fbpx

Pemudi Selangor Berkongsi Dengan Masyarakat

Pemudi Selangor Berkongsi Dengan Masyarakat

Pemudi Selangor Berkongsi Dengan Masyarakat

SHAH ALAM, 10 Jun 2018 – Barisan pemudi HALUAN tidak ketinggalan mengambil peluang sempena Ramadan lepas berkongsi dan menyantuni masyarakat melalui program gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk sekitar Kampung Jalan Kebun.

Program yang dianjurkan bagi meningkatkan semangat memberi dan bersedekah di bulan Ramadan itu mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pemudi dan masyarakat sekitar.

Selain itu, program sedemikian dapat merapatkan ukhuwah dan saling bekerjasama dalam membuat kebaikan. Seramai 15 orang pemudi turun padang membantu memasak bubur lambuk pada sesi pagi dan mengagihkannya kepada penduduk sekitar, jemaah surau Ar-Rahman, Surau Al-Hijrah, Surau Kemuning Utama dan Masjid An-Naim.

“Program gotong-royong menyediakan bubur lambuk sebagai juadah berbuka untuk jamaah surau dan orang kampung ini sangat baik untuk diteruskan. Islam sendiri sangat menganjurkan kita menyediakan juadah untuk orang yang berbuka di bulan ramadan. Di samping merupakan wasilah yang baik dalam menjalinkan ikatan ukhuwah dalam kalangan pemudi Selangor, program ini juga memberi satu kepuasan saat melihat kegembiraan wajah masyarakat dan orang kampung yang menerima bubur lambuk percuma,” berkata Ketua Unit Pemudi Biro HALUANITA Selangor, Dr Nusaibah Mutmainnah Mohamad Azmi.

“Kita amat berharap agar amal-amal kecil sebegini diterima Allah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. mengenai besarnya fadhilat memberi makan orang yang berbuka di bulan ramadan. Harapan saya agar program seperti ini dapat diteruskan saban tahun dengan melibatkan lebih ramai golongan pemudi daripada kalangan masyarakat sekitar dan orang kampung,” ujarnya lagi. .


Laporan Unit Pemudi Biro HALUANITA Selangor

Bubur Lambuk yang telah siap dimasak
Gotong royong menyediakan bahan masakan
Persiapan bahan masakan
Persiapan memasak
Proses memasak bubur lambuk