fbpx

Pembebasan Damsyik: Tanda Hampir kepada Pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang Diberkati

Pembebasan Damsyik: Tanda Hampir kepada Pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang Diberkati

Pembebasan Damsyik: Tanda Hampir kepada Pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang Diberkati

Perubahan pantas berlaku pada peringkat tempatan, serantau, dan antarabangsa selama empat belas bulan yang lalu, terutamanya selepas Tufan Al-Aqsa (7 Oktober 2023) dan pembebasan Damsyik (8 Disember 2024), yang berlaku pada ulang tahun ke-1430 pembukaan Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. ke atas Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati. Di samping itu, usaha persiapan yang bersungguh-sungguh untuk melibatkan umat Islam dalam melaksanakan gerak kerja strategik secara serius, sistematik, dan berterusan dalam bidang yang sering dilupakan, iaitu persediaan ilmu untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang akan datang, semakin meningkat. Semua ini menambah keyakinan saya bahawa kita akan memasuki Masjid Al-Aqsa sebagaimana Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. memasukinya bersama para sahabat r.a. Dan hendaklah mereka masuk ke dalam masjid sebagaimana mereka memasukinya pada kali pertama” (Surah Al-Isra: 7).

Pembebasan Aleppo, diikuti dengan pembebasan Hama beberapa hari kemudian pada 4 Jamadil Akhir 1446 Hijriah, bersamaan 5 Disember 2024, pada ulang tahun ke-1430 pembukaan Umar ke atas Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati. Selepas itu, pembebasan Homs dan Daraa serta bandar-bandar Syria yang lain, membawa kepada peristiwa kemuncaknya, iaitu pembebasan Damsyik pada hari Sabtu, 7 Jamadil Akhir 1446 Hijriah / 8 Disember 2024, yang berlaku pada salah satu hari yang diberkati oleh Allah SWT. Tidak syak lagi, semua pencapaian yang berlaku dalam tempoh 11 hari yang diberkati ini bukanlah kebetulan, tetapi takdir yang ditulis, hasil persediaan dan merebut peluang yang ada. Ianya juga petanda yang diberkati bahawa pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati sudah semakin dekat.

Peristiwa pembebasan Syria ini adalah proses menjatuhkan rejim Al-Asad, yang merupakan rejim kuku besi, penindasan, perhambaan, dan pengabdian di Syria. Dalam istilah yang ringkas, ia menandakan berakhirnya pengaruh Iran di Syria dan permulaan kehancuran perancangan strategik Iran di rantau Arab. Negara Syria, atas pelbagai faktor, terutamanya kedudukannya yang strategik dari segi geopolitik, menjadikannya sasaran utama bagi strategi projek perluasan wilayah Iran di rantau Arab. Ini dinyatakan oleh banyak ‘pembuat keputusan’ dan orang yang dekat dengan ‘pembuat keputusan’ di Iran. Sebagai contoh, Mehdi Taeb yang mengetuai pusat “Ammar Strategi” untuk memerangi ‘perang lembut’ yang ditujukan terhadap Iran – yang ditubuhkan pada tahun 2009 – dan pengasasnya adalah penyokong pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khamenei. Beliau berkata lebih daripada satu dekad yang lalu (14 Februari 2013): “Syria adalah wilayah ke-35 bagi Iran dan merupakan wilayah strategik bagi kami. Jika musuh menyerang kami dengan tujuan untuk menduduki Syria atau Khuzestan (wilayah Ahwaz), adalah lebih baik bagi kami untuk mempertahankan Syria.” Beliau menambah: “Jika kami kehilangan Syria, kami tidak boleh mempertahankan Tehran, tetapi jika kami kehilangan wilayah Khuzestan, kami boleh mendapatkannya semula selagi kami mempertahankan Syria.” Beliau menyimpulkan bahawa: “Jika kami mempertahankan Syria, kami akan dapat mendapatkan semula Khuzestan, tetapi jika kami kehilangan Syria, kami tidak akan dapat mempertahankan Tehran.

Pemahaman ini memerlukan kuasa Islam yang aktif di rantau Arab – terutamanya gerakan penentangan Islam Palestin – untuk menilai semula kedudukan mereka terhadap Iran.

Saya tidak ragu-ragu, bahawa pembebasan negara Syria (negara terbesar di Syam) mendahului pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati. Ini adalah keyakinan saya, bahkan berdasarkan pemahaman dan pengetahuan saya, menurut teori geopolitik baru, “Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis”, dan kajian tentang pergerakan sejarah. Saya telah menjelaskannya dalam buku saya Perancangan Strategik untuk Pembebasan Masjid Al-Aqsa yang Akan Datang, dan saya meringkaskannya dalam artikel ini.

