fbpx

Pasukan medik dan kaunselor HALUAN mula berkhidmat di Padang

Pasukan medik dan kaunselor HALUAN mula berkhidmat di Padang

Pasukan medik dan kaunselor HALUAN mula berkhidmat di Padang

Sepang, 07 Oktober 2009 – Pasukan pertama Misi Bantuan Kemanusiaan Padang telah selamat berlepas ke Padang, Sumatera pada jam 7:50 pagi tadi. Pasukan ini diketuai oleh Dr Arbaai Mohd Shawal dan dibantu oleh Dr Saedah bt Ali bersama seorang jururawat kanan dan dua orang kaunselor.


Mereka telah tiba di Padang pada pukul 08:10 waktu tempatan dan terus bersama-sama NGO tempatan menjalankan kerja-kerja bantuan yang dirancang. Mereka kini berpengkalan di Masjid Desa Sg Sirah, Pariaman.

Pasukan pertama ini telah membawa bersama ubat-ubatan dan kelengkapan asas seperti khemah, lampin pakai-buang untuk bayi dan makanan segera.

Terdahulu, Timbalan Presiden HALUAN Ustaz Mohd Darus Senawi telah mengalu-alukan relawan dari pasukan pertama ini di Pusat Operasi Misi Bantuan Kemanusiaan Padang di Subang Perdana. Dalam taklimat ringkasnya, Ustaz Mohd Darus melahirkan rasa terharu terhadap relawan-relawan HALUAN yang bersedia menyahut seruan untuk membantu mangsa-mangsa gempabumi di Padang dan Pariaman. Beliau menggesa para relawan untuk memberikan khidmat bakti dengan penuh ikhlas dan dedikasi, sebagaimana yang pernah mereka tunjukkan sebelum ini dalam misi-misi bantuan kemanusiaan Tsunami di Acheh dan juga gempa bumi di Pakistan dan Yogjakarta. “Di samping menjaga hubungan dengan masyarakat di Padang yang ditimpa musibah, relawan-relawan HALUAN mestilah sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Allah swt agar setiap usaha dan pengorbanan mereka diberkati dan diterima oleh Allah,” nasihat Ustaz Mohd Darus. Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut adalah Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Padang, Dr Syed Muhammad Haleem dan juga Pengerusi Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) Dr Basir Towil.

Daerah Padang dan Pariaman dilanda gempabumi kuat bermagnitud sehingga 7.9 pada hari Rabu dan Khamis lalu. Menurut laporan NGO yang sedang menghulur bantuan di Padang, masih berlaku gegaran-gegaran susulan yang kuat sehingga dua hari lepas. Sehingga semalam, seramai 724 orang dilaporkan telah terkorban. Lebih 2000 orang tercedera, manakala 285 orang lagi dilaporkan hilang. Selain dari terpaksa mengharungi masalah kemusnahan tempat tinggal dan kemudahan asas, mangsa-mangsa gempabumi ini kini juga berhadapan dengan masalah trauma dan gangguan jiwa.

Di samping memberi bantuan kepada mangsa-mangsa, pasukan pertama HALUAN ini juga akan mengkaji dan berbincang secara menyeluruh dengan NGO tempatan untuk menyusun strategi bantuan yang berkesan. Menurut Dr Syed Muhammad Haleem, pasukan kedua akan berlepas ke Padang pada hari Selasa 13 Oktober. “Kita menyeru kepada masyarakat prihatin untuk sama-sama meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa di Padang. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah, tidak kira agama, bangsa dan di mana mereka berada,” kata beliau.

Orang ramai yang ingin turut membantu Misi Bantuan Kemanusiaan Padang ini boleh menyalurkan bantuan kewangan melalui

Tabung Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 14-023-01-002571-8
Bank Islam Malaysia Berhad.