fbpx

Pelajar Mendapat Pendedahan Awal Aktiviti Dakwah

Pelajar Mendapat Pendedahan Awal Aktiviti Dakwah

Pelajar Mendapat Pendedahan Awal Aktiviti Dakwah

SHAH ALAM, 28 Nov 2024 – Dakwah sering dianggap sebagai tugas yang berat dan membebankan oleh sebahagian masyarakat yang kurang memahami konsepnya. Sebagai langkah pertama untuk mengubah persepsi tersebut, aktivis HALUAN telah dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka dalam aktiviti dakwah di Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) di sini semalam.

SMIK adalah sebuah sekolah swasta yang menekankan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah, dengan mengintegrasikan kurikulum pendidikan Islam yang menyeluruh. Sekolah angkat HALUAN ini ini berfokus untuk melahirkan pemimpin masa depan dalam masyarakat melalui pelbagai program termasuk aktiviti keagamaan, bengkel kemahiran dan latihan praktikal yang bertujuan untuk menanamkan nilai-nilai murni serta pengetahuan kepada pelajar.

Seramai 500 pelajar bersama guru dan kakitangan sekolah telah hadir untuk mendengar perkongsian mengenai pengalaman dakwah dalam sektor orang bukan Islam. Peserta juga berpeluang mengumpul pelbagai maklumat serta pengetahuan melalui bahan pameran yang disediakan oleh aktivis Biro HALUAN Fitrah.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Biro 2 HALUAN Fitrah Pusat, Profesor Madya Dr. Suhaida Abdul Kadir, serta Guru Hal Ehwal Pelajar (HEP) SMIK, Ustaz Mohd Haris Che Anuar bersama guru dan kakitangan sekolah.

Program separuh hari tersebut telah mendedahkan para pelajar kepada konsep dan pengenalan asas dakwah kepada bukan Islam. Mereka juga teruja mendengar pengalaman dan nasihat yang disampaikan oleh aktivis Biro HALUAN Fitrah Cawangan Kuala Lumpur, Puan Nurasna Abdul Halim, dan Encik Mohammad Ashraq Anant Nala yang mula memeluk Islam pada tahun 2013.

Berdakwah kepada bukan Islam adalah sesuatu yang mudah. Ia bermula dengan niat yang betul dan ikhlas, di samping mendoakan mereka agar diberikan hidayah,” kata Nurasna. Manakala Mohammad Ashraq berpendapat bahawa kaedah dakwah yang paling berkesan adalah dengan mempamerkan akhlak yang baik sebagai seorang Muslim dan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh dedikasi. “Saya memulakan dakwah bukan dengan pendekatan dakwah di jalanan, tetapi dengan menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang Muslim. Apabila tiba waktu solat, saya akan solat. Segala amalan yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim, saya tunjukkan kepada orang di sekeliling saya,” ujarnya.

Semoga aktiviti seperti ini dapat membangkitkan semangat golongan muda untuk berani tampil berkongsi Islam dalam kalangan masyarakat majmuk.


Laporan Abdul Fattah Mustafar
Setiausaha Kerja Kluster Dakwah