fbpx

Pelajar Bukan Islam Tersentuh Dengan Isu Palestin

Pelajar Bukan Islam Tersentuh Dengan Isu Palestin

RAUB, 14 Februari 2009 — HALUAN Pahang telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan dengan isu Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud, Raub. Jemputan tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti untuk memupuk kesedaran di kalangan pelajar mengenai isu Palestin dalam konteks kemanusiaan sejagat.


Sebelum mengadakan ceramah jam 10.30 pagi, rombongan HALUAN Palestin Pahang telah mengadakan pertemuan dengan Pengetua Sekolah Tuan Haji Abdullah. Beliau sangat berbesar hati kerana pihak HALUAN sudi datang dan meluangkan masa untuk membantu pihak sekolah mengisi program pada hari persekolahan gantian pada hari Sabtu itu.

Ceramah telah disampaikan oleh penceramah daripada Biro HALUAN Palestin Pahang, Saudara Abd. Bashir b Abd. Ghani. Pelajar-pelajar yang terlibat mendengar ceramah tersebut hanyalah dari tingkatan 4 dan 5 sahaja memandangkan keadaan dewan yang terhad. Pelajar-pelajar yang dijemput ramai juga dikalangan pelajar bangsa Cina dan India termasuk guru-guru mereka.

Ceramah yang disampaikan dengan sokongan video terkini, gambar penderitaan rakyat Palestin dan juga kekejaman askar Yahudi telah menyentuh perasaan ramai pelajar dikalangan bukan muslim. Ramai pelajar dari kalangan bangsa Cina yang tidak dapat melindungi kesedihannya sehingga ramai yang menangis dan menitiskan airmata khususnya pelajar perempuan.

Rupa-rupanya bangsa Cina dan India juga sensitif dengan isu palestin ini jika mereka diberi pendedahan sebenar dan kesedaran melalui paparan gambar dan video yang menarik. Mereka juga ada perasaan sensitif terhadap isu kemanusiaan sejagat ini.

Menurut seorang guru kaunseling yang terlbat menyelaras program ini, Puan Noraini, hasil kutipan tabung untuk Palestin yang diterima sungguh mendadak dan menakjubkan. Pelajar bangsa Cina tidak keberatan untuk menyumbang sehingga kutipan pada pagi itu diluar dugaan mencecah sebanyak RM 560.00. Menurut beliau lagi, kutipan juga telah diadakan sebelum sesi ceramah diadakan tetapi sambutan yang diterima kali ini lebih banyak dari sebelum ini yang hanya melibatkan dua tingkatan sahaja.

Ini adalah kerana pelajar-pelajar telah terpanggil dan merasai keutamaan untuk menderma setelah mendengar dan menonton ceramah yang disampaikan. Misi HALUAN untuk memberi kesedaran tentang isu palestin ini telah berjaya membuka minda dan perasaan pelajar-pelajar sekolah khususya di kalangan bukan Islam.

Pihak sekolah telah merakamkan ucapan penghargaan kepada HALUAN yang telah membantu mereka. Mereka juga amat berharap agar HALUAN dapat membantu sekolah lagi dalam sesi yang lain khususnya dalam menangani masalah disiplin dan motivasi pelajar.