fbpx

Pelarian Rohingya Dapat Khidmat Kesihatan Percuma

Pelarian Rohingya Dapat Khidmat Kesihatan Percuma

Pelarian Rohingya Dapat Khidmat Kesihatan Percuma

SRI KEMBANGAN, 27 Ogos 2017 – Seramai 106 orang warga Rohingya dari kawasan Sri Kembangan, Selangor, telah disantuni oleh HALUAN yang menjalankan pemeriksaan dan rawatan kesihatan baru-baru ini.

Program kesihatan itu telah dilaksanakan oleh Biro Misi Kemanusiaan dengan kerjasama Biro Kesihatan HALUAN. Seramai 14 orang sukarelawan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan ahli farmasi HALUAN telah turun menaburkan bakti. Turut serta dalam program tersebut adalah tiga orang staf daripada Yayasan NAMA, sebuah NGO yang bekerjasama dengan HALUAN dalam projek komuniti pemulihan Rohingya.

Program kesihatan tersebut membantu masyarakat pelarian Rohingya mendapatkan rawatan awal perubatan sebelum mendapatkan rawatan susulan atau rujukan di klinik atau hospital yang berhampiran.

Masyarakat pelarian Rohingya yang kini jumlahnya tidak kurang daripada 80,000 orang di Malaysia, amat memerlukan bantuan daripada masyarakat awam untuk menyara diri dan ahli keluarga daripada aspek ekonomi, pendidikan dan juga penjagaan kesihatan. Program HALUAN ini adalah salah satu inisiatif dan usaha dalam memberikan bantuan secara sistematik kepada pelarian Rohingya secara percuma. Ia juga adalah sebagai satu komponen kepada satu program pendidikan dan sosiobudaya komuniti Rohingya yang sedang dilaksanakan oleh HALUAN dengan kerjasama Yayasan NAMA.

Sehubungan itu, HALUAN menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia turut sama berganding bahu membantu usaha ini dengan menghulurkan sumbangan tenaga dan dana bagi memastikan kelangsungan projek membantu komuniti pelarian perang Rohingya di Malaysia.

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan terus ke akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Rohingya Community Educare Center] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan HALUAN