fbpx

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Selamat Pulang

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Selamat Pulang

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Selamat Pulang

Sepang, 14 Sept — Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia selamat pulang ke tanahair setelah berbakti selama hampir dua minggu.


Mereka tiba di lapangan terbang KLIA pada jam 7 petang dengan disambut oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman dan beberapa orang ahli jawatankuasa pusat HALUAN yang lain.

Ketua misi yang juga merupakan Ketua Biro Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri, bersama-sama sukarelawan Yusman Nawazir dan Mohd Akhir Ahmad telah berkhidmat di Kem Pelarian Dadaab di sempadan Kenya-Somalia, di mana terdapat lebih satu juta pelarian Somalia berhijrah ke kem tersebut bagi mendapatkan bantuan dan perlindungan.

Dalam kenyataannya pada sidang media sejurus ketibaan para sukarelawan, Dr Abdullah melahirkan rasa syukur kehadrat Allah kerana HALUAN dapat turut memainkan peranan membantu mangsa-mangsa kemarau dan kebuluran di Somalia. “HALUAN sebagai sebuah NGO yang berteraskan kepada nilai-nilai Islam perlu membantu siapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira batasan agama mahupun geografi. Apatah lagi mereka yang ditimpa musibah ini adalah dari kalangan orang Islam sendiri, sudah tentu ia menjadi kewajipan untuk kita membantu,” kata Dr Abdullah dalam sidang media tersebut.

Pasukan Ke-2 misi ini akan berlepas ke Nairobi dalam masa terdekat, di mana mereka akan meneruskan usaha-usaha bantuan bersama-sama NGO antarabangsa di sempadan Kenya-Somalia. Menurut Dr Baharudin, HALUAN akan turut mengadakan ibadah korban sempena Aidil Adha akan datang. “Kita telah membuat perancangan bersama NGO tempatan untuk mengadakan ibadah korban, yang mana kita harapkan masyarakat Malaysia dapat menyambut peluang ini untuk membantu pelarian Somalia yang sangat-sangat memerlukan bantuan makanan asas,” jelas Dr Baharudin.

Orang ramai yang ingin membantu pelarian Somalia melalui misi ini boleh membuat sumbangan kewangan melalui akaun khusus misi kemanusiaan, iaitu akaun bernama HALUAN, nombor akaun 14-023-01-002571-8 (Bank Islam Malaysia Berhad.) Berilah sumbangan terbaik anda, semoga Allah membalas dengan ganjaran yang lebih baik.