fbpx

Pasukan Ketiga sambung misi bantuan HALUAN kepada mangsa gempa di Pariaman

Pasukan Ketiga sambung misi bantuan HALUAN kepada mangsa gempa di Pariaman

Pasukan Ketiga sambung misi bantuan HALUAN kepada mangsa gempa di Pariaman

Ahad 25 Oktober, LCCT SEPANG – 9 orang relawan dari Pasukan Ketiga Misi Kemanusiaan Padang telah selamat berlepas ke Padang, Indonesia pagi tadi bagi meneruskan usaha membantu mangsa gempabumi.


Pasukan ini dianggotai oleh beberapa orang relawan kanan yang berpengalaman dalam misi kemanusiaan beserta dua orang doktor wanita, paramedik dan relawan-relawan muda yang mewakili Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa.) Mereka merupakan kumpulan relawan susulan setelah Pasukan Kedua selamat pulang ke tanahair minggu lalu.

Sdr Abd Basir Abd Ghani, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha HALUAN Pahang, akan mengetuai pasukannya memberi khidmat bantuan berbentuk klinik bergerak dan kerja-kerja pemulihan ke kawasan pendalaman di sekitar wilayah Pariaman. Wilayah tersebut merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa berskala 7.9 Ritcher yang melanda 30 September lalu, di mana banyak rumah-rumah dan prasarana, termasuk masjid, roboh atau rosak.

Dilaporkan 85 peratus daripada infrastruktur di Sumatera Barat hancur akibat gempa tersebut. Di Kabupaten Padang Pariaman, seramai 468 orang dilaporkan terkorban. Seramai 540 orang masih lagi dirawat di hospital, manakala 210 orang masih hilang.

Menurut Ketua Biro Bantuan Kecemasan dan Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Syed Muhammad Haleem, relawan Pasukan Ketiga telah membawa bersama mereka bekalan ubatan, makanan-makanan berasaskan beras dan juga keperluan pakaian wanita dan anak-anak. “Kita berharap ubat-ubatan yang dibawa dapat menampung keperluan mangsa-mangsa di sana. Berdasarkan kepada laporan relawan-relawan HALUAN sebelum ini (Pasukan Pertama dan Kedua) yang berkhidmat di kawasan kampung-kampung sekitar Pariaman, kita masih memerlukan banyak bantuan ubat-ubatan asas seperti ubat batuk, demam dan selsema,” terang beliau.

Menurut Dr Syed Muhammad Haleem lagi, kerjasama erat di antara HALUAN dan NGO tempatan seperti Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dan Pelayanan Rakyat Adil Sejahtera (PRAS) dapat melicinkan operasi bantuan relawan HALUAN. “Mereka membantu relawan HALUAN dalam hal logistik dan akses ke kawasan-kawasan yang masih belum mendapat bantuan,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem.

“Saya menyeru kepada masyarakat prihatin supaya dapat terus memberi bantuan kepada saudara kita di sana. Sebahagian daripada mereka masih lagi berada dalam fasa kecemasan, berhadapan dengan masalah keperluan sosial dan juga memerlukan bantuan psikologi. Bantulah mereka ketika mana mereka memerlukan bantuan, jangan kita bertangguh-tangguh sehingga mereka berputus asa dalam menghadapi masalah akibat musibah ini,” kata Dr Syed Muhammad Haleem.

Anda boleh menyalurkan bantuan melalui

Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8

Semoga sumbangan yang diberikan, walaupun sedikit, akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah swt.