Pertama: Teori Geopolitik Baharu

Teori geopolitik baharu “Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis” (yang pertama kali diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2005) menunjukkan bahawa terdapat empat negara utama dan penting di rantau ini yang akan memainkan peranan utama dalam pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang akan datang serta kebangkitan yang akan datang: Mesir, Syria (dan baki seluruh Syam), Iraq, dan Turki, selain Cyprus dan Hijaz.

Untuk memanjangkan usia “negara penyangga” (buffer state – Israel) di rantau ini dan menangguhkan pembebasan tanah suci serta permulaan kebangkitan yang akan datang, perancangan telah dibuat untuk memusnahkan empat negara utama ini. Syria telah mengalami pemerintahan keluarga Asad selama 53 tahun. Sepanjang pemerintahan ini, rakyat Syria menghadapi pembunuhan (termasuk pembunuhan beramai-ramai), penangkapan, pemerkosaan, penahanan, penindasan, penjinakan, pengekangan, pengasingan, dan peminggiran. Keperibadian Asad (ayah dan anak), serta hubungan mereka di peringkat tempatan, serantau, dan antarabangsa, membuat mereka memilih untuk bermain di atas isu penentangan. Sebagai balasannya, mereka mempelbagaikan penghinaan terhadap rakyat Syria. Persamaan ini (dalam dan luar) menggembirakan “negara penyangga”, terutamanya selepas termeterainya perjanjian dengan Amerika Syarikat, yang dimahkotai dengan lawatan Presiden Amerika pertama, Richard Nixon, dan Menteri Luar Zionis, Henry Kissinger, ke Damsyik pada Jun 1974. Perjanjian ini membolehkan mereka (Asad) dan keluarga mereka kekal berkuasa di Syria untuk tempoh yang lama, dengan syarat mereka hidup bersama “negara penyangga” (dengan cara yang kelihatan sebaliknya) dan melindunginya dari sisi Syria. Rejim ini menjadi sebahagian daripada “tali Arab” yang merupakan sebahagian daripada “tali manusia”, yang melindungi negara musuh-musuh Zionis dan memberikannya sumber kehidupan serta memanjangkan usia rejim Zionis keberadaan di tanah kita yang diberkati.

Peristiwa ini menjelaskan kemelut “revolusi Syria” yang berlarutan, disebabkan oleh ketidakrelaan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah untuk menyelesaikan masalah ini. Kerana mereka takut negara penyangga mereka, “Israel”, akan terjejas disebabkan kejatuhan rejim Asad (anak) di Syria. Padahal, sebenarnya mereka melindungi projek penjajahan ini, sejak rejim Asad berkuasa di Syria. Akibatnya, mereka tidak berusaha secara praktikal untuk menjatuhkan rejim Asad, tetapi telah bekerja selama 13 tahun terakhir untuk memanjangkan usianya dan menghasilkannya semula.

Apa yang diinginkan oleh kuasa antarabangsa, serantau, dan tempatan dalam mengurus dan mengarahkan apa yang berlaku di rantau Arab kita adalah untuk menjamin kepentingan strategik penjajahan Barat di rantau kita, terutamanya melindungi “negara penyangga” dan bekerja untuk memanjangkan usianya di tanah kita yang diberkati dan suci. Dalam satu perkataan, apa yang berlaku ini membuktikan semuanya untuk kepentingan “negara penyangga”.

Dalam tempoh 13 tahun lalu, Syria telah dijajah melalui ketenteraan oleh Amerika, Iran, dan Rusia. Rejim Iran telah melakukan jenayah terhadap isu tanah suci kita yang diberkati, apabila Iran berdiri di belakang rejim pembunuh Bashar al-Assad di Syria, dan memanjangkan hayat rejim ini dengan memberikannya segala sumber keperluan hidup. Sokongan tanpa had Iran kepada rejim Asad inilah yang memanjangkan usia rejim penjenayah ini, yang seterusnya memanjangkan usia “negara penyangga” (Zionis) yang dicipta oleh negara-negara penjajah Barat di tengah rantau Arab dan di tanah suci dan diberkati, dari sudut yang lain, menghalang Syria daripada memainkan peranan utamanya dalam pembebasan sebenar Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang akan datang.

