fbpx

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Berlepas ke Dadaab

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Berlepas ke Dadaab

Pasukan Pertama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia Berlepas ke Dadaab

SEPANG, 1 September – Misi bantuan kemanusiaan HALUAN ke Somalia telah memulakan langkah merentas sempadan dengan berlepasnya 3 orang sukarelawan yang terdiri daripada seorang doktor, petugas media dan pegawai logistik.


Pasukan pertama bagi misi bantuan yang diberi nama Misi Talian Hayat Pelarian Somalia ini telah berlepas dari lapangan terbang KLIA menuju ke Nairobi, Kenya. Dari Nairobi, mereka akan meneruskan perjalanan darat menuju ke kem pelarian Dadaab di sempadan Kenya-Somalia.

Turut hadir di KLIA adalah Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi, dan Naib Presiden HALUAN bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Sr Abd Hakim Mohamed. Dalam ucapan nasihat beliau dalam majlis perlepasan di KLIA, Ustaz Mohd Darus menegaskan bahawa komitmen HALUAN dalam misi bantuan ini adalah atas dasar ukhuwah kerana Allah.

Pasukan yang diketuai oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN iaitu Dr Baharudin Suri ini akan melakukan tinjauan awal bagi mengenalpasti bentuk bantuan yang strategik bagi keperluan pelarian mangsa krisis kemarau di Somalia, khususnya di kawasan Dadaab di sempadan Kenya-Somalia. Mangsa-mangsa kemarau di Somalia berpusu-pusu menuju ke kem pelarian Dadaab bagi menyelamatkan diri dari kebuluran, sehinggakan ramai daripada mereka terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 500km. Kini terdapat lebih 700,000 orang pelarian di situ, walaupun ia dibina untuk menampung kurang dari 100,000 orang.

Sepanjang 14 hari jangkamasa misi ini, pasukan HALUAN akan bekerjasama dengan NGO Turki, Insani Yardem Vakfi (IHH.) IHH telah memulakan operasi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kemarau di Somalia sejak awal bulan Julai lalu, di mana mereka memberi perhatian khusus kepada pengagihan bahan makanan kepada lebih 3,000 keluarga setiap hari. Di samping itu mereka juga mengadakan klinik-klinik perubatan dan bantuan pendidikan bagi anak-anak Somalia di kem pelarian, termasuklah kelas-kelas pengajian al-Quran.

Anda yang ingin turut membantu menjayakan misi bantuan ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun khusus misi bantuan kemanusiaan

Nama Akaun: HALUAN
No Akaun: 14-023-01-002571-8
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Semoga sedikit sumbangan ikhlas yang dihulurkan akan memberi peluang kepada saudara kita di Somalia untuk meneruskan kehidupan mereka. InsyaALlah setiap sumbangan ikhlas ini akan diterima oleh Allah sebagai bekalan yang baik di akhirat kelak, dan menjadi amal soleh kita dalam membantu mereka yang ditimpa musibah.