fbpx

Pelarian Syria Tekad Kembali Bebaskan Tanah air

Pelarian Syria Tekad Kembali Bebaskan Tanah air

Pelarian Syria Tekad Kembali Bebaskan Tanah air

ANTAKYA, TURKI, 14 Jun 2012 — “Kalau kami terpaksa masuk kembali ke Syria dan syahid, kami redha,” luah seorang rakyat Syria yang kakinya masih berbalut akibat terkena peluru.

Beliau adalah salah seorang daripada rakyat Syria yang terpaksa lari mendapatkan rawatan dan bantuan di sempadan Turki akibat serangan dan kekejaman rejim pemerintah Syria sendiri pimpinan Presiden Bashar Assad.

Dalam keadaan tercedera begitu, beliau masih bersemangat membakar untuk kembali ke tanahairnya dan meneruskan perjuangan membebaskan bumi Syria daripada rejim Bashar. Pemuda yang berumur sekitar 20an tersebut baru saja mengalami kecederaan tujuh hari lalu. Alhamdulillah beliau berjaya menjalani pembedahan dan kini berada dalam jagaan di rumah rehablitasi Insani Yardim Vakfi (IHH) di Antakya.

Walaupun beliau tidak menyertai Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army), beliau secara sukarela turut berjuang secara individu. “Mana mungkin saya hanya melihat sahaja kerosakan yang dilakukan rejim tanpa melakukan apa-apa tindak balas. Hak sebagai rakyat dan hak untuk hidup dalam keadaan aman dan bebas perlu dipertahankan,” katanya dengan penuh semangat.

Empat orang relawan HALUAN yang terdiri daripada dua orang doktor dan dua orang lagi pembantu paramedik yang sedang menjalankan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2) di wilayah sempadan itu telah berpeluang mendengar pelbagai luahan mangsa-mangsa kerakusan dan kezaliman rejim Bashar.

Kami juga sempat berbual dengan beberapa orang yang tercedera akibat serangan tentera rejim Bashar. Ada di antara mereka yang tercedera di kaki, muka dan tangan. Namun dari raut wajah mereka, tidak ada langsung sebarang kekecewaan. Yang jelas, raut wajah mereka jelas membayangkan perasaan tidak sabar untuk pulang berjuang dan tidak lagi takut kepada kematian. Bagi mangsa-mangsa kekejaman tentera Bashar ini, mereka ada peluang yang luas untuk mati dalam keadaan mulia.

Menurut pemuda itu lagi, taktik perang saudara yang diatur oleh rejim Bashar ini sangat jijik sekali. “Dalam tentera rejim Bashar ada kedua-dua golongan Muslim Sunni dan juga pengikut Syiah. Bila berlaku pertembungan dengan rakyat, tentera dari kalangan Muslim Sunni dipaksa berada di barisan hadapan dan kemudian diarah menembak rakyat, manakala tentera pengikut ajaran Syiah Alawi berada di belakang mereka. Sekiranya tentera di hadapan enggan menembak rakyat, tentera dari kalangan Syiah yang berada di belakang akan menembak tentera Muslim Sunni tadi,” cerita beliau.

Mengapa begitu? Mereka sengaja menyusun strategi sebegini agar masyarakat melihat bahawa golongan Muslim Sunni dari kalangan tentera bertembung dengan rakyat Syria yang juga dari golongan Muslim Sunni. “Bayangkan betapa kejamnya tentera Bashar ini. Inilah di antara tipu helah yang dirancang oleh rejim Bashar,” sambung beliau. Setelah tentera di barisan hadapan membunuh orang awam, tentera yang berada di barisan belakang meneruskan kemaraan untuk mencuri harta benda dan melakukan perkara onar ke atas wanita-wanita dan anak-anak perempuan Syria dengan cara menculik, menghina, menyiksa, merogol dan membunuh mereka.

Menurutnya lagi, beliau ada seorang rakan yang tercedera dan dimasukkan ke sebuah hospital di Syria. Namun hospital tersebut dikawal penuh oleh tentera Bashar. Ketika masuk ke hospital, kawannya yang cedera itu masih hidup, tetapi tidak lama kemudian beliau dibawa keluar dan disahkan mati, sedangkan kecedaraan beliau tidaklah begitu teruk.

“Inilah hakikat yang berlaku di kebanyakan hospital-hospital di Syria. Dan mereka yang tercedera tiada pilihan lain kecuali mengharapkan bantuan luar untuk mendapatkan rawatan,” sambung pemuda itu. Oleh itu, mereka terpaksa memasuki Turki untuk mendapatkan pertolongan rawatan di pusat rawatan di kem-kem pelarian. Bagi mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan yang teruk, mereka akan dirawat di hospital-hospital kerajaan Turki.

Mendengar kisah kesengsaraan dan perjuangan yang terpaksa mereka lalui membuatkan kami sebak. Masih terlalu banyak kerja yang perlu kita lakukan untuk membebaskan manusia dari tipudaya dunia dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita masih lena diulik keselesaan dan kemewahan yang membuatkan jiwa kita sakit dan menjadi malas untuk patuh kepada Allah SWT.

Semoga perkongsian tentang keperitan hidup mangsa-mangsa kekejaman rejim Bashar ini dapat meningkatkan lagi keinginan kita untuk terus berakhlak, mendidik dan berbakti setiap ketika.

Relawan HALUAN akan terus bekerjasama dengan pasukan relawan IHH Turki untuk menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas lain dan juga rawatan perubatan kepada para pelarian di sini. Orang ramai yang ingin turut membantu mangsa-mangsa kezaliman di Syria boleh menyalurkan bantuan melalui akaun khusus untuk misi kemanusiaan iaitu:

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad

Laporan Afiq Fawwaz Mohd Salleh, relawan MBKS2 HALUAN yang sedang membantu pelarian Syria di Antakya, sempadan Turki-Syria.