Sebaliknya, “negara penyangga” berada dalam ketakutan terhadap kebangkitan negara Islam yang kuat yang berupaya menyatukan umat Islam dan membebaskan tanah suci mereka. Justeru, dalam teori “Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis”, negara yang menguasai Syria, iaitu negara terbesar di Syam, adalah negara yang akan membuka jalan bagi pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati, dan ini telah terbukti dalam sejarah.

Walaupun kekalahan Arab dan Muslim pada abad ke-20, umat Islam boleh mengembalikan kegemilangannya dan mempunyai kuasa besar di peringkat antarabangsa dengan mengambil semula dan memerintah Baitul Maqdis. Pemahaman yang baik tentang teori geopolitik baru ini, Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis, akan mempengaruhi strategi menangani “negara penyangga” yang ditanam di tengah rantau Arab kita dan Timur Islam kita, serta mewujudkan kebangkitan kuasa baru untuk menghalang perluasan Zionis di rantau ini. Teori ini menetapkan strategi untuk meramalkan dan membina masa depan, seterusnya mempersiapkan kita ke arah pembebasan Baitul Maqdis yang akan datang (kali ketiga), serta memutuskan bahawa selagi Masjid Al-Aqsa dijajah dan dirampas, umat Islam dan semua tanah Muslim secara umum, dan rantau Arab secara khusus, adalah dijajah dan dirampas. Kita wajib bekerja dan berusaha untuk membebaskannya terlebih dahulu.

Teori ini juga menetapkan bahawa keperluan untuk negara-negara utama—Mesir, Syria, Iraq, Turki, dan Hijaz—memainkan peranan dalam pembebasan, dan menjelaskan bahawa pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati bergantung kepada kejatuhan rejim penindasan, perhambaan, kuku besi, dan ketundukan (kepada kuasa lain), terutamanya negara yang mengelilingi tanah suci (Baitul Maqdis), iaitu negara Mesir dan Syria. Dalam kata lain, perlu membebaskan Mesir, Hijaz, dan Jordan dari penjajahan Amerika dan pengaruhnya, serta membebaskan Syria dan Iraq dari penjajahan Iran dan pengaruhnya. Pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati tidak boleh dicapai sehingga Syria dibebaskan dari kuasa asing dan pengaruh yang menjajahnya, dan Mesir dibebaskan dari penjajahan Barat dan pengaruhnya.

Teori geopolitik baru “Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis” dan kajian pergerakan sejarah mendedahkan kepada kita bahawa hakikat geopolitik itu penting, serta hubungan strategik yang erat antara Mesir dan wilayah Syam, yang telah terbentuk dan masih membentuk pergerakan serta perkembangan sejarah di rantau ini. Keperluan kepada kesejahteraan dan keselamatan Mesir dan Syam secara berterusan adalah satu perkara penting dan tak dapat dipisahkan, dan nasib kedua-dua negara ini saling berkait, terutama sekali apabila diketahui bahawa ancaman terhadap salah satu daripada mereka (Mesir dan Syam) sering kali datang dari yang lain (Mesir, Syam, dan apa yang berkait dengan keduanya).

Pertempuran penting Mesir sering berlaku di tanah Syam, dan sebaliknya yang berlaku juga benar. Oleh itu, mempertahankan salah satu daripada mereka (Mesir dan Syam) bermula di pihak yang lain (Mesir dan Syam), kerana setiap penguasaan terhadap salah satu (Mesir atau Syam) mendorong pihak yang menguasai (salah satu Mesir atau Syam) untuk menguasai yang lain.

Ini memerlukan kuasa Islam yang aktif di rantau Arab—terutamanya kuasa aktif di Syria (dan baki wilayah Syam yang lain) serta Mesir—untuk mengkaji semula sikap mereka berdasarkan pemahaman dan kesedaran tentang hakikat ini.

Lingkaran kedua teori geopolitik baru “Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis” menjelaskan formula keseimbangan seperti berikut: Untuk menjamin kewujudan, kekuatan, dan kestabilannya sebagai kuasa yang menduduki Baitul Maqdis, kuasa asing yang menduduki Baitul Maqdis berusaha untuk mencapai salah satu daripada tiga pilihan yang tersedia:

  1. Penjajahan: Menjajah Mesir dan Syam.
  2. Kawalan: Memperluaskan pengaruh mereka ke Mesir dan Syam serta cuba mengawal kedua-duanya.
  3. Pemusnahan: Memusnahkan kedua-duanya.

Ini bermaksud bahawa Mesir dan Syam adalah penting untuk menstabilkan pemerintahan di Baitul Maqdis, dan tanpa keduanya (Mesir dan Syam), kuasa yang menguasai Baitul Maqdis kekal lemah dan terdedah kepada kehancuran. Pilihan ini boleh meluas dari lingkaran kedua ke lingkaran ketiga, seperti yang berlaku semasa penjajahan Bizantium, penjajahan Salib, dan penjajahan Zionis semasa di Baitul Maqdis.

