fbpx

Pelaburan Hartanah Berhad Sumbang Untuk Palestin

Pelaburan Hartanah Berhad Sumbang Untuk Palestin

Pelaburan Hartanah Berhad Sumbang Untuk Palestin

SHAH ALAM, 12 Julai 2014 – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah mengorak langkah untuk menderma sebanyak RM24,000 Kepada Tabung Palestin HALUAN pada 9 Julai lepas.

Sumbangan berbentuk wang zakat itu telah disempurnakan di Dewan Seminar, Pejabat Biro HALUAN Palestin, Jalan Kebun di sini. Sumbangan itu adalah Wang Zakat Perniagaan Amanah Hartanah Bumiputra atau AHB di bawah asnaf fisabilillah bagi membantu saudara-saudara Islam di Palestin.

Majlis berkenaan telah di hadiri oleh lima orang wakil PHB yang diketuai oleh Pengurus Besar Kewangan dan Operasinya, Encik Mohd Fadzil Maruwan, dan disertai oleh enam orang perwakilan Biro HALUAN Palestin (BHP) diketuai Ketua Bironya, Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan.

Dr. Syed Haleem dalam mengalukan kedatangan rombongan PHB tersebut telah melahirkan rasa besar hati BHP kerana kesudian pihak berkenaan membantu usaha HALUAN dalam membantu meringankan penderitaan masyarakat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Penglibatan secara langsung PHB ini mengisyaratkan bahawa semakin ramai badan-badan koporat menyedari betapa pentingnya mereka menyantuni golongan terpinggir serta tertindas seperti di Palestin sekarang. Ini bermakna usaha kami sebagai NGO selama ini akhirnya mendapat pengiktirafan di kalangan koporat dan profesional bahawa kami bukan keseorangan dalam mengharungi detik pahit untuk membantu mereka yang cedera, sakit, lapar, dahaga, yatim piatu dan tanpa bumbung di atas ubun-ubun mereka mangsa perang akibat kezaliman rejim ganas zionis Israel,” kata Dr Syed Haleem.

Beliau menambah, sudah sememangnya tugas BHP untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang permasalahan sebenar Palestin, membuat kutipan kecemasan bagi membantu mereka, dan mengadakan pusat sumber rujukan tentang Palestin untuk masyarakat.

Encik Mohd Fadzil Maruwan pula berkata, “kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban saudara-saudara kita di Palestin. Harapan kami ia menjadi titik bermula untuk meneruskan bantuan dan kerjasama pada masa mendatang. Saya yakin dengan hubungan yang terjalin ini, kami akan dapat memberikan lebih banyak kerjasama kepada HALUAN Palestin pada masa akan datang.”

Laporan Muhammad Mus’ab Sa’ari
SUK Biro HALUAN Palestin