fbpx

Pasukan Misi Kemanusiaan Syria Selamat Pulang

Pasukan Misi Kemanusiaan Syria Selamat Pulang

Pasukan Misi Kemanusiaan Syria Selamat Pulang

SEPANG, 4 April 2012 — Pasukan peninjau HALUAN Malaysia ke sempadan Syria-Jordan bagi mendapatkan gambaran langsung dan maklumat lapangan berhubung kemelut pelarian Syria telah selamat pulang hari ini.

Ketibaan pasukan yang dianggotai oleh Ustaz Abu Bakr Bin Mohd Sidek dan Dr Ahmad Fardi Bin Sulaiman itu telah disambut oleh Timbalan Presiden HALUAN Malaysia, Ustaz Mohd Darus Bin Senawi Ali serta beberapa orang ahli HALUAN dan wakil Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.

Dalam wawancara sejurus ketibaan di KLIA di sini, ketua misi Ustaz Abu Bakr menjelaskan bahawa kemelut yang utama dalam krisis kemanusiaan di Syria ini adalah penderitaan yang berlaku di dalam Syria sendiri, sedangkan rakyat Syria yang cuba mendapatkan perlindungan di negara jiran tidak mengalami sebarang masalah yang besar. Majoriti pelarian Syria di Jordan mendapat bantuan NGO dan penduduk tempatan, di mana keperluan asas dan kebajikan mereka dijaga dengan baik.

Walaubagaimanapun, sepertimana yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Fardi, pasukan HALUAN ini telah berjaya mendapatkan maklumat dan senario yang lebih tepat dan terperinci tentang kemelut yang berlaku di Syria. Beliau dan Ustaz Abu Bakr akan membentangkan laporan kepada kepimpinan HALUAN bagi merangka langkah seterusnya untuk membantu rakyat Syria terutama yang sedang berhadapan dengan krisis di dalam negara mereka sendiri.

Ustaz Mohd Darus dalam kenyataannya menegaskan bahawa HALUAN akan sentiasa ke hadapan apabila berlaku kancah penderitaan dan bencana kemanusiaan di dunia hari ini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kemaslahatan umat Islam. “HALUAN Malaysia akan merangka langkah seterusnya bagi menjadi pemangkin kepada kemurniaan kehidupan manusia pada umumnya,” kata beliau merujuk kepada penerusan misi bantuan kepada rakyat Syria ini.

Masyarakat prihatin yang ingin menyumbang kepada Misi Bantuan Kemanusiaan Syria ini boleh menyalurkannya melalui tabung khusus untuk misi kemanusiaan iaitu

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Semoga bantuan ikhlas anda meringankan beban rakyat Syria ini akan dicucuri rahmat Allah yang berterusan.