Tambahan pula, berdasarkan konteks lingkaran kedua teori geopolitik baru “Teori Lingkaran Keberkatan untuk Baitul Maqdis”, seseorang dapat menegaskan bahawa pembebasan Baitul Maqdis dari penjajahan Zionis semasa tidak akan berlaku melainkan penduduk rantau ini memahami dan menyedari hakikat ini, serta bekerja untuk membebaskan Mesir dan Syria serta mencapai perpaduan di antara kedua-dua belah lingkaran (secara politik dan ketenteraan).

Dengan kata lain yang lebih jelas, langkah strategi asas dan penting atau titik permulaan untuk menghapuskan mana-mana kuasa asing dari rantau ini dan mengembalikan semula Baitul Maqdis adalah:

  1. Memahami dan menyedari hakikat ini.
  2. Bekerja dan berusaha untuk membebaskan Mesir dan wilayah Syam dari penjajahan atau perhambaan, penindasan, kuku besi, dan ketundukan kepada kuasa penjajah asing.
  3. Mewujudkan perpaduan sebenar antara negara-negara dalam lingkaran kedua: Mesir dan wilayah Syam, serta membina kerjasama strategik dengan Cyprus.

Oleh demikian itu, jika kita benar-benar ingin membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa, dan kita serius dalam hal ini, kita perlu bekerja sekuat mungkin, dan dalam semua arah, untuk menjayakan revolusi di Syria dan revolusi di Mesir secara khusus.

Kedua: Memahami dan Menyedari Pergerakan dan Perkembangan Sejarah

  1. Pembukaan Damsyik Sebelum Pembukaan Baitul Maqdis oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a.

Dalam strategi pembukaan Nabi SAW untuk tanah Baitul Maqdis—yang akhirnya disempurnakan dan dibantu oleh Allah melalui tangan Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. — Damsyik dibuka dua tahun sebelum pembukaan Baitul Maqdis. Tepatnya, dalam tempoh kurang daripada dua tahun (22 bulan). Pembukaan Damsyik berlaku pada 15 Rejab 14 Hijriah / 5 September 635 Masihi, diikuti dengan pembukaan Baitul Maqdis pada 4 Jamadil Akhir 16 Hijriah / 4 Julai 637. Antara kedua-dua peristiwa tersebut, terdapat pertempuran besar iaitu Perang Yarmouk pada 5 Rejab 15 Hijriah / 12 Ogos 636 Masihi.

  1. Pembukaan Kota Damsyik Sebelum Pembukaan Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayyubi r.a.

Salahuddin Al-Ayyubi selama lima tahun (1169M – 1174M) berusaha untuk menghapuskan Dinasti Fatimiyah—yang bersekongkol dan bekerjasama dengan tentera Salib. Beliau berjaya menggagalkan misi kudeta terhadapnya serta menghapuskan para pemberontak, terutamanya selepas kejatuhan Dinasti Fatimiyah. Beliau mengatur strategi di Mesir dan memperkukuhkan pemerintahannya di bawah pemerintahan Nuruddin Zanki sehingga beliau menguasai sepenuhnya Mesir. Selepas kejayaan strategik ini, beliau menuju ke wilayah Syam pada tahun 1174M, dan menumpukan usahanya selama 13 tahun berikutnya di Syam, sejak beliau keluar dari Mesir (1174M) hingga pembukaan Baitul Maqdis pada tahun 1187 Masihi.

Ini membawa kita kepada satu titik yang sangat penting yang harus diberi perhatian. Selepas kematian Nuruddin Zanki pada 15 Mei 1174, walaupun Salahuddin terlibat dalam beberapa pertempuran dengan tentera Salib, beliau lebih menumpukan perhatian kepada menstabilkan dalamannya. Meskipun pertempuran tersebut tidak besar, beliau menumpukan kekuatannya untuk melawan para pemimpin Muslim, terutamanya mereka yang bersekongkol atau bekerjasama dengan penjajah Frank, serta kumpulan Hashshashin selama 11 setengah tahun (1174M – 1186M). Lebih tepat lagi, dari 29 Oktober 1174 hingga minggu pertama bulan Mac 1186.

Sementara itu, pertempuran beliau dengan tentera Frank—setelah mencapai persepakatan yang berlaku antara negara-negara Islam—berlangsung selama lima tahun setengah, yang bermula pada April 1187M hingga September 1192M, dari sebelum pembebasan sebenar Baitul Maqdis hingga akhir Perang Salib Ketiga.

