembali ke bumi Yaman dalam masa yang terdekat ini. Saya pun rasa nak ke sana lagi. Yaman dekat di hati kami sebab mudir di sana mengajar dengan baik dan beradab sekali. Kami sekeluarga merasakan suasana pembelajaran dan kehidupan yang sangat conducive lagi mesra. Kami merasa lega dengan pembelajaran bukan setakat secara formal di kelas tetapi juga kami dibimbing di luar semasa di masjid, kedai dan sebagainya hinggakan perbendaharaan kata kami meningkat,” ujar beliau.

Beliau berdoa agar rakyatnya terbela semula dengan keadaan politik negara itu kembali stabil serta menjadi aman makmur semula.

Laporan Bro.Y, mediaHALUAN