fbpx

Pemuda HALUAN Johor Dilatih Berkayak

Pemuda HALUAN Johor Dilatih Berkayak

Pemuda HALUAN Johor Dilatih Berkayak

MERSING, 20 Okt 2015 – Biro Pemuda HALUAN Johor dengan kerjasama Koperasi An-Nur Johor Berhad telah mengadakan Kem Eksplorasi Pemuda HALUAN Johor pada pertengahan bulan yang lalu di Pantai Tunjuk Laut, Tanjung Leman.

Kem yang berlangsung selama dua hari dua malam ini, telah menghimpunkan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pemuda dan relawan HALUAN Johor yang begitu teruja mengikuti setiap aktiviti yang disusun oleh pihak penganjur. Tentunya, kem sebegini tertumpu kepada aktiviti outdoor, lasak dan mencabar. Ia menjadi kegilaan anak-anak muda yang sangat cenderung kepada aktiviti-aktiviti yang berbentuk kemahiran serta menguji ketahanan daya fizikal mereka.

Atur cara kem dimulai dengan sesi ice breaking yang bertujuan memecahkan tembok perhubungan antara peserta dan seterusnya mencetuskan suasana perkenalan yang mesra dan hangat. Pada sebelah malamnya, majlis perasmian ringkas telah disempurnakan oleh Yang Dipertua HALUAN Johor, Prof Dr Abdul Hakim Mohamed. Beliau menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti bersifat out door ini sangat penting bagi generasi muda bagi melahirkan anak-anak muda yang sihat tubuhnya serta melengkapi diri dengan pelbagai kemahiran yang relevan mengikut arus semasa peredaran zaman.

Kemudian, para peserta diberikan masa untuk mengumpul daya serta berehat secukupnya kerana pada keesokannya slot utama kem menanti untuk dilalui dengan penuh komitmen.

Fokus kem kali ini tertumpu kepada aktiviti pengendalian kayak secara solo dipersisiran pantai. Berpandukan tunjuk ajar jurulatih professional, para peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran bermula dengan water confident, mengendalikan kayak, water rafting dan banyak lagi. Tempoh pembelajaran selama enam jam ini melibatkan teori dan amali sekali gus benar-benar memberikan satu pengamalan yang baharu kepada semua peserta.

Menariknya, para peserta ditunjuk ajar secara praktikal untuk kemahiran ini secara pertandingan mendayung kayak berkumpul. Hal ini, memberikan semangat bersaing sesama peserta untuk melakukan yang terbaik di samping mengeratkan hubungan kemesraan antara satu dengan yang lain.

Setelah penat seharian, “mendayung” di persisiran pantai para peserta berehat seketika dan bersiap untuk menunaikan solat Maghrib serta Isyak. Kemudian, pada sebelah malamnya pula slot War Game menguji daya mental dan fizikal para peserta. Permainan ini melatih gerak kerja berpasukan, kebijaksanaan merangka strategik serta kekuatan kerjasama setiap peserta untuk melunaskan tugasan yang telah diamanahkan.

Biar pun, kepenatan serta keletihan “berperang” jelas terpancar kepuasan di wajah mereka kerana berjaya melalui slot yang mencabar ini dengan sempurna. Salah seorang peserta yang merupakan seorang guru, En Raman yang nyatakan bahawa, “Program seperti ini patut kerap dijalankan bagi memberi pendedahan kepada pemuda dan relawan HALUAN dengan aktiviti luar. Banyak pelajaran yang dapat kita ambil dalam program ini.”

Akhir sekali, satu sesi perkongsian bersama ahli-ahli HALUAN yang senior bersama para pemuda HALUAN diadakan bagi mewujudkan perkongsian pengalaman berkisar kehidupan, kerja-kerja amal serta gerak kerja berorganisasi. Terlalu banyak pengalaman yang menarik dikongsi antara peserta dan pelbagai soal jawab yang terbuka membuatkan sesi ini hidup serta menyuburkan talian persaudaraan sesama muslim.


Laporan oleh Suheil Rabbani, Ketua Biro Pemuda HALUAN Johor