Oleh itu, setelah kekuasaan beliau stabil di wilayah Syam dan memperkukuhkan perpaduan yang telah dibina oleh Nuruddin Zanki antara Mesir dan wilayah Syam, kemenangan besar terhadap tentera Frank berlaku dalam Pertempuran Hittin pada 4 Julai 1187, yang diikuti dengan pembebasan Masjid Al-Aqsa yang diberkati pada 2 Oktober 1187.

Ini menunjukkan bahawa Salahuddin menumpukan usaha utamanya pada membersihkan dan memperkuatkan barisan dalaman selama 16 tahun setengah: lima tahun di Mesir (1169M – 1174M) dan 11 tahun setengah di wilayah Syam (1174M – 1186M), sebelum beralih kepada perang melawan tentera Frank yang hanya memakan masa lima setengah tahun (1187M – 1192M).

Dengan kata lain, pertempuran beliau melawan tentera Salib hanya mengambil suku masa yang dihabiskan untuk usaha ketenteraan melawan pemberontak di Mesir dan barisan kepemimpinan Zanki serta golongan Hashshashin di wilayah Syam. Ini bermakna bahawa masa yang dihabiskan oleh Salahuddin Al-Ayyubi dalam melawan penjaga dan wakil projek penjajahan Salib oleh Barat di Mesir dan wilayah Syam serta Iraq (tiga perempat) adalah lebih banyak daripada masa yang dihabiskan untuk melawan tentera Frank (suku). Ini menunjukkan bahawa Salahuddin Al-Ayyubi memahami bahawa keberlangsungan tentera Frank dalam menjajah tanah adalah berkait rapat dengan pengaruh Frank dalam kalangan pemerintah Muslim, kerana mereka merupakan sebahagian daripada masalah, kerana menjalankan tugas mereka menjaga projek penjajahan tentera Salib oleh Barat dan memanjangkan hayat penjajah dengan memberikannya segala sumber keperluan hidup.

Intipati dari Intipati

Dari sudut ilmiah dan ilmu pengetahuan, terutamanya melalui kajian pergerakan dan perkembangan sejarah serta geopolitik, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa bergantung kepada kejatuhan dan penghapusan rejim-rejim diktator, penindas, korup, dan tunduk (kepada kuasa penjajah asing) di negara-negara utama, khususnya di negara-negara yang mengelilingi tanah suci dan diberkati. Ini termasuk rejim kudeta tentera di Mesir, rejim keluarga Asad di Syria, dan rejim cucu Syarif Hussein bin Ali di Emirat Jordan Timur, serta pemulihan kebebasan rakyat Arab yang telah dirampas selama beberapa dekad di negara-negara tersebut.

Ini bermakna bahawa pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati tidak akan tercapai sehingga rakyat di negara-negara yang mengelilingi tanah suci dan diberkati menuntut dan mendapatkan kembali kebebasan mereka yang telah dirampas oleh rejim-rejim diktator, penindas, korup, dan tunduk (kepada kuasa penjajah asing) yang telah memerintah negara-negara ini selama beberapa dekad. Dalam satu perkataan, rejim-rejim tersebut mesti dihapuskan.

Usaha untuk membebaskan negara-negara jiran dari rejim-rejim diktator, penindas, kuku besi, dan tunduk kepada kuasa asing (lingkaran kedua dan ketiga) adalah langkah-langkah yang perlu untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa yang akan datang, dengan penekanan khusus pada: membebaskan Syria dari penjajahan Iran, Rusia, dan Amerika serta pengaruh mereka, dan menjatuhkan penjenayah Bashar al-Asad dan rejimnya.

Janji kita, insyaAllah, adalah untuk solat pembukaan dan pembebasan di Masjid Al-Aqsa yang dibebaskan, insyaAllah: “Bagi Allah urusan sebelum dan sesudahnya. Dan pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman, dengan pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang Dia kehendaki, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Janji Allah, Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Mereka mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat mereka lalai.” (Surah Ar-Rum: 4-7).


Artikel ini merupakan pandangan penulis asal, Prof. Dr. Abdul Fattah Al-Awaisi. Beliau adalah seorang Profesor Hubungan Antarabangsa dan Pengasas Projek Tamadun Ilmu Global untuk Baitul Maqdis. Artikel ini ditulis pada 8 Jamadil Akhir 1446 Hijriah / 9 Disember 2024.

Diterjemah oleh Abdul Fattah Mustafar.