fbpx

Pelarian Rohingya Hanya Mampu Berteduh Dalam Khemah Jerami

Pelarian Rohingya Hanya Mampu Berteduh Dalam Khemah Jerami

Pelarian Rohingya Hanya Mampu Berteduh Dalam Khemah Jerami

SITTWE, MYANMAR, 29 Dis 2012 — Puluhan ribu pelarian Rohingya di Sitamanggy hanya mampu menjadikan khemah jerami sebagai rumah tempat mereka berteduh dari panas dan hujan. Tidak terbayangkan bagaimana mereka boleh bertahan apabila hujan lebat dan ribut taufan melanda.

Demikianlah pemandangan menyedihkan yang dilihat oleh relawan HALUAN ketika menyantuni pelarian Rohingya di sekitar ibukota wilayah bergolak Rakhine (Arakan) di sini. Sebahagian daripada khemah-khemah itu dilitupi dengan plastik bagi mengelak daripada air hujan. Namun, sebahagian besar yang lain terpaksa hidup terdedah kepada kebasahan hujan.

Dua hari sebelumnya pasukan Misi Kemanusiaan Rohingya ini bersama NGO Indonesia PKPU dan sebuah NGO tempatan dari Yangoon telah menziarahi beberapa buah penempatan Rohingya di sekitar Sittwe bagi mengagih bantuan keperluan asas. “Memang keadaan hidup mereka terlalu menyedihkan. Kem pelarian di sini mungkin seumpama luasnya kem pelarian Somalia di Dadaab, dan masyarakat Rohingya mungkin terpaksa hidup lama sebagai pelarian di negara sendiri sepertimana di Dadaab juga,” kata ketua misi Abdul Halim Khudri. “Dari kalangan mereka ini, ada yang pernah memiliki perniagaan dan juga menjadi ilmuan yang disegani, tetapi segalanya telah musnah akibat penindasan dan kebencian kaum yang berterusan sejak puluhan tahun lalu,” sambung beliau.

Walaupun pasukan misi kemanusiaan ini memasuki wilayah Rakhine secara sah dan memenuhi semua prosedur ketat kerajaan Myanmar, kehadiran mereka tetap tidak disenangi oleh masyarakat bukan Rohingya. Alhamdulillah pengalaman PKPU dan NGO tempatan banyak membantu relawan HALUAN menangani keadaan ini, kerana berlaku banyak insiden NGO antarabangsa dipaksa keluar dari wilayah tersebut.

Abd Halim menambah bahawa sebahagian daripada sumbangan rakyat Malaysia untuk membina rumah penginapan, telaga air bersih dan kemudahan tandas telah disampaikan melalui wakil NGO tempatan. Sebahagian lagi akan diserahkan apabila semua prasarana tersebut siap kelak. “Bayangkan, puluhan ribu pelarian di kem-kem ini memerlukan tempat penginapan yang seperti yang kita rancang ini. Jadi, dengan jumlah mereka yang sangat ramai, bantuan yang mampu HALUAN salurkan ini hanyalah sekelumit sahaja,” terang beliau.

Setelah dibenarkan menziarah dan mengagih bantuan selama dua hari, semua NGO terbabit kini tidak lagi dibenarkan memasuki mana-mana kem pelarian Rohingya. “Malahan kami diminta supaya menyampaikan bantuan kepada penduduk tempatan yang bukannya pelarian,” jelas Abd Halim. “Jika tidak, kami tidak dibenarkan langsung untuk membawa masuk bantuan ke kem-kem pelarian Rohingya.”

Pasukan relawan HALUAN akan bertolak ke Yangoon pada 31 Disember sebelum pulang ke tanahair. “InsyaAllah kami akan mendapatkan kebenaran untuk masuk ke kem pelarian Rohingya semula sebelum bertolak untuk mendapatkan maklumat lanjut, gambar-gambar dan bertemu ramah dengan mereka di sana,” kata Abd Halim.

Semoga Allah memberi kekuatan dan keselamatan kepada seluruh pasukan misi bantuan ini. Sumbangan anda boleh diteruskan melalui “Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN” di Maybank 5622 6350 2611.


Laporan petugas MediaHALUAN, Umar Ismail dari Sittwe, Myanmar.