fbpx

Pasukan Korban HALUAN Tiba di Destinasi

Pasukan Korban HALUAN Tiba di Destinasi

Pasukan Korban HALUAN Tiba di Destinasi

BANDAR BARU BANGI, 4 Oktober 2014 — Kesemua Pasukan Korban HALUAN, kecuali ke Selatan Thailand, telah berlepas ke destinasi masing-masing daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan telah selamat tiba di destinasi masing-masing bagi memastikan amanah korban rakyat Malaysia benar-benar terlaksana.

Pasukan Korban HALUAN ke India turut disertai oleh Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung, ahli kehormat HALUAN, Bazeer Ahmed Mohamed bersama wakil media, Muhammad Zakiran Mahmud dan relawan Sulaiman Yaakob Bazeer. Mereka berlepas dan tiba di Chennai, India pada 2 Oktober.

Pihak berwajib di India telah menetapkan hari Isnin, 6 Oktober sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha di India.

Misi Kemanusiaan dan Korban HALUAN di Kemboja pada tahun ini merupakan kali yang ke 14, iaitu sejak tahun 2000, bagi HALUAN melaksanakan ibadah korban bagi pihak rakyat Malaysia di sana.

Pasukan Korban HALUAN ke Kemboja disertai oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri, Razali Mohd Jamil dan Ruqaimi Rabbani Abdullah tiba di Phonm Penh pada 3 Oktober. Mereka disambut oleh wakil Pejabat Mufti Kemboja.

Korban di Kemboja akan dilaksanakan di dua tempat iaitu di Kampung Basait di wilayah Battambang dan Kampung Chenang.

Pasukan Korban HALUAN ke Myanmar yang terdiri daripada Abdul Halim Khudri dan Abdul Kadir Mahmood pula selamat tiba di Yangoon pada hari Jumaat jam 11.45 pagi waktu tempatan. Mereka sempat menunaikan solat jumaat di Masjid Kabaaye, Yangoon.

Sementara itu, Pasukan Korban HALUAN ke Somalia yang terdiri daripada Ketua Biro Kebajikan, Azhar Idris dan Muhammad Syaufiqul Azri bin Bashiron tiba di Nairobi, Kenya pada 3 Oktober dan disambut sendiri oleh Pengerusi NGO Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI), Sheikh Yakub Farah Hasan.

Antara urusan yang awal disempurnakan adalah penyerahan bayaran korban kepada NKEI yang mengurus amanah ibadah korban rakyat Malaysia. Semasa di Nairobi, Pasukan Korban HALUAN turut mengambil peluang bertemu Pesuruhjaya Tinggi, Ismail Hj Salam sebelum berangkat ke sempadan untuk membuat persiapan akhir ibadah korban di sana. Sebanyak 595 ekor kambing, 19 daripadanya akikah dan selebihnya untuk korban, akan disembelih di Kem Pelarian Somalia pada tahun ini.

Atas sebab-sebab keselamatan, tiada Pasukan Korban HALUAN yang dihantar ke Syria dan Palestin pada tahun ini. Namun bagi memastikan amanah korban rakyat Malaysia benar-benar terlaksana, HALUAN bekerjasama dengan NGO yang dikenali dan dipercayai, Yayasan As-Sarra yang akan menyempurnakan amanah korban di Syria dan Palestin bagi pihak rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pasukan Korban HALUAN ke Selatan Thai akan bertolak melalui jalan darat pada hari Ahad dan diwakili oleh Kamal bin Abdullah dan Idris bin Ahmad.

Selain itu, ibadah korban HALUAN di luar negara turut dilaksanakan di negara Mesir dan Jordan yang diurus oleh para pelajar daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) di negara tersebut.

HALUAN Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang menaruh harapan dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan amanah korban bagi pihak anda pada tahun ini. Kami menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan kejayaan Misi Kemanusiaan dan Korban HALUAN pada tahun ini. Semoga Allah menerima amalan tuan-puan sebagai amalan soleh dan diganjari dengan pahala berlipat ganda serta diberi keampunan dan memperolehi redha Allah SWT.

Ikuti perkembangan mutakhir ibadah korban melalui laman web ini atau facebook HALUAN di facebook.com/haluanmalaysia atau twitter di twitter.com/haluanmalaysia.